Makanan Viral Undang Bahaya
Sejak kebelakangan ini, masyarakat diperkenalkan dan didedahkan dengan pelbagai jenis makanan yang viral. Ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata nak merasai makanan yang dipopularkan menerusi media sosial. Malah, ramai yang tidak kisah beratur panjang di bawah panas terik matahari semata-mata nak mencuba makanan atau minuman viral ini.
Keinginan untuk mencuba makanan dan minumun viral ini samada kerana kesan reviu oleh pempengaruh (influencer) mahupun daripada iklan serta poster visual mengiurkan makanan atau minuman tersebut. Saya sendiri pun kadang-kala 'terpedaya' tanpa memikirkan bahawa makanan viral boleh mengundang bahaya kepada kesihatan.
Makanan Viral Mengundang Penyakit
Menerusi satu poster daripada Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, ada menyenaraikan 4 ciri penting makanan viral yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna. Ciri-ciri ini banyak terdapat pada makanan dan minuman viral ini sebagai satu tarikan kepada pengguna untuk mencubanya.
Empat ciri utama tersebut adalah ...
Portion Makanan Besar
Ada makanan viral yang memaparkan portion yang besar yang sebenarnya mengandungi jumlah kalori yang tinggi. Penggunaan perkataan seperti 'gergasi', 'melimpah', 'gunung', 'raksasa', 'gorgon', 'gemuk' dan 'mega' sering digunakan dalam reviu dan iklan makanan viral ini untuk menarik orang ramai mencubanya. Pengambilan makanan yang berkalori tinggi boleh mengundang penyakit apatah lagi obesiti.
Rasa Sedap
Semua orang sukakan makanan yang sedap. Ciri ini antara menjadi penyebab sesuatu makanan atau minuman itu menjadi mudah viral. Namun, tak ramai menyedari biasanya makanan yang sedap akan mengandungi garam, gula, lemak atau MSG yang berlebihan. Ia boleh menjadi penyebab kepada penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, kolesterol dan masalah jantung.
Rupa Menarik
Tentu anda pernah lihat makanan pastri seperti kek dan roti yang dihias sangat menarik dengan penggunaan warna-warna yang terang yang mampu menangkap perhatian. Penggunaan pewarna ini biasanya datang dari bahan yang bergula tinggi. Pengambilan gula yang berlebihan antara penyebab peningkatan obesiti dalam kalangan masyarakat terutama sekali kanak-kanak.
'Banjir'
Istilah banjir yang diguna-pakai dalam memperkenalkan makanan viral juga sudah membawa maksud berlebihan. Orang ramai sangat tertarik dengan ciri ini kerana merasakan makanan tersebut mempunyai lebih nilai dengan wang padahal sebenarnya ia membuka ruang untuk masalah obesiti atau kegemukan berlebihan.
Cirian Untuk Persepsi
Cirian yang diberikan di atas sememangnya antara perkara yang diketengahkan dalam pemasaran untuk memperkenalkan sesuatu produk makanan atau minuman. Malah, dalam teknik pemasaran, penggunaan perkataan seperti gergasi, melimpah, banjir, mega dan seumpamanya mudah mendapat perhatian kerana ia membawa persepsi bahawa makanan atau minuman itu sangat berbaloi dengan nilai wang yang dibayar. Apatah lagi perkataan viral itu sendiri!
Menurut pesanan diberikan oleh KKM, sebenarnya tak salah jika sekali-sekala ingin merasa atau mencuba makanan atau minuman viral ini. Tetapi biarlah berpada-pada. Jangan sampai jadi ketagih sehingga mahu menikmatinya hari-hari. Dari mendapat nikmat akhirnya membawa kepada mudarat dan tergolong dalam kalangan mereka yang obesiti.
Sanggup jadi obesiti? Gemuk berlebihan?
Oleh itu, sentiasa ambil makanan atau minuman tersebut dalam kuantiti atau kekerapan yang terkawal.
Dalam Islam sendiri dianjurkan untuk besederhana, berhenti makan sebelum kenyang dan sentiasa jauhkan diri dari membawa mudarat. Manusia itu makan untuk hidup, dan bukan hidup untuk makan tetapi untuk beribadat kepada Maha Pencipta!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.hasrulhassan.com/2023/07/makanan-viral-undang-bahaya.html