Masak Ketam Nipah Lada Hitam
Assalamualaikum WBT
LAMA kami tak beli ketam nipah. Tengok balik old post, kali terakhir beli ketam nipah di Kong Kong, Masai bulan September tahun 2021. Biar betul ni dah 4 tahun tak beli dan makan ketam nipah rupanya. Patutlah masa pergi semalam dah banyak sangat yang berubah. Tapi, selepas 4 tahun pun harga masih sama, RM70 sekilogram. Semalam beli tiga ekor, total RM87. Kami tanya, boleh ke siangkan sekali, tapi adik tu macam tak yakin nak bagi yang dah bersiang sebab takut nanti masa nak masak dah tak elok. Mungkin dia boleh agak kami ni bukan tinggal dekat-dekat situ. Dia kata, letak dua minit jer dalam freezer, dah boleh pengsan dah ketam tu, nanti terus siang. Tapi, tak ya. Sk tinggal 5 minit pun, dia masih bergerak lagi tapi pergerakannya agak lemah la. Tanpa berlengah, Sk terus kerat dua, takut dia terbang kalau lambat-lambat buat, hehe.

Sk siapkan dulu bahan-bahan memasak sebelum menyiang ketam. Sk pernah makan ketam nipah yang dah ditidurkan selama-lamanya, rasa dia pahit ya, jadi kali ni Sk dah siap kuah dalam kuali, baru Sk siang ketamnya.

Tapi, tak pandai bajet masa la, kuah dah mendidih, ketam belum siap siang lagi, jadi, Sk tutup api dulu. Bila ketam dah siap siang, baru buka semula api dan masukkan ketam bila kuah dah mendidih semula. Memang ambil masa sikitlah nak menyiang sebab nak berus celah-celah kaki dan sepit dia tu. Mujurlah PI tolong jugak bukakkan helmet ketam tu, keras betul

Ni Sk masak guna sos lada hitam ready made dalam botol jenama Bumi Hijau. Sos tinggal setengah botol, Sk habiskan, tambah air sikit dalam botol dan goncang, terus tuang semua dalam kuali. Semasa memasak, balik-balikkan ketam agar keseluruhannya disaluti kuah. Apabila ketam telah bertukar kemerahan, Sk masukkan dua biji telur nak bagi kuah dia pekat-pekat

Masukkan juga 1 biji bawang besar dipotong baji, cili padi dibelah dua dan tomato ceri. Kemudian kacau-kacau sehingga bawang layu. Sk tak letak garam sebab sos tu dah masin cuma tambah lada hitam tumbuk kasar. Tunggulah dalam 15 hingga 20 minit baru makan, kalau tak melocot bibir dan jari pegang ketam panas-panas. Padat betul isi ketamnya. Sepanjang makan tu kami dok memuji kejujuran adik tu memilihkan ketam untuk kami. Panggil adik sebab nampak macam dua puluhan umurnya, kami dah 50-an, hahaha. PI kata, celah-celah pun ada isi, ibaratnya, macam daging harimau menangis, hihihihi

Tak ada telur ketamnya, mungkin jantan ke apa, tak berapa nak cam pulak jantan betinanya ketam nipah ni. Tapi, PI kutip jugaklah isi-isi di bahagian kepala ketam ni, PI cakap otak. Ni Sk letak garam dan serbuk kunyit sedikit sahaja kemudian goreng dalam minyak sedikit

Boleh terbalikkan apabila ia sedikit garing dan goreng sebelah lagi sehingga garing jugak. Sedap betul rasa masin-masin garing gitu, betul-betul membuka selera, hihihi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://sariyusa.blogspot.com/2025/11/masak-ketam-nipah-lada-hitam.html