Lupakan Kisah Silam Move On Kata Dap Kepada Umno
malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 9, 2023
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke hari ini meminta ahli-ahli Umno supaya tidak lagi mengungkit kisah silam dan menoktahi segala sengketa serta terus fokus untuk bergerak ke hadapan bersama kerajaan perpaduan
Mengulas desakan Pemuda Umno yang menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka, Loke berkata dia bersetuju dengan ucapan dasar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, semalam yang menyatakan bahawa perkara berkenaan telah diselesaikan ketika rundingan penubuhan kerajaan pusat dan tidak seharusnya dibangkitkan lagi.
"Itu (desakan supaya DAP minta maaf) pandangan masing-masing, tak mengapa. Dalam ucapan atau perhimpunan, sudah tentu ada banyak pandangan.
“Macam saya katakan, saya setuju dengan ucapan atau inti pati ucapan Presiden Umno, lupakan kisah silam. Bersama demi negara. Kita move on dari persengketaan atau permusuhan politik selama ini.
"Permusuhan, sentimen ini masing-masing (parti) ada. Setiap parti ada. Kalau kita terus mengungkit-ungkit kisah lama, ia tidak akan berkesudahan,” katanya selepas menghadiri hadir Perhimpunan Agung Umno 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Loke diminta mengulas tuntutan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh yang berkata tohmahan yang pernah dilemparkan oleh DAP terhadap Umno sebelum ini mengguris hari semua ahli parti itu.
Mengulas lanjut, dia berkata, semua parti dalam kerajaan perpaduan perlu memberi perhatian kepada usaha untuk memperkukuh ikatan kerjasama yang terjalin selepas pilihan raya umum lalu.
"Tak perlu kita ulas lagi (cerita minta maaf). Kerajaan ini sudah berfungsi dengan baik. Kalau kita terus berpolemik dengan kisah lama, ia tidak akan berkesudahan.
“Kerajaan sudah terbentuk. Kabinet sudah berfungsi dan bermesyuarat bersama setiap minggu selama lebih enam bulan.
"Setakat ini tak timbul pun isu berkenaan ketidakserasian parti dalam kerajaan perpaduan. Apa yang penting hari ini, kita kena tunjukkan komitmen kita untuk bekerjasama. Kita lupakan persengketaan politik. Itu sudah dinoktahkan sejak penubuhan kerajaan perpaduan pada November lalu," katanya.
Loke, sehubungan itu meminta semua rakan parti kerajaan perpaduan untuk bekerjasama khususnya menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Kita ada pelbagai cabaran di hadapan. Ada cabaran politik, enam PRN, cabaran ekonomi dan pembangunan negara dan macam-macam lagi.
“Semua parti sudah berlapang dada. Pimpinan parti masing-masing sudah menunjukkan komitmen tinggi untuk bersama-sama.
“Pandangan lain itu kita hormati, tapi pimpinan masing-masing sudah ada persefahaman yang begitu jelas," katanya.
Muhamad Akmal, semalam dilaporkan berkata, jika DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, mengapa tidak kepada Umno.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2023/06/lupakan-kisah-silam-move-on-kata-dap.html