Lawati Lokasi Ini Bagi Mengenang Jasa 3 Ahli Sukan Terkenal Negeri Selangor
3 Lokasi Di Sekitar Negeri Selangor Ini Turut Memberi Pendedahan kepada Orang Awam tentang Kemasyshuran Negeri Ini dalam Arena Sukan
Acara Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi topik yang hangat diperkatakan beberapa minggu ini. Walaupun era pandemik Covid-19 masih belum berakhir, tetapi pihak tuan rumah, Negara Jepun menjalankan tugas mereka mengikut garis panduan atau SOP dengan baik sekali. Setakat ini, pasukan beregu badminton lelaki Malaysia telah berjaya meraih pingat gangsa dalam sukan badminton. Seiring dengan semangat menyokong atlet Malaysia, dalam artikel kali ini, Tourism Selangor menyenaraikan 3 ahli sukan terkemuka dari Negeri Selangor dan tempat-tempat yang anda boleh lawati di sekitar Negeri ini untuk mengenang jasa dan legasi mereka dalam arena sukan Negara dan antarabangsa
1) Dato’ Mokhtar Dahari (Muzium Bola Sepak Selangor, Istana Alam Shah, Klang)
Pemain bola sepak lagenda yang berasal dari Negeri Selangor ini telah dilahirkan pada 13 November 1953. Dato’ Mokhtar Dahari atau juga dikenali sebagai Supermokh terkenal dengan kehandalan dan kemahirannya dalam sukan bola sepak. Beliau juga telah berjaya menjaringkan sebanyak 89 buah gol dalam 142 perlawanan antarabangsa dan telah menjadi penjaring yang terbaik sepanjang masa untuk pasukan Malaysia. Dato’ Mokhtar Dahari juga telah dinamakan oleh FIFA sebagai penjaring gol terbanyakdi tempat ketiga dalam kategori antarabangsa selepas Ali Daei dan pemain bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo. Selain itu, beliau juga telah membantu Selangor memenangi 10 Piala Malaysia sepanjang karier beliau ketika bermain untuk Selangor FA. Bagi peminat Dato’ Mokhtar Dahari dan peminat bola sepak yang lain, anda boleh kunjungi Muzium Bola Sepak Selangor yang terletak di Istana Alam Shah Klang untuk memperingati jasa bintang bola sepak ini sertamenerokai sejarah dan koleksi bola sepak yang dikumpulkan sendiri oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Baju jersey Dato’ Mokhtar Dahari juga ada dipamerkan di sini bertujuan untuk mengenang jasa beliau sebagai pemain bola sepak Negeri Selangor. Jika anda berminat untuk melawati muziumini, pastikan anda membuat lawatan secara berkumpulan dan membuat permohonan terlebih dahulu kepada Dato’ Pengelola Bijaya Diraja di Pejabat DYMM Sultan Selangor.
2) Arumugam Rengasamy (Stadium Mini Datuk R Arumugam, Klang)
Selain Dato’ Mokhtar Dahari, Datuk R Arumugam juga adalah seorang legenda bola sepak yang berasal dari Negeri Selangor. Datuk R Arumugam yang juga dikenali sebagai ‘spiderman’ telah membantu pasukan bola sepak Negara Malaysia memenangi pingat gangsa dalam Sukan Asia 1974 di Tehran yang sehingga hari ini masih dikira sebagai pencapaian terbesar dalam sejarah bola sepak negara. Oleh kerana kehandalan beliau dalam menangkas serangan pihak lawan dan kelebihan beliau dalam menangkap bola dari sudut yang sukar, beliau juga telah membantu pasukan bola sepak Negara mendapat tempat kelayakan dalam Sukan Olimpik Moscow 1980 yang pada ketika itu telah mengalahkan pasukan Korea Selatan dengan mata 2-1. Pada tahun 2018, sempena memperingati jasa Datuk R Arumugam, Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Majlis Perbandaran Klang telah menukar nama Stadium Jalan Pekeliling, Port Klang kepada Stadium Mini Datuk R Arumugam sempena memperingati jasa beliau terhadap arena bola sepak Negara. Tempat ini boleh dilawati oleh orang ramai untuk beriadah dan juga mampu memberikan semangat kepada golongan muda bagi mencapai cita-cita mereka berdasarkan kisah hebat Datuk R Arumugam.
3) Adik Beradik Sidek (Tugu Badminton, Banting)
Siapa yang tidak kenal dengan jaguh legenda badmintonMalaysia; adik beradik Sidek. Adik beradik yang terkenal dengan siri animasi adaptasi berjudul ‘Anak-Anak Sidek” ini mula menerima latihan dari bapa mereka, Dato’ Haji Sidek Abdullah Kamar yang bertempat di hadapan rumah mereka yang terletak di Pekan Banting, Selangor. Bukan sahaja terkenal dengan animasi dan komik berasaskan kisah mereka, adik beradik yang terdiri daripada Datuk Misbun Sidek, Datuk Jalani Sidek, Datuk Razif Sidek, Datuk Rashid Sidek dan Rahman Sidek ini juga berjaya menempa nama dalam sukan badminton dalam pelbagai arena berprestij termasuk Sukan SEA, Grand Prix Badminton Dunia, Piala Thomas dan juga Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England. Pada tahun 1985, adik beradik ini telah menyertai kejohanan luar negara di Terbuka Hong Kong menjadikan mereka keluarga terbesar mewakili negara di pentas antarabangsa. Bagi peminat badminton dan legenda sukan badminton ini, anda boleh membuat lawatan ke Tugu Badminton Anak-anak Sidek yang terletak di Pekan Banting di dalam kawasan perumahan Dato’ Haji Sidek. Tugu itu dibina sebagai memperingati jasa dan sumbangan keluarga Sidek dalam mengharumkan nama Negara di arena badmintondi peringkat domestik dan antarabangsa.
3 ahli sukan Negeri Selangor yang berjaya menempa nama di persada sukan dunia ini tidak harus dilupakan jasa dan pencapaian hebat mereka. Oleh itu, jika anda berkelapangan, lawati tempat-tempat yang telah disenaraikan di atas pada suatu masa hadapan.
Selain itu, bagi peminat-peminat sukan, seiring dengan semarak Sukan Olimpik Tokyo 2020, anda juga boleh pergi ke tempat-tempat sekitar Negeri Selangor setelah pergerakan kembali dibenarkan termasuk ke Mural Stadium Shah Alam, Bukit Unggul Country Club, Wangsa Bowl, 1Utama Shopping Centre, Taman Tasik Cyberjaya, Darul Ehsan Aquatic Centre dan Michael’s Badminton Academy, Puchong untuk menyemarakkan lagi semangat kesukanan anda.
Namun, ketika musim pandemik Covid-19 ini, anda perlulah sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Sentiasa daftarkan kemasukan diri anda di setiap premis yang anda lawati melalui aplikasi “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat” dan juga mempraktikkan penjarakan sosial, memakai topeng muka di tempat umum serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.
Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor,www.selangor.traveluntuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor pada waktu kelak atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini. #ImagineNowExperienceSoon.
Bac juga : Tourism Selangor Becomes A Strategic Partners
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://norminieza.blogspot.com/2021/08/lawati-lokasi-ini-bagi-mengenang-jasa-3.html