Lebaran Tanpa Orang Tua
Tua mengejar di mana kau berada; tak berbeza semua kan merasa; itu hakikat tak bisa hindari walau seinci; bersihkan diri sebelum terlewat nanti. Bait-bait lagu Fauziah Latiff itu mengingatkan kita bahawa yang muda – jika dipanjangkan umur – akan merasa waktu tua dan ketika itu barulah kita akan terkenang bagaimana ketika muda kita melebih-lebihkan orang tua kita atau tidak.
Lebaran yang menyusul lagi harus menyedarkan kita betapa kurang sempurnanya berhari raya ketika orang tua kita sudah tiada. Akan terbayanglah kita bagaimana dahulu orang tua kita ternanti-nanti akan kepulangan kita, ibu yang sibuk memasak makanan kita ketika kanak-kanak dan usia muda sehingga lauk-pauk penuh meja dan ayah berkemas rumah demi keselesaan anak menantu dan cucu tunggal.
Kira-kira dua jam selepas kami memulakan perjalanan dari ibu kota – waktu itu tiada telefon bimbit untuk memaklumkan perkembangan perjalanan – ayah sudah sedia menunggu di simpang masuk ke taman perumahan kami di Perak sambil duduk di atas motosikalnya dengan tidak berhenti-henti menadah tangan memanjatkan doa agar perjalanan kami lancar dan selamat tiba.
Ibu selalu menceritakan yang ayah tidak betah duduk diam di rumah menunggu kami sampai dan mahu segera ke persimpangan jalan besar melihat-lihat setiap kereta yang melintas lalu sehingga akhirnya mengecam kereta kami yang baru menyalakan lampu isyarat membelok masuk untuk memberinya kelegaan dan kesyukuran.
Benarlah sewaktu muda kita tidak pernah memahami kerinduan orang tua kita yang jarang dapat berjumpa. Cuma, apa yang diyakini orang tua saya ialah kerana kami tiga beranak tinggal sebumbung dengan mentua di Kajang, maka keutamaan kami tentunya menghabiskan raya pertama di kampung.
Faham benar resmi ayah, saya akan menelefon ketika hendak memulakan perjalanan – lazimnya selepas solat sunat Aidilfitri untuk mengelak daripada kesesakan — agar dia tidak ternanti-nanti terlalu lama di simpang jalan. Itu pun senyum orang tua selalunya tidak berpanjangan apabila soalan bertanyakan berapa lama cuti kali ini dijawab dengan masa yang terluang cuma dua malam.
Di sebalik itu, mereka tidak pernah merungut, sebaliknya menyedapkan hati sendiri dengan kata-kata bila berkelapangan pada lain waktu nanti, baliklah lama sedikit. Orang tua kita sangat memahami akan kesibukan kerja kita. Selain tidak pernah mendesak, mereka tidak berhenti-henti mendoakan kemajuan dalam kerjaya kita kerana itu pun sudah cukup untuk mereka tumpang gembira. Asalkan anak-anak senang, kata mereka.
Pun begitu, rasa bersalah kerana tidak dapat menghabiskan masa lebih lama bersama mereka, tidak pernah hilang. Ayah dan ibu sampai sanggup menangguhkan berziarah ke rumah saudara-mara ketika raya pertama dan kedua asalkan dapat menghabiskan sebanyak mungkin masa bersama kami sekeluarga.
Ayah menurutkan saja kemahuan cucu tunggalnya. Motosikalnya – jenis Honda CG125 – tidak sempat disejukkan enjinnya melayani kerenah si kecil yang mahu dibawa bersiar-siar dan minta dibelikan itu dan ini. Bila cucu dah diam, ayah pula yang sibuk bertanya jika ada apa-apa lagi yang dimahukannya. Begitulah gelagat atuk dan cucu yang jarang bersua.
Terbayang-bayang setiap kali mahu pulang semula ke ibu kota bagaimana ayah terus terlambai-lambai dan ibu pula mengesat air mata, berat benar hati mereka untuk melepaskan kami balik. Duit raya yang baru disuakan ke tangan mereka diterima endah tak endah saja ditenggelami kesedihan mereka.
Kemudian, bila dah berpangkat sedikit, lagilah susah nak balik ke kampung. Sebahagian sebabnya ialah memang tanggungjawab di tempat kerja dah bertambah dan sebahagian lagi itu jadi alasan untuk lebih jarang balik menjengah orang tua.
Daripada bercucu tunggal sehingga usianya tujuh tahun, kemudian bertambah jadi dua, tiga dan empat, ayah pergi menemui penciptanya selepas menghidap kanser dan ibu pula memilih untuk berpindah ke rumah adik di Johor. Sejak itu, kami tidak pulang ke kampung lagi setiap kali raya kerana rumah peninggalan ayah pun dah disewakan kepada orang lain. Berselang 10 tahun, ibu pula menyusuli ayah.
Sedar tak sedar, kini kami suami isteri pula bergelar orang tua ketika anak-anak sudah besar dan berkerjaya, termasuk seorang yang sudah berkeluarga dan tinggal berasingan kira-kira sejam perjalanan dari tempat tinggal kami.
Begitu cepat putaran masa; terkadang tanpa pun kita sedar; siapa yang lebih bersedia; dialah yang selesa, demikian bunyi satu lagi rangkap lagu Fauziah Latiff itu.
Pada waktu ini tiada lagi guna penyesalan. Khayalan andai waktu boleh diputar ke belakang agar kepulangan ke kampung dapat dilakukan lebih kerap dibandingkan hanya dua sekali setahun, semuanya sia-sia. Tiada apa-apa yang mampu menggantikan semua itu melainkan “karma” yang tidak akan pernah gagal menghambat kita pula.
Bila dah tua begini, kita pula mengambil alih apa yang orang tua kita rasa dahulu. Sebulan anak cucu tak balik, kita dah jadi gelabah. Mulalah kita bersangka anak tak balik kerana perlu menghulur duit kepada orang tua. Serba tak kena.
Sebenarnya, apabila direnung, berapa kerap anak kita balik atau tidak balik hanya mengulangi acuan perbuatan kita kepada orang tua kita dahulu. Jika dahulu kita kerap pulang menjengah ibu dan ayah di kampung, begitulah juga anak-anak akan memperlakukan kita. Patutnya jika anak-anak jadi cerminan kepada perbuatan kita dahulu, kita tak ambil hati. Rupa-rupanya tidak kerana kita lagi akan makan hati.
Sebagaimana orang tua kita dahulu melebih-lebihkan kita di sebalik hanya sesekali balik ke kampung, kita patut berbesar hati melakukan yang sama kepada anak-anak kita pula. Jangan lupa yang kita dah tua dan ini giliran kita belajar untuk tidak memendam rasa.
Jika dahulu orang tua kita menggalakkan kita untuk bekerja kuat demi masa depan lebih cerah, maka kini sampai masa kita untuk memberi sokongan dan galakan serupa kepada anak-anak pula agar seperti orang tua kita dahulu, kita dapat tumpang bangga dan gembira.
Tua mengejar pasti tiba saatnya; kau merasa hidup tak segagah waktu remaja; di mana tenaga menyala-nyala; di hari tua makin terpadam semua – kata satu lagi rangkap seni kata lagu yang sama.
Tapi kita tahu kemampuan diri kita tak sehebat orang tua kita dahulu, yang amat cermat untuk tidak mengguris hati kita dibandingkan dengan kita yang langsung tidak berhati-hati dalam menghindarkan perasaan orang tua kita daripada terguris.
Di saat mereka lama sudah tiada, kita hanya mampu teringatkan kisah-kisah lama, akan kasih-sayang mereka, kerinduan mereka ternanti-nanti kami pulang lagi dan kegembiraan mereka ketika dapat berhari-raya bersama-sama.
Harap anak-anak kita juga dapat mengambil pelajaran daripadanya dan berusaha mengubah keadaan dengan lebih kerap menziarahi orang tua ketika mereka masih ada. Kelak anak-anak juga akan melalui kitaran yang sama juga – sebagaimana kita yang dah tua ini rasakan sekarang.
Selamat hari raya, maaf zahir dan batin buat semua pembaca. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/04/lebaran-tanpa-orang-tua.html