Mada Sasar Pengeluaran Padi 10 Tan Per Hektar
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) komited meningkatkan hasil pengeluaran padi kepada 10 tan per hektar berikutan proses pengambilan tanah yang lebih singkat. Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata proses pengambilan tanah bagi tujuan menaik taraf sistem pengairan dan saliran sawah sebelum ini mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.
Katanya, selaku Pengerusi MADA yang baharu dilantik, beliau tidak berpuas hati dengan keadaan itu dan sudah meminta proses itu dipercepat agar pesawah menerima manfaat segera.“Terdapat kekangan dalam usaha meningkatkan hasil padi sebelum ini antaranya adalah proses pengambilan tanah yang terlalu lama untuk memasang paip saliran..tak silap saya dahulu kita ambil masa dua tahun dan kemudian dapat dikurangkan kepada setahun.
“Saya akan arahkan proses ini dipercepatkan lagi kerana kita perlu mengurus peruntukkan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan secara efisien dan mengelak kerenah birokrasi,” katanya di sini, hari ini.Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan bersama warga MADA di Ibu Pejabat MADA yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama, Azman Nasrudin.
Secara purata, pengeluaran padi di negeri ini hanya mampu mencapai antara lima ke tujuh tan per hektar dan pengeluaran boleh menjadi lebih rendah sekiranya berlaku bencana atau serangan penyakit.Mukhriz berkata, menjadi hasrat kerajaan negeri melihat lebih ramai petani keluar dari garis kemiskinan dengan menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan.
Katanya, sehingga kini terdapat hampir 2,500 daripada 57,000 pesawah MADA menjadi usahawan dalam pelbagai bidang, malah ada dalam kalangan mereka bergelar jutawan.“Kita sedar pesawah sering berhadapan cabaran terutamanya faktor cuaca dan serangan penyakit serta haiwan perosak sehingga berlaku kemerosotan hasil, tetapi kita tidak nafikan ada pesawah mampu mencatat hasil 14 tan per hektar semusim.
“Saya yakin petani yang mencatat hasil tinggi ini berfikiran di luar kotak dan petani lain juga tidak harus ketinggalan, mereka boleh menjadi usahawan menghasilkan produk atau menanam padi organik dan beras wangi yang mendapat permintaan lebih tinggi,” katanya.
–BHarian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mukhrizmahathirfc.blogspot.com/2019/04/mada-sasar-pengeluaran-padi-10-tan-per.html