Laung Azan Tengok Bumbung Diterbangkan Ribut
Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
Azlimah menunjukkan bahagian bumbung beranda rumahnya yang ranap akibat kejadian hujan lebat pada Rabu lalu.SEPANG – Seorang warga emas, Rukiah Teguh, 66, berdepan detik cemas selepas bumbung rumahnya di Kampung Giching di sini ranap diterbangkan angin dalam kejadian ribut pada hari Rabu lalu.
Menceritakan kembali kejadian itu, Rukiah berkata, dia sempat melaungkan azan kerana terlalu panik dan berada dalam ketakutan selepas melihat atap rumahnya terangkat diterbangkan angin kencang.
Rukiah berkata, ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang, dia bersama cucunya yang berusia tiga tahun ada di rumah itu manakala anak perempuannya, Azlimah Kawit, 39, keluar atas urusan kerja.
“Saya dan cucu lelaki ketika itu sedang berehat dan menonton televisyen dan apabila dengar angin ribut ditambah dengan petir sabung menyabung, saya sudah tidak sedap hati.
“Saya mula takut kerana khuatir rumah runtuh melihatkan keadaan kipas yang bergegar. Nak lari pun tidak tahu ke mana tetapi saya tawakal, dan terus melaungkan azan,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Menurut Rukiah, tidak lama selepas itu, dia lihat bumbung beranda hadapan rumahnya ranap dan terangkat sebelum bumbung zink bilik pula terpelanting diterbangkan angin.
Tambahnya, dengan keadaan ribut dan hujan lebat yang berlaku tempoh hari, rumahnya dinaiki air dan mereka sekeluarga hanya sempat menyelamatkan barangan keperluan.
Sementara itu, Azlimah berkata, kejadian kali kedua itu adalah paling teruk dialami keluarganya.
“Ketika kejadian berlaku, saya tiada di rumah kerana ada urusan di luar, begitu juga dengan adik lelaki yang sama-sama tinggal di rumah ini.
“Apabila ibu menangis beritahu atap zink bumbung rumah ‘terbang’, saya segera pulang kerana bimbang keselamatannya dan anak,” katanya. – K! ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/04/laung-azan-tengok-bumbung-diterbangkan.html