Lidah Mahathir Bercabang Tiga Laung Selamat Negara Satu Pembohongan Penasihat Pkr Suara Tv
Ahli perniagaan kecil dan besar gelisah dan lelah menunggu peralihan kuasa. Mereka meletakkan harapan agar Anwar Ibrahim yang peka soal kemiskinan rakyat kecil akan membawa perubahan menjana pertumbuhan ekonomi dan membina semula negara.
Nilai ringgit semakin merudum, pengaliran dana di pasaran semakin perlahan dan kuasa membeli rakyat terus menguncup.
Hampir segenap lapisan rakyat kecewa dengan Dr Mahathir Mohamad yang semakin jelas lidahnya bercabang tiga. Dalam satu hari beliau boleh berubah fikiran dua tiga kali.
Semua mengakui Kabinet sekarang paling lembab dan lemah dalam sejarah negara.
Tatkala rakyat dihimpit kemiskinan dan pelbagai kesukaran hidup, perdana menteri dan menterinya tanpa rasa malu berulang alik ke luar negara membazir wang rakyat sedangkan hasilnya sekadar untuk diviralkan rakaman perjumpaan yang tidak memanfaatkan rakyat dan negara.
Rakyat juga hairan mengapakah Mahathir yang cuma memiliki 13 kerusi parlimen dibiarkan bermaharajalela hingga mengetepikan suara rakyat yang memilih kerajaan.
Rakyat tidak bodoh untuk membaca niat Mahathir.
Kehancuran negara ini bermula daripada beliau. Kerana beliaulah parti Melayu dan orang Melayu berpecah.
Kerana beliaulah institusi polis, kehakiman dan pelbagai institusi kerajaan hancur dan terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah.
Kerana beliaulah rasuah dan politik wang bermaharajalela dan kemuncaknya negara ini hampir digadai oleh kerajaan kleptokratik Najib Razak.
Pejuang dan pemimpin yang dulunya berhempas pulas berjuang siang malam membela rakyat dan menyelamatkan negara kini sudah menjadi bisu.
Suara yang membakar kebangkitan rakyat sudah bertukar menjadi suara yang memuji dan mengampu perdana menteri tua.
Hidung mereka sudah dicucuk, justeru mereka kelihatan membuntuti perdana menteri ke mana saja, sedangkan buntut mereka sendiri terpalit pelbagai kotoran.
Mahathir sudah melampau sehingga sanggup berbohong di pentas antarabangsa kononnya beliau bekerja 18 jam sehari!
Kerja apa 18 jam sehari sedangkan negara semakin hancur? Apakah manusia yang berusia 94 tahun itu tidak makan, tidak tidur, tidak mandi, tidak solat, tidak rehat sama sekali? Apakah perdana menteri ketujuh ini bukan seorang manusia?
Terbukti Mahathir tidak ikhlas, tidak punyai maruah dan tidak pernah insaf.
Kalau beliau pemimpin yang bermaruah dan sayangkan negaranya, beliau sepatutnya segera bersara dan biarlah Anwar yang 22 tahun lebih muda menggalas tanggungjawab membina semula negara.
Sebenarnya Mahathir boleh diminta bersara sekarang oleh Majlis Presiden PH kerana majlis ini adalah kuasa tertinggi untuk menentukan bilakah Mahathir perlu turun.
Mahathir tidak ada kuasa untuk menentukan bilakah beliau mahu menyerahkan kuasa.
Gesaan segelintir pelesit yang mahu Mahathir kekal hingga PRU15 membuktikan mereka juga sedar Majlis Presiden boleh melucutkan jawatan Mahathir pada bila bila masa kerana beliau mewakili sebuah parti kecil.
Rakyat juga tertanya tanya apakah Anwar, Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang juga sudah dibonsaikan oleh Mahathir?
Apakah mereka tidak sedar bahawa percaturan politik Mahathir hari ini menjurus ke arah memusnahkan konsensus kuasa yang dipersetujui sebelum PRU14?
Laungan Mahathir untuk selamatkan negara semasa kempen PRU14 jelas satu pembohongan.
Beliau kini mahu selamatkan kuasanya dan amat taksub kononnya beliau sajalah yang boleh menyelamatkan negara ini.
Kenyataananya di New York yang mahu bersara sebelum PRU15 dan menganggap penggantinya tidak layak adalah satu pengkhianatan dan penghinaan kepada Pakatan Harapan (PH).
Apakah Mahathir yang terbukti sebagai pemimpin licik dan cekap memutar belit itu akan terus dibiarkan menipu rakyat?
Kita tujukan soalan ini kepada Majlis Presiden PH kerana seandainya berlaku anarki politik angkara Mahathir, maka merekalah yang akan dipertanggungjawabkan.
* Tulisan Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Ali, dipetik dari FreeMalaysiaToday
Lain-lain berita;
Dekat PRU15 Baru Nak Serah Jawatan PM Kepada Anwar, Itu Nak Bunuh PH – PKR
Tiada Dokumen Perjanjian Yang Tetapkan Bila Anwar Jadi PM – Penasihat Media Dr Mahathir
Siti Kasim Dakwa Arwah Adib Bukan Dipukul Perusuh
Tommy Thomas Perlu Letak Jawatan Peguam Negara – Dr Asri
Skim Pencen Tiada Lagi Mulai 2020, Jimatkan Belanja Kerajaan – KP JPA
Sila kongsi artikel ini. Terima Kasih!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mediaterjah.com/2019/09/lidah-mahathir-bercabang-tiga-laung-selamat-negara-satu-pembohongan-penasihat-pkr-suara-tv/