Maknyah 2 Tokoh Besar Islam Dan Seorang Mufti Negeri
 Faisal Tehrani

Baru-baru  ini telah tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan  pergaduhan 2 orang yang dipercayai wanita trans di hadapan sebuah  farmasi di pusat membeli belah di Kuala Lumpur.
 Menerusi klip video itu, kelihatan mangsa ditarik keluar dari farmasi  berkenaan oleh seorang lagi wanita trans. Mangsa ditampar dan diherdik  berulang-kali yang kemudiannya berakhir dengan pergelutan antara  kedua-dua mereka.
 Kita tidak dapat menolak, ada kemungkinan video ini mencetuskan komen  daripada Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang berbunyi: “Hanya 2  jantina yang diiktiraf. Tiada yang ke-3. Agama mengharamkan jantina  bidaah yang dinamakan ‘maknyah’ atau ‘saudarai’ atau apa sahaja  namanya.”
 Komentar tersebut serta-merta mendorong cetusan di hati ini, apakah  mazhab yang dipegang oleh saudara mufti memandangkan 2 orang ulama  besar, masing-masing dari dunia Sunni dan Syiah, pernah mengiktiraf  trans, dan mengizinkan pembedahan tukar jantina (SRS) sejak tahun  1980an.
Sheikh al-Tantawi bermazhab Sunni dari Mesir dan Ayatullah Khomeini  bermazhab Syiah dari Iran mungkin tidaklah seprogresif Asri seperti yang  beliau megahkan. Kedua-dua mereka dapat digolongkan sebagai  neo-tradisionalis.
 Untuk memahami proses pengeluaran hukum yang mendorong fatwa keizinan  untuk melakukan pembedahan tukar jantina (SRS) daripada kedua-dua ulama  besar ini, kita perlu melihat bagaimana mereka membuka mata terhadap 2  kes wanita trans.
 Kes pertama adalah Sally atau nama kelahirannya Sayyid Abd Allah yang  merupakan penuntut di Fakulti Perubatan Al-Azhar di awal tahun 1980an.  Beliau mengalami kemurungan yang dahsyat yang mana pakar psikologi telah  menyatakan beliau mengalami “psychological hermaphroditism”.
 Pakar psikologi cuba merawat Sayyid selama 3 tahun, tetapi gagal, dan  kemudiannya merujukkan beliau kepada pakar yang akan melakukan  pembedahan jantina.
 Pakar bedah tersebut telah merujukkan Sayyid kepada ahli psikologi  kedua yang turut bersetuju dengan pandangan yang pertama. Sayyid  akhirnya melakukan SRS.
 Tetapi selepas melakukan pembedahan tersebut, dekan fakulti enggan  membenarkan Sally (nama baharu Sayyid) menduduki peperiksaan dan  keributan berlaku.
Untuk menyelesaikan masalah ini, fatwa mufti Mesir diperlukan. Pihak  Majlis Perubatan mengutus surat kepada Sheikh Tantawi pada 14 Mei 1988  meminta pandangan atau ijtihad beliau. Beberapa pemeriksaan dilakukan  terhadap Sally yang mana pakar turut mengesahkan tiada kesan liwat. Ini  membolehkan satu konklusi yang mana Sally diputuskan adalah seorang  trans dan bukan gay.
 Fatwa Sheikh Tantawi bertarikh 8 Jun 1988 ini dirakam secara  terperinci oleh Skovgaard-Petersen, seorang sarjana yang meneliti  institusi fatwa.
 Kisah ‘maknyah’ Iran
 Kes kedua adalah Fereydoon Mulkara (1950-2012) kelahiran Iran.
 Sejak kecil, Fereydoon sudah mempunyai naluri keperempuanan dan  sering diejek. Dia mengenakan busana perempuan sehinggalah diusir  ibu-bapa.
 Di awal usia 20an, beliau bertugas sebagai pembantu di rumah jagaan  orang tua yang menemukannya dengan seorang pakar psikologi. Fereydoon  memberitahu beliau merasakan dirinya wanita, dan bukan gay lelaki.
 Pakar psikologi itu menjelaskan beliau mengalami “psychological  hermaphroditism”. Ini mendorong Fereydoon, seorang yang warak, untuk  mendapat pandangan seorang ulama besar di Tehran iaitu Ayatullah  Behbehani.
 Behbehani melakukan istikharah (ala Ja’fari iaitu dengan Al-Quran)  dan halaman Al-Quran yang terbuka ketika proses istikharah tersebut  adalah muka pertama Surah Maryam.
 Sejak itu Fereydoon menggunakan nama Maryam. Behbehani menyarankan  Maryam menulis surat kepada Ayatullah Khomeini yang ketika itu hidup  dalam buangan.
 Apabila Imam Khomeini berada di Paris, Maryam mengambil peluang ke  Perancis untuk menemuinya; tetapi gagal. Berbekalkan pandangan  Behbehani, Maryam mulai mengambil hormon yang membolehkan payu daranya  mengkal.
 Apabila Revolusi Iran meletus, Maryam hilang mata pencarian selepas  diberhentikan oleh Televisyen Iran. Dia malah ditangkap berkali-kali  kerana berpakaian wanita, dihumban ke dalam penjara dan disuntik tanpa  kebenarannya hormon testosteron untuk mengembalikan keadaan asal dadanya  (tanpa buah dada yang mekar).
 Maryam menemui pula seorang ulama konservatif, Ayatullah Ahmad Jannati, yang mencadangkan beliau menulis surat kepada Khomeini.
 Khomeini yang tidak memahami isu Maryam telah mengeluarkan fatwa  untuk membenarkan beliau sebagai seorang perempuan dengan sangkaan  Maryam seorang khunsa dengan 2 jantina.
 Keadaan itu amat menyeksa Maryam, beliau memiliki payu dara, dan dipaksa berpakaian lelaki dengan jambang.
 Maryam, yang merupakan seorang yang kuat beragama telah menawarkan  diri untuk berkhidmat di barisan hadapan ketika perang Iran-Iraq.  Kelembutan layanan dan rawatan yang beliau berikan telah mendorong  banyak pertanyaan dalam kalangan askar. 

Maryam yang menjalani pembedahan jantina (kiri) bersama suaminya Mohamad.Pada 1983, tidak tahan lagi dengan penderitaan yang dialaminya;  Maryam berusaha menemui Khomeini, lalu berangkat ke luar rumah Imam.
 Sambil memegang Al-Quran di tangannya, dia menggantung kasut di  tengkuk sebagai satu lambang dalam kalangan orang Iran (tanda menyerah  diri dan memerlukan perlindungan).
 Tindakan itu disalah tafsir pengawal rumah Khomeini yang menyangkakan ia adalah alat letupan. Maryam dibelasah dengan dahsyat.
 Ketika dipukul Maryam menjerit, “Saya seorang perempuan, saya seorang perempuan”.
 Tatkala itu abang Khomeini, Hasan Pasandideh, melintasi halaman dan  terkejut melihat tindakan pengawal membelasah seseorang sehingga  berdarah.
 Maryam dibawa ke ruang tamu di rumah Khomeini. Beliau kemudian menceritakan apa yang berlaku kepada anaknya Ahmad Khomeini.
 Pengawal mempertahankan tindakan mereka dengan menunjukkan kasut yang  diikat di tengkuk. Maryam memutuskan untuk merungkai sepatu itu,  berteriak “saya perempuan” seraya kemudian melondehkan baju sehingga  terdedah payu daranya.
 Sebaik sahaja buah dadanya kelihatan, wanita di kalangan ahli  keluarga Khomeini segera membawakan chador dan membawa Maryam masuk ke  kamar Imam.
 Di hadapan Khomeini, beliau pengsan. Beberapa tahun kemudian apabila  diwawancara, Maryam menjelaskan beliau pengsan kerana merasakan sudah  berada di syurga. Ini kerana usaha beliau untuk menemui Imam Khomeini  akhirnya berhasil.
 Khomeini telah meminta pandangan 3 orang doktor pada waktu itu dan memarahi pengawalnya kerana melayan wanita sebegitu buruk.
 Beliau kemudian memberikan fatwa membenarkan Maryam melakukan SRS.  Presiden Iran ketika itu, Ali Khamenei menghadiahkan chador kepada  Maryam. Hanya beberapa tahun kemudian barulah Maryam melakukan  pembedahan di Thailand.
 Maryam malah menubuhkan Yayasan Imam Khomeini untuk mendanai mereka  yang memerlukan SRS. Yayasan ini kemudian didanai kerajaan Iran apabila  Zahra Shojai, seorang wanita dilantik menjadi naib presiden.
 Maryam mengahwini seorang penjawat awam bernama Mohamad dan meninggal dunia pada tahun 2012.
 Islam tidak herdik golongan trans
 Untuk memutuskan kes Sally, Sheikh Tantawi telah melakukan ijtihad  dengan memberi perhatian kepada qias sebagai salah satu sumber hukum.  Ini dilakukan berasas sebuah hadis yang mana Rasulullah tidak melarang  kaum mukhannath masuk ke ruang perempuan sehinggalah baginda mendengar  mereka memberi perincian tentang fizikal wanita itu kepada orang lain.
 Berdasarkan kefahaman Tabari, Tantawi berpandangan kaum mukhannath tidak wajar disalahkan dan mesti dirawati.
Ini mendorong kepada langkah kedua di mana Tantawi memutuskan berdasarkan hadis yang setiap penyakit hendaklah diubatkan.
 Tantawi seterusnya merujuk kepada hadis Ahmad bin Hanbal dan Muslim  menerusi Jabir yang mana Rasulullah menghantar seorang pakar memotong  urat dan menyembuhkannya dengan kaedah tersebut.
 Berdasarkan perbincangan al-Qastallani dan al-Asqalani, Tantawi  memutuskan SRS diperbolehkan. Di akhir sekali Tantawi menyatakan sesiapa  yang ingin melakukan pembedahan hendaklah mendapatkan nasihat pakar  perubatan dan bukan memandai.
 Dalam kes Imam Khomeini, Syiah tidak mengiktiraf qiyas sebagai sumber  hukum. Akan tetapi salah satu sumber hukum dalam mazhab Ja’fari Syiah  adalah akal, yang mana membawa Khomeini kepada kaedah-kaedah fekah  sebagai penyelesaian.
 Pertama, Khomeini menggunakan kaedah fekah isalat al-ibahah dan  isalat al-hillyyah yang mana setiap sesuatu yang tidak dapat diputuskan  secara jelas sebagai haram, atau halal, adalah dengan itu dibenarkan dan  hukumnya diperbolehkan asalkan tiada keterangan jelas yang ia haram  berdasar sumber Islam.
 Pun begitu, Khomeini menyatakan, jika ia tidak benar-benar diperlukan, makanya ia tidak diperbolehkan.
 Kedua, kaedah fekah isalat al-taslit turut digunakan yakni adalah  menjadi hak setiap individu untuk mengubah badan dan kepunyaan sendiri.
 Peringkat ketiga, Khomeini menetapkan SRS boleh dilakukan dengan sokongan pakar perubatan dan psikologis.
 Akhir sekali kaedah yang paling besar adalah ijtihad itu sendiri yang  mana di dalam Syiah terdapat peranan masa dan tempat di dalam ijtihad  yang menjadikan ia dinamik.
 Dalam erti kata lain, ijtihad membenarkan fleksibiliti. Ini  menjelaskan banyak fatwa Khomeini seperti kebenaran bermuzik, bermain  catur dan hak wanita sebagai ahli parlimen.
 Kedua-dua kes melibatkan Sally dan Maryam menunjukkan agama Islam tidaklah semberono mengherdik trans.
 Malah ulama besar dalam dunia Sunni dan Syiah yang dianggap  tradisional pun boleh menyantun dan beradab dalam mengeluarkan fatwa dan  kenyataan.
 Kesemberonoan tidak harus keluar daripada seorang mufti. Sebarang  pandangan dan hujah keras dan menghukum akan menjadikan masyarakat juga  keras dan menghukum sendiri.
 Adalah dibimbangi ada yang mengambil tindakan sendiri atas dasar kebencian.
 Mufti di Malaysia yang perasan progresif boleh menemui sendiri para  trans, mendengar penderitaan mereka, berbincang dengan pakar perubatan  dan psikologi; seperti yang dilakukan oleh ulama besar Tantawi dan  Khomeini.
 Usahlah bersombong dengan ilmu di dada dan memilih jalan herdik dan hamun.
 Ketahuilah, umat memerlukan; kamu adalah mufti, bukan penunggang keldai dengan cemeti.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/01/maknyah-2-tokoh-besar-islam-dan-seorang.html