Mana Pergi 4 Suspek Kes Bunuh Adib
fazleensafinaPEMBELA seru umat Islam tuntut kerajaan segerakan perbicaraan penuh kes bunuh Allahyarham
BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyeru umat Islam untuk terus menuntut kerajaan supaya menyegerakan perbicaraan kes pembunuhan pegawai bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Naib Pengerusi PEMBELA, Mohd Nor Izzat Mohd Johari mengakui bahawa pihaknya hairan apabila empat lelaki dipercayai terbabit dalam insiden kematian Muhammad Adib masih belum ditahan semula.
“Ke mana empat suspek ini? Kenapa masih belum ditahan semula selepas keputusan Mahkamah Koroner mengesahkan arwah Adib dibunuh semasa kejadian?
“Mohon Ketua Polis Negara segerakan siasatan dan mendakwa semua suspek bunuh arwah Adib ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden kematian Muhammad Adib yang parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dibebaskan daripada tahanan reman, tiga tahun lalu.
Majistret Nurshahirah Abd Salim membenarkan dua suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.
Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 24 tahun sebelum ini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Allahyarham Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Allahyarham Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.
Bagaimanapun sehingga ke hari ini, pembunuh Allahyarham masih belum ditemui sekali gus menunjukkan kes kematian anggota bomba itu seolah-olah gagal menemui titik noktah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/mana-pergi-4-suspek-kes-bunuh-adib.html