Mampukah Pejuang Pimpinan Mahathir Gugat Perikatan Nasional
- Dr Jeniri Amir
-August 17, 2020
AHLI PARLIMEN Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menjadi Presiden Umno selama 22 tahun yang memungkinkan beliau menjadi Perdana Menteri untuk tempoh itu.
Beliau juga pernah dipecat daripada Umno oleh Tuanku Abdul Rahman selepas kejadian 13 Mei 1969.
Dr Mahathir juga pernah keluar masuk Umno, sebelum mengambil keputusan untuk terus meninggalkan parti yang pernah meletakkan beliau di persada kuasa itu pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.
Menjelang PRU-14, beliau dilantik sebagai Pengerusi Bersatu dan Pengerusi PH. Meskipun parti pimpinannya, Bersatu, yang beliau menjadi Pengerusi hanya memenangi 13 kerusi Parlimen, beliau tetap dilantik sebagai Perdana Menteri.
Namun, Dr Mahathir tidak lama berada di kerusi itu apabila PH tumbang pada pertengahan Februari lalu susulan tindakan drastik persoalan, selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Dr Mahathir dan empat lagi Ahli Parlimen Bersatu dipecat dari parti itu atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.
Beliau kemudiannya menyaman Tan Sri Mahyuddin Yassin sebagai pemimpin bersatu, dan menegaskan beliau masih lagi ahli Bersatu yang sah, masih lagi memegang jawatan dalam dan layak untuk bertanding pada pemilihan parti.
Perdana Menteri berjaya dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman yang difailkan Dr Mahathir berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Bersatu.
Pada 7 Ogos lalu, bekas Pengerusi Bersatu itu mengumumkan akan menubuhkan parti baharu. Tindakan ini diambil selepas beliau tidak yang berasaskan perjuangan Melayu dan pribumi, seperti Bersatu yang diasaskannya sebelum ini.
Dr Mahathir memberi bayangan bahawa nama parti baharu yang akan dibentuk dikenali sebagai Parti Pejuang Tanah Air atau Pejuang.
Apakah objektif atau agenda penubuhan parti baharu itu?
Adakah parti baharu itu akan mendapat sokongan daripada rakyat dan penyokong beliau seperti sokongan yang diberi terhadap PKR atau Bersatu sebelum ini?
Atau Pejuang akan gagal sebagai pejuang?
Objektif penubuhan Pejuang secara tidak langsung didedahkan oleh Ahli Parlimen Langkawi itu menerusi satu ciapan di akaun Twitter peribadinya dalam bentuk sajak pada Rabu.
Parti Baharu ‘Pejuang’
Parti kami ditubuh kerana kesedaran.
Rasuah menghancur bangsa.
Rasuah yang hancur orang Melayu.
Jika ingin dapat jawatan dan wang.
Pilih parti lain.
Jika ingin tebus maruah.
Jika ingin kekal hak kita.
Pilih parti kami.
Pilih ‘Pejuang’.
Maksudnya, penubuhan parti itu adalah atas kesedaran mengenai rasuah yang disifatkan beliau sebagai mampu menghancurkan bangsa dan orang Melayu.
Jadi, tujuan penubuhan parti itu adalah untuk menghapuskan rasuah dan untuk menebus maruah serta mengekalkan hak.
Hak siapa? Hak orang Melayu?
Ini kerana menurut dakwaan Dr Mahathir, Bersatu telah ‘dirampas’ untuk menyelamatkan musuhnya, iaitu BN.
“(Bersatu) ditubuh untuk hapuskan kleptokrat. Sekarang beralih untuk selamat kleptokrat, kerana apa, kerana jawatan dan wang,” tulis Dr Mahathir.
Persoalannya, kewujudan parti ini yang berteraskan kemelayuan akan memburukkan perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini.
Seyogia diingat, pada akhir tahun 2018, Dr Mahathir pernah menyatakan bahawa perpecahan orang Melayu dalam konteks kepartian menyebabkan bangsa Melayu menjadi minoriti di negara sendiri.
Disebabkan perpecahan itu, menurut beliau, bangsa Melayu terpaksa bergantung kepada ‘orang lain untuk mendapatkan kemenangan.
Sekurang-kurangnya terdapat enam parti Melayu di Semenanjung ketika ini, iaitu Umno, Pas, Amanah, PKR, Bersatu, dan kini Pejuang.
Dengan kewujudan parti yang diasaskan beliau itu, mampukah ia mengukuhkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan Islam?
Atau Dr Mahathir akan memburukkan lagi keadaan?
Malah, katanya, orang Melayu sendiri mengurangkan peratusan 60 komposisi penduduk Melayu di negara ini sehingga menjadi tiga atau empat buah parti yang masing-masing menjadi minoriti dan bergantung kepada orang lain.
Sekarang, Dr Mahathir sendiri yang terus memecahkan masyarakat Melayu — satu perkara yang ditentangnya sebelum ini.
Inilah ironinya Dr Mahathir. Orang lain tak boleh buat, tetapi beliau buat.
Pemimpin yang bernama Dr Mahathir penuh dengan kontradiksi. Apa yang beliau kata, tidak semestinya beliau buat.
Contohnya begitu banyak. Anda hanya perlu rajin membaca segala ucapannya yang telah dibukukan, biografi dan sekurang-kurangnya 50 buku tentang beliau.
Rakyat wajar bertanya, pada usia 95 tahun, apakah sebenarnya motif Dr Mahathir menubuhkan parti itu?
Adakah Pejuang benar-benar dapat berjuang untuk memenuhi segala objektif dan agenda penubuhan parti itu?
Sejauh manakah misalnya Pejuang atau kepemimpinan Dr Mahathir sebelumnya ketika menerajui Umno dan Bersatu berjaya menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa?
Pada zaman pemerintahan siapakah unsur berkenaan banyak berlaku?
Adakah pada zaman pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun di bawah BN dan 22 bulan di bawah PH, tidak ada rasuah dan salah guna kuasa?
Maksudnya, negara ini bersih daripada unsur berkenaan?
Yang jelas sekarang setidak-tidaknya Dr Mahathir berjaya memastikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz menjadi Presiden parti baharu itu dengan harapan kemudiannya, kalau Pejuang dapat menjadi dominan pembangkang, Mukhriz akan akhirnya dapat dilantik menjadi Perdana Menteri.
Ya, mampukah Pejuang muncul sebagai parti utama seperti PKR, Umno atau Pas?
Atau Pejuang akan kecundang di tengah jalan?
Kelihatannya, para penyokong parti itu banyak bergantung kepada pengaruh dan nama besar Dr Mahathir.
Masalahnya, Dr Mahathir pada usia 95 tahun bukan Dr Mahathir 20 atau 30 tahun lalu. Sebaliknya, berdasarkan kajian, populariti beliau telah merudum, sebahagiannya disebabkan, tindak-tanduknya sendiri dan dasar ketika Bersatu yang diterajuinya memerintah. Cakap tidak serupa bikin. Janji besar dalam manifesto tebal PH, gagal dikotakan menyebabkan rakyat dan penyokong PH kecewa.
Hakikatnya, tidak mudah bagi mana-mana parti baharu untuk mendapat sokongan rakyat kecuali jika terdapat faktor luar biasa yang terdapat pada parti itu.
Apa luar biasanya Pejuang?
Pejuang hanya sebuah parti yang digunakan untuk menampung pemimpin yang tidak ada tempat dalam Bersatu atas nama berjuang untuk kepentingan rakyat. Rakyat yang celik politik, tidak akan mudah terperangkap dalam permainan politik Dr Mahathir, kerana mereka telah menyaksikan warna dan watak sebenar ketika beliau berkuasa.
Jadi, adakah Pejuang akan sekadar berada di pinggiran dalam landskap politik negara?
Pejuang dijangka tidak akan membawa impak besar dalam arena politik negara menjelang PRU-15 nanti kerana kehadirannya bukan seperti kehadiran PKR pada PRU 1999 atau Bersatu dalam PRU 2018.
Saya percaya Dr Mahathir sedar akan perkara ini, tetapi kerana ketiadaan parti untuk menjadi tempat berteduh, maka beliau tidak pilihan, kecuali menubuhkan Pejuang.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2020/08/mampukah-pejuang-pimpinan-mahathir.html