Madani Dan Kebangkitan Semula Attasian
Penganugerahan gelaran profesor diraja kepada ilmuan, Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada 23 Oktober 2024 lepas bukanlah sesuatu yang boleh disorot secara sederhana. Penganugerahan tersebut yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim merupakan taraf tertinggi dikurniakan kepada ahli akademik yang memberikan sumbangan bernilai kepada masyarakat serta kemajuan Malaysia.
Kali terakhir ia diberikan ialah kepada ahli ekonomi, Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978. Penganugerahan tersebut juga membawa jumlah wang lumayan di mana RM500,000 diberikan kepada Syed Muhammad Naquib sebagai mengiktiraf dan menyanjung sumbangan beliau dalam bidang pendidikan.
Menteri pendidikan tinggi, yang bertanggungjawab dalam urusan universiti, Zambry Abdul Kadir menyatakan Naquib dinobatkan penghormatan tersebut kerana “memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni”. Selain itu beliau juga menyatakan legasi Naquib “tidak ternilai kepada bidang bahasa adabiyat (peradaban) dan kesusasteraan Melayu”.
Zambry dilaporkan berkata, langkah menabalkan Naquib sebagai profesor diraja kedua itu digerakkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, di mana kerajaan memulakan cadangan pengurniaan itu bagi diangkat ke Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan.
Penganugerahan untuk Naquib satu petanda jelas bahawa pentadbiran Madani memilih untuk terus bergantung pada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang diasaskan pada 1971, dan pernah dipimpin oleh antara lainnya Anwar Ibrahim antara 1974-1982. Hubungan Naquib dan Abim sangat akrab sepanjang tahun-tahun tersebut, di mana dalam status X, Zulkifli Hasan iaitu timbalan menteri hal ehwal agama menyenaraikan bagaimana Naquib merupakan tokoh yang mencipta logo Abim, menerbitkan buku terpenting Naquib iaitu ‘Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ (1972), ‘Islam and Secularism’ (1978) dan ‘Risalah Untuk Kaum Muslimin’ (1973). Zulkifli sendiri bekas pimpinan tertinggi Abim.
Kerjasama dan kesepakatan antara Anwar dan Naquib pernah melahirkan antara lain produk Islamisasi di era Dr Mahathir Mohamad iaitu antara lain penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac).
Anwar di Instagram menyorot kedudukan Naquib sebagai mentor dan pemberi semangat kepada beliau ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Kamunting antara 1974-1976.
Harus diingatkan himbauan Anwar di atas tersebut mengimbau jarak masa yang agak lampau hampir 50 tahun. Dalam erti kata lain, Naquib adalah tokoh masa lalu Anwar. Hal ini dapat difahami memandangkan ketika Anwar memimpin Abim dalam tahun-tahun 1970-an, beliau bereksperimen untuk mensenyawakan wacana nasionalisme Melayu dengan reformasi Islam ala Muslim Brotherhood.
Status media sosial Anwar itu tidak menyebut apa-apa mengenai peranan Naquib dan pengikutnya ketika beliau tersingkir dari kerajaan pada 1998. Ini kerana episod Anwar setelah dipenjarakan diikuti oleh babak penubuhan PKR dan kemudian lahirnya Pakatan Harapan adalah lebih lentur dari segi sudut pandang Islamnya. Ini lantaran Anwar perlu mengimbangi posisi beliau tatkala itu sebagai pemimpin pembangkang untuk semua kaum, yang berusaha mendapatkan pengaruh dari masyarakat sivil. Dalam erti kata lain, tidak ada sumbangan untuk Anwar dan pembinaan Malaysia baharu sejak dari sini.
Anwar mungkin berhati-hati lantas menjarakkan diri daripada Naquib, sebahagian besarnya kerana peranan Naquib dalam pengislaman budaya Melayu menerusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971, pengehadan penggunaan kalimah Allah semata-mata untuk masyarakat Islam, penolakan aspek kesetaraan dalam hak asasi manusia moden, dan sikap eksklusivis Naquib dan pengikutnya yang meresahkan.
Namun demikian, posisi penting Naquib dan pelajar-pelajarnya ketika Anwar di dalam kerajaan itu membuka jalan kepada kelahiran gerakan yang dijoloki sebagai Attasian (kelompok pentaksub idea dan wacana Naquib) di universiti-universiti di Malaysia.
Adalah penting untuk difahami bahawa kesarjanaan Naquib dan pendekatan tertutup dan serasa selalu benar oleh pendukung tegar idea-ideanya adalah dua hal yang berbeza. Saya pernah menulis sebuah puisi untuk menggambarkan keadaan ini.
Dalam puisi ‘Sehimpunan Purawan’ (2015), saya menulis begini:
Naguib menuding rembulan dengan jari
mereka memandang jari runcing Naguib
dengan rasa pesona.
Adaptabiliti gerakan Attasian untuk beroleh tempat dan perhatian di pusat pengajian tinggi memang mengkagumkan. Ketika Anwar berada di dalam kerajaan di era pentadbiran Mahathir, mereka dikurniakan ruang besar untuk berkincah dan bermain iaitu Istac, dan setelah Anwar disingkirkan secara memalukan pada 1998, kelompok pendukung Attasian ini tidak terkorban sama, sebaliknya berada di belakang Abdullah Ahmad Badawi untuk memberikan tenaga di belakang retorika Islam Hadhari, selain menjadi penggerak Biro Tata Negara ketika era Najib Razak.
Setelah Anwar menjadi perdana menteri pada 2022, nama Naquib misalnya pudar secara misteri dari pelbagai sumber rujukan untuk gagasan ‘madani’ yang menjadi tonggak Malaysia saat ini. Malah nama yang jauh lebih menonjol ialah Syed Hussein Alatas, abang kepada Naquib memandangkan agenda Anwar ialah untuk membanteras amalan rasuah.
Tidak dapat dihindari implikasi penganugerahan Naquib ke gelaran tertinggi ini akan membuka kebanjiran semula fenomena Attasian di universiti-universiti. Sikap keras Attasian terhadap mereka yang non-Attasian pernah satu masa dipersoalkan oleh ramai, dan pernah menimbulkan kemusykilan bahawa apakah kategori adab yang disemai sehingga menyebabkan sebarang penolakan terhadap hujah-hujah Naquib akan mengakibatkan kekerasan, kecaman, ejekan, dan pelecehan.
Satu kehairanan yang paling besar ialah usaha mereka memadamkan sejarah dan maklumat bahawa Profesor Diraja Naquib al-Attas amat meraikan mazhab Syiah.
Istana Negara ada menyebutkan yang sumbangan besar Naquib dinyatakan sebagai “merupakan individu penting yang membentangkan konseptualisasi universiti Islam pada Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah pada tahun 1977 yang telah membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.”
Satu hal yang menarik dan tidak diketahui ramai adalah Naquib dalam bukunya rentetan dari persidangan di atas ada mengusulkan pada 1979, dalam sebuah ucapan bertajuk ‘Preliminary Thoughts on the Nature of Knowledge and the Definition and Aims of Education’ di Universiti Raja Abdul Aziz, agar mazhab Syiah ‘dimesrai’.
Setahun kemudian, buku beliau ‘The Concept of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education’ menyorot lagi idea ini. Dalam tulisannya yang amat bernas diterbitkan oleh Abim itu, Prof al-Attas menyatakan pengajian fardu ain yang diterapkan dalam pendidikan Islam sebagai contoh haruslah membawa sama sentuhan Syiah (dan tentu sahaja Sunni). Beliau menyatakan pendidikan yang beliau maksudkan itu bukan sahaja di peringkat tinggi, iaitu universiti, tetapi juga mencakupi dunia pendidikan anak-anak di peringkat sekolah rendah.
Sebagai bukti, tulisan beliau dirujuk di sini, di halaman 42:
“The core knowledge representing the fardu ‘ayn, integrated and composed as a harmonious unity at the university level as a model structure for the lower levels, and which must invariably be reflected in successively simpler forms at the pre-university, secondary, and primary levels of the educational system throughout the Muslim world, must reflect not only the Sunni understanding of it, but also accommodate the Shi’i interpretation.”
Untuk makluman, perenggan di atas turut dirujuk oleh Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid pada 2010 dalam monograf ‘Islamic Education in Malaysia’ yang diterbitkan oleh Sekolah Kajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Singapura.
Satu persamaan yang begitu jelas di antara penerima gelaran profesor diraja yang pertama dan kedua, iaitu Ungku Abdul Aziz dan Syed Naquib adalah kedua-duanya merupakan golongan bangsawan.
Sesuai dengan gelarnya iaitu ‘profesor diraja’, ia mengesahkan tradisi Melayu dari era klasik yang menyediakan dikotomi jelas antara peranan sarjana aristokrat yang intim dengan istana dan cendekiawan rakyat yang lebih banyak bergelut dengan isu-isu marhaen. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/12/madani-dan-kebangkitan-semula-attasian.html