Macam Mana Nak Pancing Undi Orang Muda
                                                                        Mohsin Abdullah

Parti Sarawak Bersatu percaya sebarang percubaan untuk mempercepatkan  Pilihan Raya Negeri Sarawak akan dilihat sebagai “langkah nafikan  Undi18”.
Dalam lain perkataan, percepatkan PRN Sarawak adalah “usaha menafikan  hak mengundi golongan yang berusia 18 hingga 20 tahun.” Itu pendapat  PSB yang disuarakan presidennya, Wong Soon Koh, tempoh hari.
Pendapat itu dibuat ketika spekulasi bertebaran ada usaha untuk  mengadakan PRN Sarawak serentak dengan PRN Melaka yang tarikh buang undi  sudah pun ditetap SPR iaitu 20 November.
                                                                                                                                         Bagaimanapun, semalam, Ketua Menteri Abang Johari Openg menegaskan  dakwaan Wong itu tidak berasas, dan menjelaskan ‘timing’ untuk  mengadakan PRN Sarawak tidak dipengaruhi sama sekali oleh pelaksanaan  Undi18 tetapi untuk memenuhi proses demokrasi.
Seperti kita maklum PRN Sarawak telah ditangguhkan sehingga Februari  tahun depan berikutan pengisytiharan darurat negeri itu. Tempoh darurat  Sarawak tamat Februari 2022.
Bagaimanapun 3 September lalu Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan  kerajaan pusat menurunkan usia pengundi kepada 18 tahun di seluruh  negara menjelang 31 Disember ini.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan  Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kerajaan pusat  memutuskan untuk melaksanakan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara  automatik selewat-lewatnya 31 Disember tahun ini.
                                                                                                                                                                                                                       Isu ini dibawa ke mahkamah oleh lima anak muda yang menggelar diri  mereka “Kumpulan Undi Sarawak” apabila SPR mengumumkan penangguhan  pelaksanaan Undi18 termasuk pendaftaran pemilih automatik hingga 1  September tahun depan.
Apa pun, syak wasangka seperti yang diluahkan presiden PSB tidak  kedengaran di Melaka. Yang pasti, golongan muda 18 tahun ke 20 tahun  tidak akan mengundi di PRN Melaka. Namun boleh dinyatakan hampir pasti  mereka boleh mengundi pada pilihan raya mendatang khususnya PRU15.
Usul Undi18 dibawa oleh Pakatan Harapan semasa ia memerintah negara.  Pada Julai 2019 usul itu diluluskan sebulat suara di Parlimen. Semua 211  Ahli Parlimen (kerajaan dan pembangkang) menyokong Undi18.
Ketika itu, ramai pemerhati serta penganalisis politik berpendapat  Pakatan Harapan lah yang tidak akan mendapat manfaat daripada langkah  “memudakan” pengundi walaupun merekalah yang memperjuangkan Undi18.
Pendapat itu berdasarkan anggapan golongan muda kebiasaannya  “anti-establishment”. Merdeka Centre masa itu menganggarkan jumlah  pengundi Bumiputera akan naik daripada 62% kepada 64.4% berikutan  Undi18. Bumiputera ertinya Melayu dan Orang Asli dan juga komuniti suku  kaum lain. Kebanyakan mereka tidak menyokong Pakatan Harapan berdasarkan  pengundian PRU14.
Penganalis politik Oh Ei Sun memberitahu saya ketika itu beliau  menjangkakan PAS akan mendapat untung dengan langkah Undi18 kerana parti  itu telah menjalankan usaha “Islamisasi” berterusan termasuk ke atas  golongan muda Melayu Islam. Oleh kerana Umno ketika itu telah bersatu  dengan PAS, parti itu juga dikatakan akan dapat untung.
Namun tidak dinafikan ramai juga anak muda Melayu-Islam yang tidak tertarik dengan “cara Islam PAS mahupun cara Melayu Umno”.
Itu saya tulis pada 2019. Bagaimana keadaannya sekarang? Rasanya  pendirian orang muda Melayu-Islam yang tidak berkenan dengan “cara Islam  PAS dan cara Melayu Umno” masih begitu.
Tetapi tidak dinafikan orang muda Melayu-Islam yang minat PAS dan  Umno juga ramai. Terutama yang mengaku sudah “berhijrah ke jalan agama”  dan “sudah teramat sayang bangsa”.
Bagaimana pula pendirian mereka terhadap Pakatan Harapan?
Apa pun, pengundi Bumiputera, khusus Melayu-Islam, yang layak  menerusi ‘Undi18’ akan menjadi sasaran utama parti politik untuk  menambah ‘vote bank’ masing-masing. Pujuk mereka, dapatkan undi, dan  pasti menang pilihan raya. Itu ringkasnya misi dan matlamat mereka.
Persoalannya macam mana nak dapat undi golongan yang mengundi buat  kali pertama? Tentunya sentimen bangsa dan agama dimain sepenuhnya.
Adakah pengundi baharu berusia 18 tahun hingga 20 tahun cukup matang  untuk membuat keputusan amat penting, ketetapan sekaligus buat pilihan  tepat?
Kata wartawan veteran Zin Mahmud semasa saya menulis mengenai  persoalan ini tiga tahun lalu, penurunan usia pengundi mesti selaras  dengan pendidikan demokrasi “tanpa itu kacau dibuatnya”. Ada yang  mengatakan kematangan politik bukan isu dan kematangan seseorang bukan  diukur dengan usia.
Bagi Dr Khoo Ying Hooi (yang ketika itu pensyarah kanan Universiti  Malaya), masanya sudah tiba Undi18 dan negara mesti bergerak ke depan  dengan mengukuhkan sistem pendidikan dan lain bidang berkaitan.
Nyata, hujah mereka tetap relevan dalam keadaan negara masa sekarang. Malah penekanan terhadap pendidikan amat diperlukan.
                  Usia 18 tahun ialah remaja yang baharu lepas pendidikan sekolah  menengah. Tiga tahun lalu persoalannya ialah adakah mereka akan mudah  dipengaruhi janji-janji parti politik? Soalan itu bagi saya masih  relevan.
Orang muda berbeza-beza tuntutan, keperluan, dan pemikiran.  Bergantung kepada cara atau bagaimana mereka dibesarkan dan diasuh,  status keluarga, serta di mana mereka tinggal dan juga tahap pendidikan.  Itu antara faktor penentu.
Satu lagi persoalan penting ialah sekiranya parti politik cuba  mensasarkan golongan pelajar berusia 13-14 tahun sebagai “persiapan  awal” untuk mendapatkan undi mereka beberapa tahun kemudian.
Tidak ada budak semuda itu yang faham apa lagi gemar politik. Jadi  bagaimana mahu menarik minat mereka? Apa janji yang mesti diberi supaya  ia terus tertanam sehingga mereka berusia 18 tahun?
Tentunya untuk golongan ini, pelbagai aktiviti boleh diatur secara  licik dan berselindung di sebalik kegiatan riadah dan sukan untuk  menanam dan memupuk kesetiaan mereka kepada parti berkenaan.
Atau pun parti politik mahu menjanjikan lebih banyak konsert, rancangan hiburan, atau kasut sukan berjenama dengan harga murah?
Bagi saya, sasaran parti politik ialah golongan ibu bapa. Mereka akan  berkempen untuk menyakinkan ibu bapa supaya menyakinkan anak  masing-masing menyokong mereka.
Lazimnya anak akan ikut kata ibu bapa. Kalau ibu bapa undi parti A,  parti A lah yang anak akan undi. Lazimnya begitu. Bukan satu kepastian.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/macam-mana-nak-pancing-undi-orang-muda.html