Maya Karin Berlakon Filem Hollywood
Biarpun hanya satu babak penting, Maya Karin teruja berpeluang menimba pengalaman membintangi filem Hollywood berjudul Alone yang membariskan pelakon ternama, Donald Sutherland dan Tyler Posey.
Maya memberitahu, bekerja dengan pasukan profesional diketuai Johnny Martin selaku pengarah dan penerbit bersama, dianggap landasan awal untuknya melebarkan langkah di pentas antarabangsa.
"Apabila eksekutif Hollywood Innovation Group (HIG) menyuarakan hasrat meminta saya menyertai pasukan produksi mereka di sini, saya rasa bertuah kerana dipilih tanpa perlu menjalani uji bakat.
"Walaupun sebabak, berada dalam suasana baharu, dikelilingi kru profesional dan dapat bertukar idea dengan ramai karyawan di sini termasuk pengarah Alone, menyemarakkan semangat.
"Kepercayaan mereka dianggap permulaan baik untuk saya terus mencari ruang di Hollywood. Apatah lagi, sepanjang minggu ini saya turut dipertemukan dengan beberapa produser dan pengarah lain.
"Sebelum ini, saya tak terfikir boleh sampai (berlakon) di Hollywood. Malah, tidak pernah terdetik mencuba nasib atau menghadiri uji bakat. Mungkin sekarang tepat pada waktunya," katanya.
Maya ditemui di Illuminate Studios di Venture Blvd, dekat sini, yang menjadi lokasi penggambaran. Dalam filem Alone, Maya dipertanggungjawab membawa watak saintis Malaysia bernama Dr Zulaikha.
Tambah penerima trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik itu, kesungguhan HIG mengundangnya disifatkan langkah permulaan bagi memperkenalkan Malaysia sebagai hab pelancongan melalui tarikan destinasi bertaraf antarabangsa dan filem.
"Saya difahamkan, tahun depan HIG bakal menjalin usaha sama dengan produksi ini untuk filem aksi berlatarkan seni mempertahankan diri yang bakal ditayangkan di Amerika Syarikat (AS).
"Boleh dikatakan, saya umpama duta kecil. Ini kerana ada dalam kalangan penerbit yang ditemui bertanya mengenai negara kita. Semuanya kerana sebelum ini, beberapa filem antarabangsa pernah menggunakan Malaysia sebagai lokasi latar," katanya.
Sementara itu, Maya dijangka pulang ke tanah air dalam tempoh sebulan lagi bagi melangsaikan beberapa urusan berkaitan kerjaya di AS selain menyempurnakan penggambaran sebuah program kapsul travelog.
Mengenai pertemuan dengan penerima trofi Oscar, Sutherland dan bintang muda Teen Wolf, Posey, Maya berkata, biarpun tidak berlakon dalam babak sama, mereka sangat peramah dan mudah mesra.
"Sebenarnya, babak saya adalah antara kerja penggambaran terakhir selepas lebih 25 hari produksi bermula. Namun, saya masih sempat ke set untuk diperkenalkan dengan Sutherland dan Posey.
"Pada hari terakhir, sekali lagi saya dan Posey bekerja dalam studio di mana dia menyiapkan babak adegan lasak. Ini membolehkan kami berbual seketika,” kongsi aktres berdarah campurkan Melayu-Jerman itu.
Sementara itu, Martin yang mempunyai tiga dekad pengalaman dalam industri perfileman Hollywood mengaku Maya berpotensi pergi jauh melihatkan usaha dan kesungguhannya, biarpun menerima skrip dua hari sebelum penggambaran.
"Saya mengenali Maya ketika pelancaran hotel milik Paramount di Bali, Indonesia, dua tahun lalu. Ketika itu, saya dan HIG nampak potensinya. Apabila dia dapat 'terbang' ke AS dan bersama kami, itu bermakna hajat kami sudah direalisasikan.
"Maya beri komitmen penuh biarpun masih keletihan dan 'jetlag'. Babak membabitkan Maya hanya satu, tetapi skrip panjang hingga lima muka surat," kata pengarah dan bekas pelakon lagak ngeri itu.
+ Baca respon pembaca di Oh! Media.
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/07/maya-karin-berlakon-filem-hollywood.html