Makan Di New Kukup Seafood Restaurant
Assalamualaikum...
CANTIK tarikh hari ini.. disebut dari depan pun bunyinya 22022022, di sebut dari belakang pun 22022022. Semoga tarikh yang cantik ini akan berakhir dengan segala yang baik-baik sahaja buat semua pembaca Alam Sari Di Tanah Jauhar, InsyaAllah.. Amiiinnn Ya Robbal Alamiiinnn.
Selepas mengopi di The Ruma Kupi Pontian, Pak Inche mengajak ke Kukup Laut. Mana kenyang makan roti bakar sahaja, kan. Pelik jugak, kedai buka sampai pukul 3, tapi makanan utama dah habis. Sama aje kisahnya dengan Restoran Beriani Rose tu. Kalau Sk sampai tu dah jam 2.30 tu, logiklah jugak. Ni, pukul 1 pun belum, hurmmm.
Sampai di Kukup Laut, suasana lengang sangat. Tak macam suatu ketika dulu sebelum pandemik melanda. Banyak jugak kenangan Sk di Kukup Laut ni. Arwah Pak Chu Sk, dulu bertugas di Pejabat Imigresen di sini dan kuartersnya di tingkat paling atas sekali, sebelah kiri yang mengadap laut. Boleh dikatakan selalu ke sini dan kerap juga bermalam ketika cuti sekolah. Kebetulan pulak, bila buka semula entri Belasungkawa, rupanya hari ini genap lapan tahun Pak Chu meninggal dunia.
Dah lama kami tak makan di Kukup Laut ni. Dulu-dulu, adalah datang dua tiga kali, tulis pun tulis rasanya, tapi tak jumpa entrinya di mana. Ke.. tak tulis, zaman malas menulis, hihi. Apapun, awal-awal dah pesan, jangan ambil lauk banyak, cukup tiga empat lauk sahaja. Disebabkan sayur kailan tak ada, jadi, Pak Inche pesan Kangkung Goreng Belacan. Haaa.. memang tu jerlah sayur yang diulang-ulang. Sedap ya kangkungnya, tidak lokek rencah dan yang penting, banyak daun dari batangnya
Masa kami sampai, ramai juga pelanggan yang sedang menikmati makanan tengahari. Kebanyakannya datang dengan keluarga. Malah, masa kami nak balik pun, ada beberapa keluarga lagi yang baru tiba. Walaupun pelanggan ramai, tapi meja yang disediakan cukup banyak, ruang restoran luas dan selesa, tidak berhimpit-himpit. Dalam gambar tu, menu wajiblah kan.. Sotong Telur Masin. Sedap tapi tak berkuah sangat. Kalau dilihat pada potongan sotong dan janggutnya, sotong ni tak berapa besar, saiz sederhana je
Pertama kali makan Udang Sambal di Seafood Restaurant, yang memasukkan daun kari dalam masakannya. Walaupun pelik tapi sedap sambalnya. Ada aroma daun kari yang menaikkan selera. SK pulak, memang bukan jenis yang mengenepikan daun kari, sumbat jer dalam mulut dengan nasi. Daun kari banyak khasiatnya tau, antaranya menghalang pengumpulan lemak dan keradangan, menurunkan paras gula dalam darah, melindungi hati daripada toksik, menghalang pertumbuhan bakteria, meningkatkan daya ingatan, membantu penghadaman, mencegah anemia, mencegah kanser, menghentikan penghasilan radikal bebas dalam badan, membantu penyembuhan luka dan meningkatkan kesihatan rambut. Sumber.
Chicken Lemon untuk penggemarnya, siapa lagi kalau bukan Iman. Nampak tak bermaya langsung rupa Chicken Lemon ni sebagaimana perasaan SK yang kecewa tak dapat makan Nasi Orang Kahwin di The Ruma Kupi, hihi. Nak ambil gambar laut yang terbentang depan restoran pun tak ada mood. Nasib baik makan masih ada mood, hihi. Ayam digoreng tidak begitu rangup, sos lemon pun agak lokek, mungkin ini bukan jenis masakan yang tukang masaknya mahir
Tentulah ada seekor Siakap Kukus Stail Hong Kong untuk Pak Inche. Kurang rasa kicap soya, tapi bagus jugak sebab Sk tak suka rasa kicap soya, hihi. Satu kelainan dalam masakan ini yang Sk tak jumpa di tempat lain adalah taburan bawang putih yang digoreng rangup di atas ikan. Bukan sikit-sikit ya bawangnya, dari hujung ke hujung macam taburan bunga atas pusara. Biasanya masakan stail begini akan ada rasa sedikit hanyir pada ikan, tapi tidak. Sk juga tak jumpa sisik ikan tertinggal dalam masakan ni
New Kukup Seafood Restaurant
MY Johor No.1, Kukup Laut, 82300 Pontian, Johor.
Waktu perniagaan : Setiap hari 10 pagi hingga 8 malam.
Telefon 07-696 0216
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sariyusa.blogspot.com/2022/02/makan-di-new-kukup-seafood-restaurant.html