Mantapkan Parti Sekarang Bukan Masa Terbaik Bicara Soal Pembahagian Kerusi Ismail Sabri
Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekarang ini bukan masa terbaik untuk membicarakan soal pembahagian kerusi secara terbuka kerana masih banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memantapkan parti.
Jelas beliau, soal pembahagian kerusi ini juga harus dibincangkan secara dalaman parti antara kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan di peringkat Muafakat Nasional bersama rakan baru PAS.
“Saya menghormati pandangan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkaitan pengagihan kerusi BN memandangkan kepimpinan parti sentiasa mendengar suara semua pihak.
“Sudah pasti kepimpinan di peringkat tertinggi UMNO dan BN akan memikirkan jalan terbaik dalam isu ini kerana soal pembahagian kerusi adalah satu perkara yang agak sensitif malah ia juga perkara besar bagi menentukan kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“Justeru sekarang ini bukan masa yang tepat untuk membicarakan isu ini kerana apa yang perlu kita tumpukan adalah bagaimana untuk memantapkan parti,” ujar beliau melalui satu kenyataan media.
Tambah Ismail yang juga merupakan Naib Presiden UMNO, mengambil kira kemenangan besar BN di PRK Tanjung Piai yang menunjukkan perubahan senario politik di peringkat kaum Cina, MCA seharusnya menjaga dan memastikan momentum ini kekal bukan hanya di Tanjung Piai tetapi sehingga ke PRU-15 nanti.
“Ini juga adalah medan terbaik untuk MCA bertanding di kawasan majoriti Cina dan membuktikan bahawa MCA adalah pilihan terbaik untuk kaum Cina menyandarkan harapan memandangkan Dap telah terbukti gagal untuk membela nasib mereka.
“Sebagaimana UMNO menjaga dan mempertahankan kerusi di kawasan majoriti Melayu, begitu juga MCA harus berani dan tidak hanya bergantung harap kepada kawasan campuran Melayu.
“Kini, fokus kita adalah menyakinkan rakyat bahawa BN adalah pilihan terbaik dan jangan sesekali kita merosakkan momentum ini hanya kerana isu pembahagian kerusi. Ingat, jiwa besar yang sentiasa BN amal dan terapkan adalah kunci kepada perpaduan parti yang tidak mampu ditiru oleh mana-mana parti lain,” tegas beliau. – UMNO ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/12/13/mantapkan-parti-sekarang-bukan-masa-terbaik-bicara-soal-pembahagian-kerusi-ismail-sabri/