Lekukan Tropika Punca Banjir Di Lima Negeri Kata Pakar Klimatologi
Oleh Farwizah Samsudin
Imej lekukan tropika yang terbentuk di kawasan Semenanjung Malaysia. HUJAN lebat yang melanda negara pada Khamis lalu, sehingga menyebabkan banjir di lima buah negeri iaitu Selangor, Pahang, Kelantan, Melaka, Perak dan Negeri Sembilan berpunca daripada lekukan tropika, kata pakar klimatologi.
Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Fredolin Tangang, mengatakan lekukan tropika atau taufan kecil menghentam kawasan Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Katanya, lekukan itu telah menyebabkan curahan hujan yang tidak henti-henti di kawasan berkenaan mulai Jumaat lalu hingga pagi Ahad.
Dr. Fredolin Tangang “Satu sistem tekanan rendah yang anginnya berputar, dan bila angin berputar ia seolah-olah menghentam kawasan tersebut sehingga menyebabkan banjir besar,” katanya dalam satu temu bual secara langsung di Facebook UtusanTV malam tadi.
Tambahnya, walaupun lekukan tropika yang berlaku itu lemah berbanding Taufan Rai di Filipina, tetapi apabila berada di Selat Melaka, ia menjadi kuat.
“Namun, ia berjaya merentasi Semenanjung Malaysia dan apabila berada di Selat Melaka, lekukan tersebut menjadi “kuat” yang mungkin disebabkan oleh suhu air laut dan putarannya semakin jelas dilihat pada ramalan European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF),” katanya.
Ujarnya, lekukan ini berbeza daripada apa yang berlaku di negeri-negeri pantai timur seperti di Kelantan dan Terengganu.
“Ini bukan pertama kali lekukan tropika berjaya merentasi Semenanjung Malaysia. Ia pernah berlaku di Johor pada 2001 dan di Pulau Pinang pada tahun lepas,” katanya.
Sementara itu, Fredolin mengatakan, persediaan awal rakyat negara ini dalam menghadapi risiko bencana merupakan satu komponen yang penting,
“Saya rasa di Malaysia sudah ada modul yang disediakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang turut bekerjasama dengan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) untuk memberi amaran tentang banjir,” jelasnya.
Tambahnya lagi, mengikut kajian yang dilakukan, fenomena sebegini dijangka lebih kerap berlaku disebabkan peningkatan suhu dunia.
“Di Malaysia, kejadian banjir semakin meningkat sejak 20 tahun lepas. Apabila suhu meningkat, lembapan di udara juga bertambah sebelum berlakunya hujan.
“Kita harus tangani perkara ini bagi memastikan jika berlaku banjir lagi, kita dapat meminimumkan kesannya”.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/12/lekukan-tropika-punca-banjir-di-lima.html