Lebih Baik Sistem Apungan Harga Bulanan Kata Pengusaha Stesen Minyak
Pengusaha stesen minyak lebih memilih sistem apungan harga minyak secara bulanan berbanding mingguan bagi memudahkan pengendalian dan mengurangkan risiko kerugian.PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mengulangi pendirian memilih sistem apungan harga RON95 secara bulanan berbanding mingguan yang diumumkan kerajaan di Dewan Rakyat, kelmarin
Presidennya, Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, sistem apungan mingguan akan menyukarkan pihak industri mengurus perniagaan mereka
“Kalau sistem apungan, kami masih lagi memilih secara bulanan sebab kadang-kala kami beli stok lebih mahal daripada hari yang kita jual
“Stok bawah tanah itu nak jual seminggu, tak habis, jadi ada kalanya kita rugi sampai seminggu. Kalau bulanan, ada hari yang kita boleh ‘cover’ balik. Kami semua susah nak uruskan apabila setiap minggu tukar harga,” katanya kepada FMT ketika dihubungi, semalam
PDAM sebelum ini menegaskan mahu kerajaan kembali kepada sistem penetapan harga bulanan supaya pembekal mempunyai masa mencukupi menjual bekalan minyak berdasarkan harga belian
Dalam pada itu, Khairul berkata pihaknya menanti ruang untuk bertemu degan kerajaan bagi membincangkan perkara itu
Kelmarin, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat mengumumkan kerajaan akan mengapungkan harga RON95 dengan kenaikan satu sen setiap minggu sehingga mencapai harga pasaran bermula Januari depan
Kata Chong, mekanisme itu diambil bagi meringankan kos hidup rakyat selain mengelak harga barangan naik secara mendadak
Sementara itu presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan perlu bertegas bagi memastikan tiada mana-mana peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya selepas pelaksanaan apungan harga RON95
“Kementerian kena betul-betul tegas. Peniaga naikkan harga barang dengan alasan harga minyak naik, itu alasan saja bukan sebab pun
“Keuntungan dikaut oleh syarikat-syarikat dah besar,” katanya kepada FMT
Mengulas lanjut, Mohideen berkata, kerajaan sepatutnya menghapuskan subsidi dan menggunakan peruntukan itu untuk membina pengangkutan awam yang lebih efisien
“Hapuskan sahaja subsidi dan duit itu guna untuk bina sistem pengangkutan awam yang lebih efisien. Semua boleh guna
“Mungkin kerajaan boleh bantu dari segi bayaran kenderaan pada kadar yang munasabah untuk golongan B40,” katanya
Harga petrol dan diesel diletakkan di bawah sistem apungan terkawal secara bulanan sejak 1 Disember 2014, berikutan penghapusan subsidi minyak
Mulai 29 Mac 2017, harga petrol dan diesel yang ditentukan melalui sistem apungan terurus, diumumkan secara mingguan setiap Rabu berbanding setiap bulan sebelum dimansuhkan pada 16 Mei 2018
Pada Februari lalu, kerajaan mengumumkan harga RON95 dihadkan pada kadar RM2.08 tanpa mengira harga minyak dunia
Baru-baru ini, KPDNHEP turut mengumumkan penerima Bantuan Sara Hidup layak menerima Program Subsidi Petrol (PSP). - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2019/11/lebih-baik-sistem-apungan-harga-bulanan.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians+