Malaysia Wilayah Ltte
Tidak mustahil kumpulan diaspora LTTE tuntut wilayah di Malaysia
SHAH ALAM - Tindakan polis menahan 12 individu termasuk dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membantu siasatan berkaitan kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah langkah diradikalisasi dan mencegah sebelum diaspora perjuangan mereka menjadi 'barah' kepada negara ini.
Pakar Kajian Strategik Antikeganasan dan Diradikalisasi dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Profesor Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, diaspora perjuangan LTTE sebenarnya sudah berkembang sangat pesat di negara ini dan digerakkan sepenuhnya pemimpin menggunakan platform parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan.
Menurutnya, sekiranya langkah diradikalisasi aktiviti kumpulan itu tidak dilaksanakan awal, tidak mustahil kumpulan ini turut menuntut wilayah pembebasan keturunan Tamil di Malaysia sebagaimana tuntutan mereka terhadap negara Sri Lanka.
"Hasil kajian saya di lapangan membuktikan aktiviti penggerakan operasi kumpulan diaspora LTTE kini semakin diperkukuhkan dengan perlindungan diberikan oleh pemimpin-pemimpin politik terutama dari DAP selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Meskipun organisasi LTTE disahkan tamat operasi pada tahun 2009, diaspora perjuangan mereka disambut sebilangan masyarakat India di negara ini yang majoriti terdiri keturunan Tamil dibawa kerajaan British dari selatan India sebelum merdeka.
"Justeru langkah awal polis melaksanakan tangkapan terhadap pemimpin dikaitkan kumpulan LTTE adalah tepat kerana tidak mustahil kumpulan diaspora ini akan menuntut pula wilayah di negara ini suatu hari nanti," katanya kepada Sinar Harian.
Dr Mizan berkata, ancaman paling berbahaya boleh dihadirkan kumpulan diaspora LTTE ini adalah mereka mampu melaksanakan agenda keganasan secara sistematik dan berkeupayaan mencetuskan konflik keharmonian kaum yang membawa kepada rusuhan kaum.
Katanya, kumpulan diaspora LTTE ini juga mampu memberi kesan negatif kepada negara apabila masalah luar terutama membabitkan konflik di Sri Lanka dan India dibawa masuk ke negara ini.
"Mereka merupakan kumpulan pertama menjalankan modus operandi letupkan diri serta satu-satunya kumpulan pengganas yang membunuh dua perdana menteri.
"Mereka juga merupakan sebuah kumpulan pemberontak yang menggunakan kanak-kanak dan wanita untuk menjalankan operasi mereka di seluruh India, Pakistan dan Sri Lanka.
"Saya yakin sesi penangkapan individu berkaitan dengan LTTE akan terus dijalankan polis demi menangani sebarang penentangan yang akhirnya menjadi 'barah' negara ini," katanya.
Sementara itu, Penganalisis Pertahanan dan Perunding Keselamatan, Muhammad Fuad Mat Noor menegaskan tindakan itu penting bagi mengelakkan Malaysia dijadikan medan konflik secara tidak langsung antara dua pihak bertelagah iaitu LTTE dan kerajaan-kerajaan berkaitan seperti Sri Lanka dan India.
Menurutnya, beliau berpandangan polis mula merasakan kerisauan kumpulan LTTE menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk menyalurkan dana kewangan dan peralatan ketenteraan membantu operasi kumpulan pengganas itu.
"Selain itu, agenda penangkapan individu-individu berkaitan LTTE tidak seharusnya dipolitikkan kerana perlaksanaannya adalah untuk kepentingan negara.
"Paling penting, isu menyokong perjuangan LTTE tidak harus disamakan dengan perjuangan rakyat Palestin kerana rakyat Palestin memperjuangkan hak mereka yang sememangnya diperakui dunia, sebaliknya perjuangan LTTE tidak mempunyai asas kukuh," katanya.
Muhammad Fuad turut meminta mana-mana pemimpin politik yang mempertahankan keputusan 'bersimpati' dengan perjuangan LTTE supaya tidak bersikap 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan'.
Menurutnya, pendedahan penyaluran dana kewangan oleh kumpulan diaspora LTTE negara ini termasuk pemimpin politik ke kumpulan itu sepatutnya disalurkan untuk menaik taraf kehidupan dan menjaga kebajikan masyarakat India negara ini.
"Tidak wajar sekiranya pemimpin politik diangkat rakyat berbilang kaum di negara ini lebih mengutamakan perjuangan kemerdekaan kumpulan yang terletak beribu batu dari negara ini, tetapi tidak fokus kepada kebajikan masyarakat India negara ini.
"Paling penting pemimpin parti politik terlibat perlu muhasabah diri dan mengenal pasti sama ada kepentingan perjuangan negara lebih penting atau kepentingan perjuangan bersifat peribadi seperti LTTE," katanya. - www.sinarharian.com.my
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://tungkaranhati.blogspot.com/2019/10/malaysia-wilayah-ltte.html