Maszlee Perlu Bertemu Penulis Bukan Penjilat
Uthaya Sankar SB             
ULASAN Pendedahan berani berkaitan kewujudan “penjilat” dalam dunia seni dan sastera Melayu oleh Faisal Tehrani (Sastera adalah makanan anjing, 8 November 2018), Ronasina (Budaya ‘penulis menjilat’ memang ada, bukan baru, 10 November 2018). Arafat Hambali (Kenapa saya boikot himpunan penulis?, 10 November 2018) dan Abdullahjones (Sastera, anjing, kuda dan pura-pura, 11 November 2018) membuktikan bahawa isu yang ditimbulkan memang benar-benar wujud
Sesungguhnya  memang ada kelompok pengarang sastera Melayu yang memberi ruang dan  peluang sehingga memungkinkan kuasawan dan politikus terus-menerus  memperkudakan golongan penulis bagi kepentingan peribadi.
Pada  masa sama, golongan penulis tanpa jati diri ini sanggup pula diperkuda  dan terus-menerus “menjilat” asalkan mendapat habuan dalam bentuk dana,  peluang dan peruntukan.
Situasi ini mengingatkan saya kepada  kenyataan Muhyiddin Yassin sewaktu beliau masih menjadi timbalan perdana  menteri dan menteri pendidikan.
Pada suatu majlis penyampaian  hadiah pertandingan menulis pada 7 Januari 2014, beliau dilaporkan oleh  Bernama sebagai berkata, “Sekiranya ada pihak yang mendakwa golongan  sasterawan berada di haluan sana (berpihak kepada pembangkang) manakala  pemimpin negara berada di haluan sini (kerajaan) … ia adalah dakwaan  yang tidak benar.”
Pada pandangannya (waktu itu), golongan sasterawan sentiasa bersama kerajaan dan tidak pernah bersama pembangkang.
Keadaan  berubah berikutan tindakan Najib Razak (perdana menteri waktu itu)  menggugurkan semua jawatan Muhyiddin pada 28 Julai 2015 dan beliau  seterusnya menyertai pembangkang.
Akhirnya, Muhyiddin  bersama-sama Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH) berjaya  menumbangkan BN dalam pilihan raya umum Ke-14 (9 Mei 2018), lalu  membentuk kerajaan.
Sekelompok “penjilat” dalam kalangan penulis  sastera Melayu yang dahulu menyokong Muhyiddin, kemudian tidak  mengendahkannya, kembali “menjilat” kerajaan (PH). Drama ini berlaku di  depan mata dan tidak perlulah dinafikan. Perkongsian foto dengan penuh  bangga di media sosial oleh golongan “penjilat” jelas menunjukkan  perkara ini.
Kenyataan kononnya mereka menyokong kerajaan semasa  hanyalah alasan bodoh untuk menutup hobi “menjilat” kuasawan demi  mendapatkan habuan.
Pengarang bermaruah susah dapat pengiktirafan
Di  sisi lain, masih wujud golongan seniman, sasterawan, aktivis dan  penggiat seni/sastera yang memiliki maruah dan jati diri, lalu  meneruskan kerja tanpa perlu menjadi lalang atau “penjilat” setiap kali  ketua pengarah, menteri atau kerajaan berubah.
Bagi golongan  penulis seperti ini, karya mereka jarang mendapat pengiktirafan kerana  pihak yang terlibat dalam proses pemilihan termasuk para “penjilat” yang  melihat golongan pengarang bermaruah sebagai saingan yang wajar  dipinggirkan. “Penjilat” pasti memilih karya “penjilat” juga!
Kita  tidak boleh mengimpikan karya-karya Sasterawan Negara Datuk Seri A  Samad Said dan Faisal Tehrani (Mohd Faizal Musa) diangkat semula sebagai  teks Komponen Sastera (Komsas) di sekolah. Karya-karya saya juga tidak  mungkin masuk ke sekolah.
Hal ini mengingatkan kepada pendedahan  yang dilakukan bekas pensyarah dan penulis, Lim Swee Tin pada 24 Januari  2011. Katanya, kaedah pemilihan teks Komsas adalah “haprak” dan  “berkemungkinan wujudnya amalan rasuah sebab karya yang tak penuhi  kriteria terpilih”.
Dr Maszlee Malik selaku menteri pendidikan —  sekali gus sasaran golongan “penjilat” dalam dunia seni, sastera dan  penerbitan — diingatkan oleh Faisal dan Abdullahjones supaya sentiasa  berwaspada.
Maszlee selaku penaung Himpunan Penulis Malaysia (16  November 2018) mungkin akan berpeluang bertemu dan bersalam-salaman  dengan sejumlah “penjilat”. Khabarnya Lim Swee Tin dan Raja Rajeswari  Seetha Raman juga akan hadir.
Mungkin juga sesudah — atau sebelum —  acara besar-besaran itu, Maszlee wajar mengatur pertemuan dengan  kelompok seniman, sasterawan dan aktivis bahasa/sastera pinggiran.
Tidak  perlu penaung dan ucap utama. Hanya pertemuan santai untuk berbincang  isu-isu sebenar seputar dunia seni, sastera, penulisan dan penerbitan  buku tanah air tanpa kehadiran golongan “penjilat”.
*UTHAYA SANKAR SB adalah penulis, penerbit dan pencinta buku.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/11/maszlee-perlu-bertemu-penulis-bukan.html