Lakukan Pemeriksaan 5 Mata Pada Kereta Anda

SEJAK PKP dilaksanakan, kita mungkin secara tidak langsung  mengabaikan kereta yang dimiliki kerana kita tidak dibenarkan untuk  memandunya ke tempat yang melebihi 10km dari rumah. Oleh kerana pusat  servis dan bengkel turut tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh  ini, terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk memastikan  kereta anda kekal berada dalam keadaan baik sepanjang PKP. Apa yang  paling penting adalah lakukan pemeriksaan 5-mata pada kereta anda.Jangan risau kerana anda tidak perlu mahir dalam bidang teknikal  untuk melakukan pemeriksaan ini. Anda hanya perlukan buku panduan  pemilik dan mungkin lampu suluh. Sekiranya buku panduan tidak ada  bersama anda, anda boleh merujuk kepada maklumat yang ada di dalam  talian.
 1. Cecair/BendalirCecair di dalam kereta anda memainkan peranan penting bagi hampir  kesemua aspek termasuklah kecekapan, prestasi dan penjimatan bahan api.  Dengan memastikan cecair pada kereta anda berada pada paras optimum, ia  akan membantu melancarkan pemanduan anda. Terdapat lima jenis cecair  yang perlu anda ambil kira iaitu minyak pelincir, cecair penyejuk,  minyak brek, cecair stereng berkuasa serta cecair pencuci cermin  hadapan.
 Bahagian yang paling penting ialah minyak pelincir. Komponen yang  berada di dalam enjin akan berputar beribu-ribu kali dalam masa satu  minit, dan minyak pelincir inilah yang akan membantu melancarkan putaran  tersebut. Bagi memastikan minyak pelincir mencukupi, hampir kesemua  kereta akan dilengkapi batang celup atau dipstik di bahagian enjin yang  biasanya berwarna kuning dan pemegangnya kelihatan seperti cincin.  Matikan enjin terlebih dahulu, tarik batang celup, lap sisa minyak  dengan kain bersih, dan ulangi sekali lagi untuk mendapat bacaan yang  tepat.
 Seterusnya, fungsi cecair penyejuk adalah untuk menghalang enjin  daripada terlalu panas dengan memindahkan haba dari enjin ke radiator.  Kebiasaannya bekas cecair penyejuk adalah berwarna putih dan jenis  telus, terletak di bahagian depan ruang enjin untuk memudahkan memeriksa  secara visual paras cecair penyejuk di dalamnya.
 Selain itu, cecair penting lain ialah cecair brek yang  bertanggungjawab menggerakkan pelbagai komponen sistem brek kereta anda.  Paras cecair brek mudah untuk diperiksa. Cari penutup berwarna putih di  bahagian belakang yang berdekatan dengan kabin kereta. Sekiranya  penutup tersebut adalah jenis telus, ia akan lebih mudah untuk  diperiksa, dan jika sebaliknya, anda hanya perlu membuka penutup untuk  melihat paras cecair di dalam bekas tersebut. Pastikan enjin kereta  dimatikan dan keadaan kereta tidak panas sebelum membuka penutup.
 Sistem stereng kuasa juga memainkan peranan penting. Kebanyakkan  kereta masa kini dilengkapi dengan sistem stereng kuasa hidraulik yang  membantu menjadikan pemanduan jauh lebih mudah walau dalam apa jua  kelajuan. Untuk memeriksa cecair stereng, cari reservoir di ruang enjin.  Selalunya ia mudah dilihat kerana penutupnya akan dilabelkan sebagai  “Power Steering”. Jika tiada sebarang label, cari ikon stereng.  Sesetengah kereta mempunyai reservoir separa telus yang akan memudahkan  anda memeriksa paras cecairnya sementara sesetengah kereta yang lain  pula mempunyai batang celup yang terlekat di penutup.
  Akhir sekali, cecair pencuci cermin hadapan juga jangan dilupakan.  Pastikan ia diisi agar cermin hadapan kereta anda dapat dibersihkan  untuk memberi anda pandangan yang lebih jelas.
 Sekiranya cecair berkurangan, isi semula cecair tersebut tetapi jika  anda tidak tahu bagaimana untuk melakukannya, kunjungilah ke mana-mana  pusat servis setelah tempoh PKP berakhir.
 2. BateriBateri kereta memainkan peranan penting untuk menghidupkan komponen  elektrik di dalam kereta. Selain menghidupkan enjin kereta secara  berkala untuk memastikan alternator mengecas bateri, kita juga perlu  memastikan pengapit bateri dipasang ketat, bersih dan tidak berkarat.
 Pemeriksaan bateri secara fizikal juga penting untuk mengetahui  sekiranya terdapat sebarang keretakan. Pertama, anda perlu memeriksa  sama ada terdapat bonjolan pada permukaan bateri. Selepas itu, periksa  pengapit bateri untuk melihat kesan-kesan hakisan.
 Catat tarikh anda menukar bateri pada buku panduan pemilik. Sebagai  alternatif, jika anda mempunyai voltmeter di rumah, anda boleh memeriksa  voltan bateri.  Bacaan di bawah 14v semasa enjin dihidupkan bermakna  bateri anda lemah. Seeloknya, periksa alternator anda jika bacaan lebih  rendah daripada itu.
 3. LampuPerkara seterusnya yang perlu anda periksa adalah lampu. Pastikan  lampu depan, lampu belakang, lampu brek dan lampu isyarat berfungsi  sebelum anda memulakan pemanduan. Satu cara mudah untuk memeriksa lampu  belakang adalah dengan meletakkan kereta berdekatan dengan dinding dan  gunakan cermin pandang belakang untuk melihat sama ada lampu berfungsi  dengan baik. Sekiranya terdapat mana-mana lampu yang tidak terang, ganti  mentol di pusat servis terdekat selepas tempoh PKP berakhir.
 4. Tayar Tayar kereta adalah sama seperti sepasang kasut dan sekiranya dijaga  dengan rapi, ia akan memastikan keselamatan anda dan kenderaan lain di  jalan raya. Perkara pertama yang perlu diperhatikan adalah jika terdapat  sebarang rekahan, koyakan atau lekukan. Pada masa yang sama, perhatikan  sekiranya terdapat bahagian tayar yang kekurangan angin. Sekiranya ada,  anda perlu mengepam tayar tersebut. Tetapi, lakukan hanya jika anda  benar-benar perlu keluar untuk mendapatkan barang keperluan.
 Seterusnya adalah tekanan tayar anda. Sebaiknya, periksa tekanan  tayar menggunakan tolok tekanan tayar. Tekanan tayar yang betul boleh  didapati di dalam buku panduan atau di tepi pintu pemandu. Tekanan tayar  yang disyorkan adalah berbeza untuk setiap kereta. Bahaya sekiranya  anda menggunakan tayar dengan tekanan yang terlalu rendah atau terlalu  tinggi kerana ia akan menjadi punca kehausan tayar yang tidak rata dan  anda perlu menukar tayar dengan lebih cepat.
 Perkara lain yang perlu dititikberat adalah bebenang tayar. Setiap  tayar dilengkapi dengan indikator bunga-haus yang terletak di antara  blok bunga.  Berfungsi membantu anda memantau kehausan tayar tersebut,  penunjuk ini dijarakkan secara rata dan diletakkan selari dengan alur.  Sekiranya ia dilihat separas dengan penunjuk, maka sudah tiba masa untuk  anda mengganti tayar baharu.
 5. Bilah pengelapPengelap cermin hadapan yang berfungsi dengan baik akan dapat  memastikan keselamatan anda di jalan raya. Semakin kerap kita  menggunakannya, ia akan secara beransur-ansur menjadi keras dan merekah,  menyebabkan terdapat garis-garis yang akan mengaburi penglihatan ketika  memandu. Untuk mengetahui sama ada bilah pengelap anda berfungsi dengan  baik, anda boleh hidupkan fungsi pengelap, sebaik sahaja anda menyedari  pengelap tidak memberikan sapuan yang jelas malahan meninggalkan  garisan atau mengeluarkan bunyi, ini bermaksud anda perlu menukarnya  sebaik sahaja tempoh PKP tamat.
 Selain mengangkat bilah pengelap tersebut sekiranya kereta anda  diparkir di bawah terik matahari, anda juga boleh membersihkan bilah  tersebut dengan tuala lembap untuk menghilangkan kotoran atau minyak  untuk memastikan ia boleh digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama.
 Itu sahaja yang dapat dikongsikan. Panduan ini dapat memastikan  setiap komponen penting pada kereta anda dapat berfungsi dengan baik dan  dalam pada masa yang sama untuk memastikan keselamatan anda, keluarga,  serta pengguna jalan raya yang lain, tanpa mengira tempoh PKP atau pada  bila-bila masa.
 Untuk mendapatkan lebih banyak panduan berguna serta maklumat mengenai produk dan servis PROTON, sila layari laman web di https://www.proton.com/en/corporate/staysafe-staystrong-malaysia.
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


  ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/04/lakukan-pemeriksaan-5-mata-pada-kereta.html