Lestari Santuni Anak Seni Terkesan Dengan Banjir 2021
Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR
“BOLEH salam ke Dr?” tanya Yantzen dengan senyuman paling manis menyambut rombongan LESTARI. Dia memelukku mesra dan mempersilakan rombongan kami ke dalam rumah beliau.
“Maaflah…rumah bersepah lagi…tak habis cuci lagi yang bahagian luar,” pelawanya perlahan.
Hamdan, aktivis Muslim Care Malaysia menghulurkan sebekas nasi mandy kambing yang kami beli di Al-Rawsha Kuala Lumpur.
“Abang jamah makanan dulu, saya pergi ambik Zuar kat jalan luar sana,” tukasku.
Zuar Apachee, basist XPDC juga mengekori kami dari belakang. Mereka rockers yang berentap pengaruh dalam penghujung dekad 80-an dan awal dekad 90-an. Bezanya gaya Zuar seperti Cliff Burton manakala Yantzen seolah Bruce Dickinson, gaya keduanya hampir memboria kerana kostum rockers dan gaya rambut mengerbang.
Yantzen mula meledak namanya dalam industri seni Malaysia apabila kumpulan Rusty Blade yang berasal dari Singapura mengeluarkan album di tengah kerancakan fenomena rock yang sedang menaufan tanah air dalam dekad 80-an. Antara artis Singapura yang mencuat namanya seperti M. Nasir, Ramli Sarip dan Sweet Charit, Kumpulan Rockers dan lain-lain.
Yantzen pernah bersama kumpulan May dan anak seni ini juga aktif dalam program kebajikan mutakhir ini.
“Anak saya berada di Yaman…saya suruh belajar sampai jadi alim. Moga nanti dapat berbakti pada masyarakat. Baru ni dia balik, katanya rindu pada keluarga. Dia kini kembali sambung belajar,” dia membuka kisah keluarga sambil menunjukkan hasil seni yang dibuat untuk mengisi masa lapang.
“Banjir baru ni besar, ni pengalaman pertama saya. Saya selamatkan diri diatas bumbung. Air mendadak naik sehingga lima kaki di dalam rumah. Saya selamatkan kucing, lihat air masuk dan menenggelamkan barang-barang. Bila air surut saya turun ke bawah semula tapi sempatlah semalaman di atas bumbung. Ini segalanya kuasa Tuhan,” dia meruak kembali pengalaman banjir besar di Hulu Langat pada 16 Disember lepas. Keretanya rosak teruk, begitu juga sebahagian perkakas rumah.
“Alhamdulillah, hari keempat ada relawan yang datang membantu membersihkan rumah. Selut lumpur dibuang dengan tembakan water jet,” Yantzen menerangkan kepada Safuan Ujar, Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia, NGO barisan harapan dalam krisis kemanusiaan di seluruh dunia.
Kami menyerahkan kotak makanan dan sumbangan tunai untuk anak seni ini. Guratan wajahnya ceria dan mengucapkan terima kasih atas ukhuwah daripada pihak LESTARI dan juga Muslim Care Malaysia. Zuar XPDC meriah bertanya khabar tentang kawan-kawan dan berlabun tentang aktiviti dakwah dan bantuan kemanusiaan yang beliau lalui. Yantzen yang seronok berkongsi pengalaman juga menunjukkan minat untuk menyertai kerja kerja amal.
“Insya-Allah, saya juga akan cuba join program nanti,” ujarnya dengan senyuman. Saya mula membayangkan betapa meriahnya program misi dakwah untuk kelompok anak-anak muda dan juga menyantuni perkampungan Orang Asli jika disertai Yantzen yang popular dengan lagu ‘Insan’, ‘Penantian’, ‘Ikrar Perwira’.
Setiap insan mempunyai potensi untuk berbuat kebajikan dan menyeru manusia berbuat baik. Kami berpamitan sebelum pulang. Yantzen melambai dan mempersilakan kami untuk memaut benang ukhuwah di masa lain. Insya-Allah seramai 15 orang anak seni akan LESTARI dengan kerjasama Muslim Care Malaysia akan santuni di sepanjang bulan Januari dan Februari ini. – HARAKAHDAILY 27/1/2022
(*) Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/lestari-santuni-anak-seni-terkesan.html