Mahu Jadi Macam Sudirman Sabbala
Oleh SHAFIQAH SHUKOR
Muhammad Yusof Azlan atau lebih dikenali sebagai Sabbala memasang impian untuk menjadi penyanyi yang serba boleh seperti Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
Penyanyi rap berusia 28 tahun itu berkata, dia sangat mengagumi Sudirman yang sentiasa tampil berbeza, hebat dan berkaliber.
“Selain pernah menutup jalan Chow Kit untuk membuat persembahan, Allahyarham juga seorang peguam yang banyak membaca, mengkaji dan menganalisis. Itu membuatkan saya ingin melakukan perkara yang sama dalam bidang muzik tanah air.
“Saya juga ingin tampil berbeza berbanding penyanyi rap lain dari segi gaya dan bahasa. Zaman sekarang, kalau kita tengok banyak rapper yang hanya mampu menyanyi rap atau bermelodi tanpa memuatkan bahagian lirik yang boleh diingati oleh pendengar yang dipanggil punch line.
“Saya akan hasilkan lirik telus dan benar dengan punch line menarik buat pendengar. Sasaran saya memang ingin menjadi seperti Sudirman dalam Hip Hop,” katanya kepada Pancaindera.
Bercakap mengenai perjalanannya dalam industri muzik tanah air, Sabbala memberitahu, seawal usia 16 tahun dia menyertai Concerto Records dan mula membuat rentak, menulis dan mencipta lagu.
Selepas itu, pada usia 21 tahun, dia bersama rakannya telah menubuhkan kumpulan bernama Lawa Nie Gang yang pada waktu itu bernaung di bawah label rakaman Mixology Music.
Sejak itu, Sabbala mula menulis lagu untuk artis tempatan seperti Ifa Raziah, Tasha Manshahar, Syed Shamim dan ramai lagi.
“Terdapat beberapa lagu yang dikeluarkan oleh Lawa Nie Gang namun pada 2017 saya membuat keputusan mengundurkan diri daripada kumpulan dan label rakaman tersebut.
“Waktu itu, berlaku perselisihan faham antara label rakaman dan kumpulan, jadi kami semua mengambil keputusan keluar dengan cara baik dan ikut haluan masing-masing.
“Saya memilih untuk bergerak solo kerana bekerja dalam satu kumpulan harus mempunyai kata sepakat dan ia tidak mudah untuk dicapai. Bagi orang yang bergerak pantas seperti saya lebih mudah untuk bergerak sendiri,” jelas anak kelahiran Selangor ini.
Selepas keluar daripada kumpulan tersebut, Sabbala sempat menjadi penulis, penerbit dan komposer untuk Zynakal (Terbang) , Luqman Podolski (Kembar dan Kalau Kau Rindu), Zizan Razak (Kaki Licik) dan lain-lain.
Pada 2020, dia mengeluarkan album undergroundnya yang pertama berjudul Semenyih Mix Tape, Vol. 1 di bawah label rakaman Mic Belakang Pintu.
Pada Oktober lalu, dia juga mengeluarkan album berjudul Tak Perlu Minta Maaf Cuma Minta Faham yang mengandungi 16 lagu. Album-album tersebut boleh didengari di semua platform digital.
Pada bulan depan, Sabbala merancang untuk mengeluarkan album baharu bertajuk Tak Perlu Minta Maaf, Cuma Minta Faham (Semenyih Edition) yang mempunyai tujuh lagu tambahan daripada album aslinya terdahulu.
“Bagaimanapun album tersebut tidak dapat didengari di platform digital.
“Bagi yang berminat, boleh pergi ke Instagram saya iaitu @bukansabbala untuk mendapatkan album tersebut apabila ia sudah dilancarkan,” kata anak sulung daripada sembilan beradik ini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/mahu-jadi-macam-sudirman-sabbala.html