Lelaki Di Tahan Selepas Bakar Kilang Papan Rumah Kongsi Pekerja Dan Larikan Pacuan Empat Roda Milik Majikan
TAWAU; 11 FEBRUARI 2019 (Isnin) - Polis Tawau berjaya menahan suspek disyaki membakar kilang papan dan rumah kongsi pekerja 12 pintu di Batu 5 Jalan Apas kira-kira pukul 4-pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata, suspek warga Indonesia berumur 33-tahun itu bekerja sebagai tukang kayu di kilang berkenaan berjaya di tahan selepas dipercayai melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik majikannya selepas operasi pemadaman kebakaran selesai pukul 7.20 pagi tadi.
Katanya, kereta milik majikan itu ditinggalkan bersama kunci semasa membantu pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia memadamkan kebakaran dalam kejadian tersebut.
Orang ramai dan pekerja di kilang tersebut turut menyedari suspek memecut laju kenderaan berkenaan seterusnya melaporkan kepada majikan.
ACP Fadil berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 7.55 pagi, Sepasukan Polis Trafik berjaya menahan kenderaan terbabit di kawasan lampu isyarat Batu 3, Tawau.
Sementara itu, sebelum tangkapan dibuat, semasa di Jalan MRSM Tawau suspek dipercayai telah mengundurkan kenderaan yang dilarikan sehingga melanggar sebuah kenderaan lain yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Megah Jaya.
Hasil siasatan lanjut, polis mendapati suspek adalah penghuni di sebuah rumah kongsi milik pekerja tersebut dan suspek tiada memiliki rekod jenayah lampau.
Menurut keterangan majikan, suspek telah bekerja lebih kurang 4 tahun tetapi berkelakuan kurang siuman sejak seminggu yang lalu. Suspek juga telah direhatkan oleh pihak majikan memandangkan suspek menunjukkan tanda-tanda kemurungan.
Motif kejadian masih dalam siasatan polis dan polis mengesyaki ada kemungkinan kejadian berlaku disebabkan suspek mengalami sakit me*ntal.
Mengulas lanjut, ACP Fadil berkata, kira-kira pukul 4-pagi sebuah rumah kongsi 12 pintu milik pekerja, pejabat dan gudang penyimpanan kayu musnah dalam kebakaran dan nilai kerugian dianggarkan bernilai 250 ribu ringgit.
Katanya, tahanan reman keatas suspek akan dipohon di bawah Seksyen 117 KPJ pada esok (12 Febuari 2019) dan Kes akan disiasat di bawah Seksyen 436/379A Kanun Keseksaan.
- BESTAWAUfm
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mysabahnews.blogspot.com/2019/02/lelaki-di-tahan-selepas-bakar-kilang.html