Makanan Kurang Bersih Dr Maza Kecewa Segelintir Peniaga Tak Ikut Sop
Menjaga kebersihan adalah satu perkara yang sangat dituntut dalam Islam.
Apatah lagi jika melibatkan makanan, khususnya yang dijual untuk orang ramai.
Islam sendiri menitik beratkan konsep Halalan Thoyyiban (halal lagi baik/bersih), di mana elemen kebersihan itu menjadi salah satu tunggak dalam ‘kesempurnaan’ sesuatu makanan yang suci.
Bagaimanapun, sebagai manusia, kita tetap tidak dapat lari daripada kesilapan, termasuklah dalam bab menjaga kebersihan makanan yang dijual.
Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) baru-baru ini berkongsi pengalamannya sendiri berhadapan dengan segelintir peniaga makanan yang tidak menjaga nilai kebersihan dalam perniagaannya.
Mari baca kisah di bawah ini.
Gambar sekadar hiasan.
Peniaga Yang Kurang Bersih
Hari ini saya cuba solat di beberapa masjid yang berbeza di Perlis. Tujuannya, untuk melihat sejauh mana SOP yang ditetapkan dipatuhi. Alhamdulillah, secara umumnya, jamaah masjid-masjid mematuhi SOP yang ditetapkan. Mereka menjaga jarak, memakai pelitup muka, membawa sejadah dan tidak bersalaman.
Selepas mesyuarat malam ini, saya bawa anak dan isteri ke satu medan makan di Kangar. Bukan apa, dah sekian lama tak minum malam di kedai, ingin juga melihat perkembangan baharu. Saya memilih satu tempat iaitu medan makan terbuka yang mempunyai beberapa gerai makanan yang berbeza. Saya memesan ‘sotong goreng tepung’.
Dari meja saya duduk, saya nampak wanita yang membancuh tepung dan sotong itu meramas tepung dan sotong tanpa memakai sarung tangan. Sudahlah dia pegang bekas itu dan ini, kemudian memasukkan tangan ‘bogel’ ke dalam bancuhan tepung dan sotong tersebut.
Apabila dia hendak goreng, saya bangun ke gerai berkenaan dan bertanya “Ini sotong tepung untuk meja saya?” Dia menjawab ‘”Ya”. Saya bertanya: “Kenapa tidak pakai sarung tangan plastik tu?” Dia menjawab: “Payah (menyusahkan) pakai tu”.
Saya beritahu: “Saya akan bayar, tapi tidak perlu hidang”. Dia terdiam. Dia kata “Tak pa, tak pa”.
Saya melihat selang sebelahan ada gerai jual bakso. Saya pesan bakso dan memberitahu pekerja dari pengurusan tempat tersebut agar memastikan wanita bakso itu memakai sarung tangan. Saya nampak apabila pekerja tersebut berpesan agar dia memakai sarung tangan, baru dia memakai untuk tempahan saya.
Gambar sekadar hiasan.
Kemudian saya lihat dia membuka semula untuk hidangan orang lain. Dia memegang semua ramuan basah itu dengan ‘tangan bogel’ diselangi dengan memegang itu dan ini.
Saya dukacita dengan pematuhan SOP kebersihan kedai makan sebegini. Sepatutnya, peniaga makanan sentiasa menjaga kebersihan, bukan sahaja di musim COVID 19, bahkan sepanjang masa. Ini terutama makanan basah yang disentuh secara langsung oleh penjual.
Itulah titah perintah agama untuk mereka dalam mencari rezeki yang halal. Ini penting untuk menjaga kesihatan pelanggan. Jika di masjid tidak bersalaman, mengapa pula peniaga makanan menyentuh secara langsung makanan yang dihidangkan?!
Sikap ‘tak mahu susah’ (baca: malas) penjual makanan untuk mematuhi garis panduan kebersihan boleh menjadikan makanan mereka berisiko dan menghilangkan selera sesiapa yang mementingkan kebersihan.
Pihak berkuasa berkaitan di Perlis wajar meningkatkan soal pematuhan kebersihan di kedai atau gerai makan di negeri ini. Peletakan gred kebersihan amat perlu supaya pelanggan tidak menjadi mangsa. Kedai yang tidak mematuhi ciri kebersihan hendaklah ditutup. Ketegasan seperti Singapura dan Pulau Pinang mungkin wajar ditiru.
Jika orang masjid boleh patuh, mengapa tidak peniaga kedai dan gerai makan?
Peniaga Yang Kurang Bersih Hari ini saya cuba solat di beberapa masjid yang berbeza di Perlis. Tujuannya, untuk…
Posted by DrMAZA.com on Tuesday, June 30, 2020
Sumber: Dr. MAZA
The post Makanan Kurang Bersih, Dr. MAZA Kecewa Segelintir Peniaga Tak Ikut SOP appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/07/01/makanan-kurang-bersih-dr-maza-kecewa-segelintir-peniaga-tak-ikut-sop/