Mantai Aktiviti Yang Dirindui
Assalamualaikum.
Kalau korang follow SA lama memang tau la SA memang selalu share pasal Mantai ni...almost every year share aktiviti ni...malas plak nak cari entry yang lepas...takpe..kita citer lagi...Mantai merupakan aktiviti sehari sebelum puasa dimana orang- orang negeri sembilan bertungkus lumus menyediakan persiapan juadah hari raya. Masa tu la aktiviti beli daging lembu segar diadakan...ramai peniaga menjual daging lembu yang baru di sembelih di tepi- tepi jalan di setiap daerah...seronok la...tapi kena la keluar awal pagi..selalunya kami keluar sejurus selepas solat subuh...bukan daging lembu je..ada ayam, itik, kambing dan kerbau jugak...seronok uiii...tahun ni insyaallah SA nak ikut Pak Zain pi Mantai lagi..
Bercerita tentang Mantai...memang ini aktiviti yang dirindui...jenjalan ke kampung- kampung memang terasa bahang jhari raya...baru ni SA terbaca di group Negeri Sembilan Kini tentang aktiviti Mantai yang dirindui...SA share kat sini...dan credit to owner post di akhir entry...exactly apa yang family SA lakukan masa Mantai..
Kalau dulu masa kat kampung seronok...siap bakar lemang, masak lemang apa segala lepas tu bertukar juadah dengan jiran kampung...sambil buat persiapan tu semua...masa memasak sambil adik sepupu main meriam buluh...ya allah kalau ada anak kecik memang tka boleh tido la anak tu...masa tu la kami terjerit2 sebab terkejut...belum kes ada yang melatah lagi...masa tu la seronok mengusik...meriah betul..
Jom baca
Sup gearbox memang wajib buat every year...tahun ni buat jugak rasanya..
Rendang daging daun puding
Daging salai masak lemak cili api
Aktiviti Mantai...
MANTAI YANG DI RINDUI 😌
Jika pasangan anda merupakan anak jati Negeri Sembilan dan tiba-tiba menyuarakan permintaan untuk pulang ke kampung sehari sebelum Ramadan, cubalah penuhi permintaan itu. Ia bukan permintaan biasa-biasa. Pasangan anda sedang mengingati sesuatu yang istimewa pada zaman kecilnya. Dia rindu dengan jeritan - mantai... mantai.
Ini cerita "kami" tentang Mantai.
"Mantai" pada orang Negeri Sembilan merupakan adat yang cukup istimewa. Ia berlaku sehari sebelum Ramadan. Pada kebiasaannya, semua seisi keluarga kami akan berkumpul dan melaksanakan aktiviti bersama dalam persediaan menyambut Ramadan keesokkan hari.
Biasanya pada hari Mantai, awal pagi lagi sudah kecoh seisi rumah kami. Daging atau tulang lembu harus didapatkan segera. Kalau dapat temusu, perut atau ekor lembu bagus juga. Jangan terperanjat jika ada keluarga yang menyembelih lembu awal pagi seolah-olah esok hari raya. Ada juga keluarga kami yang memilih untuk menyembelih beberapa ekor ayam kampung.
Ibu akan jadi ketua untuk menentukan masakan. Habislah kelapa dipanjat untuk didapatkan santan. Pokok cili kami akan togel hari tersebut. Maklumlah, jika tiada cili apalah makna masakan kami.
Jika rezeki baik adalah nangka muda yang boleh dibuat gulai atau belimbing buluh jadi pilihan. Jika tidak umbut kelapa kami gunakan. Mungkin juga rebung atau jantung pisang.
Daun-daun kayu kami kumpul. Kami dapatkan pucuk ubi, pucuk kacang, daun kunyit, daun kaduk dan pucuk labu serta petai. Ibu kami masak semua daun-daun itu bersama tempoyak dan magiknya ia jadi sambal tempoyak daun kayu yang sangat kami sukai.
Mantai di sisi adat kami memang begitu. Kami menyediakan makanan yang istimewa. Lemang harus dibakar, dodol mesti dikacau. Jika musim durian tiba, dodol durianlah kami tahun itu. Rendang ayam atau daging pasti tidak dilupa. Nasi seperiuk godang harus ditanak.
Anak-anak kecil akan ditugas membersihkan rumah. Dari ruang tamu hingga ke halaman. Malah ada yang sudah menyediakan pelita keliling rumah. Ia bagai pesta menyambut Ramadan.
Tidak dilupakan pada yang telah pergi. Kami akan ke kubur. Sedekahkan Al-Fatihah pada ahli keluarga yang pergi lebih dahulu. Dalam masa itu juga kubur akan kami bersihkan sebaiknya. Buat persediaan raya nanti bila saudara mara yang jauh datang bertandang. Dapatlah mereka lihat bahawa kubur ahli keluarga bersih dan terjaga. Pada kami, jika kubur bersih, tanda ingatan kasih sayang kami pada yang pergi tetap sama dan tidak berubah.
Hari ini juga kami sempatlah bertemu kawan-kawan yang lama sudah tidak ketemu. Ada masa terluang, sempat kami bersama ronda satu kampung menaiki motor lama ayah. Kami ke sekolah lama, atau mungkin ke sungai tempat mandi manda dulu atau mungkin ke lokasi rahsia kami kecil kecil dahulu. Bagi yang sedikit nakal, buluh kami cari. Tak lama selepas itu, berdentumlah meriam buluh kabait kami.
Kemuncaknya Mantai pastilah makan bersama. Makan bersila dalam bulatan besar sangat menyelerakan. Berpeluh peluh dek tiada kipas waktu itu ditambah masakan ibu yang pastinya pedas.
Malam bersedialah kami untuk ke Masjid untuk Terawih yang pertama. Makanan yang dimasak dari awal pagi akan dibawa bersama. Ia jadi hidangan bersama seisi kariah nanti.
Dapatlah berkongsi rasa dan cerita sepanjang malam. Yang pandai mengaji, berlagulah masjid kami dengan bacaan Al Quran mengisi malam Ramadan yang syahdu. Kadang kala bacaan Al Quran berlagu bersama dentuman perang meriam buluh yang tidak selesai.
Sahur esoknya, makanan tadi juga akan dihidang. Hanya mungkin ada tambahan. "Mano datang pulak rondang itik podeh ni?". Ia biasa pada kami kerana hidangan jiran juga akan sampai ke dapur kami.
Itulah Mantai pada kami. Benar bahawa Mantai zaman ini sudah tidak sama lagi. Tapi kami harus juga balik mengadap rumah usang itu. Mengadap kubur yang sunyi itu. Mengadap wajah ibu dan ayah yang makin di mamah usia itu.
Kami masih mahu mengadap tok guru mengaji Al Quran atau jiran tua yang kami anggap saudara. Malah kami sangat senang mengadap pokok durian, rambutan atau mangga sambil tersenyum. Pasti ada kenangan zaman kecil yang istimewa.
Kami masih mahu pulang di hari Mantai walaupun ia sudah tidak semeriah dulu.
Mungkin yang kami cintai sudah tiada lagi atau mungkin seisi keluarga tidak lagi dapat berkumpul bagai zaman kecil kami.
Tetapi kami tetap mahu pulang ke kampung walaupun Mantai itu tidak sama lagi. Kerana apa? Kerana kami mahu mengenang zaman kecil yang nostalgik itu. Ia mungkin tidak ada apa apa makna pada orang lain. Pada kami - anak jati Negeri Sembilan - 'Mantai' itu terlalu istimewa.
Anak Jati Negeri Sembilan yang merindui "Mantai"nya.
Syirfan Indra
#NegeriSembilanKiNi
#Mantai
#DenAnakNogori
#negerisembilan
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.suriaamanda.com/2023/04/mantai-aktiviti-yang-dirindui.html