Lagu Sebagai Senjata Kempen Pilihan Raya
Tidak dinafikan muzik dan lagu adalah salah satu “unsur” dalam diri kita sehari-hari. Ia sudah menjadi makanan kita. Sejak kecil, kita sudah mendengar lagu dan muzik. Ibu kita mendodoikan dan menyanyikan lagu untuk kita ketika hendak tidur. Kita tidur lena kerana lagu-lagu nyanyian ibu kita membawa kita kepada sebuah perasaan – perasaan selamat. Cuba bunyikan muzik, lagu atau bunyi-bunyian yang rancak, automatik anak kecil akan memberi respon dengan tertawa dan kemudian menggoyangkan badannya. Itulah diri kita yang telah didedahkan dengan muzik dan lagu sejak kita masih belum mengerti apa-apa yang lebih besar lagi.
Betapa lagu dan muzik mampu menghadirkan berbagai-bagai perasaan di dalam diri kita. Cuba tonton filem sama ada ia sebuah cerita sedih, lucu mahupun seram. Perasaan kita akan lebih cepat dipengaruhi dengan adanya kesan bunyi dan muzik. Kalau sedih, bunyi muziknya begitu; jika seram, bunyi muziknya begini, padahal ia hanya nada-nada kunci bunyi yang disusun dan digubah tetapi peliknya ia boleh mempengaruhi jiwa kita. Otak kita mengesan nada-nada bunyi ini dan menterjemahkannya lalu ia “membantu” menyemarakkan lagi perasaan kita yang telah ada sejak asalnya. Jika kita menonton cerita sedih, muzik sedih ini akan menambah lagi kesedihan kita. Begitulah juga dengan perasaan-perasaan lainnya. Rasa patriotik misalnya. Tanyalah mereka yang lama meninggalkan negara ini apakah perasaan mereka apabila mendengar lagu “Negaraku”. Tanyalah para atlet yang telah memenangi pingat kejohanan untuk negara, apakah perasaan mereka ketika lagu kebangsaan dialunkan? Semangat cintakan negara akan semakin meningkat. Pada hari kebangsaan 31 Ogos, apabila kita mendengar lagu “Warisan” nyanyian Sudirman, “Saya Anak Malaysia” oleh Dr Sam Rasputin ataupun lagu “Setia” dendangan Francisca Peter, silap-silap air mata boleh menitis. Lagu ini mampu menyuntik lagi kecintaan kita kepada nusa dan bangsa.
Atas kesedaran peri pentingnya muzik atau lagu untuk mempengaruhi manusia, maka tidak hairanlah lagu juga menjadi senjata dalam sesebuah kempen pilihan raya. Ini tidak pelik. Menoleh kembali sejarah perjuangan pada zaman dahulu kala, ternyata lagu, bunyi-bunyian adalah sebahagian daripada alat peperangan. Bunyi alat tiupan, ketukan gendang dan genderang mengiringi tentera ke medan perang. Rombongan hijrah Rasulullah dan sahabat-sahabat dari Mekah disambut penduduk Madinah dengan bunyi-bunyian, sahut-sahutan syair. Kempen-kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat sejak zaman Abraham Lincoln menggunakan lagu sebagai daya tarikan. Lagu, muzik dengan senikata yang berkesan sangat membantu sesebuah kempen. “Yankee Doodle”, “It’s America”, “Few Days” adalah contoh lagu-lagu kempen popular presiden Amerika yang begitu menjadi.
Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kali ini juga tidak ketinggalan menggunakan taktik ini. Seperti kebanyakan lagu kempen-kempen pilihan raya seluruh dunia, pemilihan lagunya mengambil melodi lagu yang sudah popular atas faktor ia sudah biasa didengar. Pakatan Harapan (PH) berjaya memukau ilusi rakyat dengan lagu parodi “Penyamun” gubahan Altimet yang mengguna pakai lagu dari filem “Ali Baba Bujang Lapok” arahan P.Ramlee. Memang bait “Hoi! Hoi Ya Hoi!” sangat menangkap imaginasi rakyat. Kalau dahulu asal muzik blues menjadi muzik yang merakamkan rintihan marhaen akibat penindasan, dikembang pula oleh muzik rock sebagai pembawa suara pemberontakan, juga muzik reggae dengan maksud yang sama tetapi lebih merakyat kini irama hip-hop adalah irama pilihan semasa dalam menyampaikan mesej. Di Indonesia misalnya, kumpulan Kaf G melagukan protes terhadap pemerintah dan sistem dengan irama hip-hop. Meskipun hip-hop kedengaran “stereotype” melodinya tetapi isi penyampaian senikatanya yang diutamakan. Rangkap-rangkap seakan sedang membebel dengan tempo pantas dan pemilihan perkataan yang ringkas lagi tepat akan cepat masuk ke dalam telinga pendengar. Di Malaysia, lagu-lagu P.Ramlee cukup lama melekat di jiwa rakyat. Seniman agung itu seolah sudah menyediakan sebuah perpustakaan karya beliau untuk dikitar semula dengan kreatif oleh penggubah muzik hari ini. “Hoi! Hoi Ya Hoi!” akhirnya berjaya memikat hati rakyat Malaysia untuk menolak “penyamun” yang dilagukan. Rakyat akan cepat faham siapakah penyamun yang dimaksudkan. Label penyamun yang dipahat dalam lagu tersebut telah menyebabkan penyamun yang dimaksudkan akhirnya tewas teruk dek keberkesanannya. PH mesti mengaku bahawa lagu tersebut telah turut sama berjasa dalam menyumbang kemenangan mereka. Sama ada selepas itu PH terpaksa menarik “penyamun” yang telah tewas itu naik semula untuk sama-sama membentuk kerajaan itu kisah lain. Ringkasnya, gelaran penyamun itu tepat, melekat, membuat rakyat mudah memahami apa yang disampaikan seterusnya membantu mereka membuat keputusan.
Beberapa orang kawan saya yang terdiri daripada penyokong parti, pempengaruh media sosial dan ahli parti lain yang bukan penyokong PAS dan terus-terang berkata mereka tidak akan mengundi PAS terpaksa juga mengakui lagu kempen pilihan raya PAS bertajuk “Bangkit Pertahan” yang dibawakan oleh Soutul Amal cukup kuat impaknya di TikTok. Tidak perlu dengar sampai habis, hanya bait “pertahankan kepimpinan ulama…” ini cukup melekat kerana sebaik sahaja kita buka TikTok, video ini akan muncul. Lama-lama ia menjadi siulan di dalam kepala.
“Lagu itu saya kira ‘masterpiece’ dan cukup memikat,” akui kawan saya yang sering muncul di kaca televisyen sebagai ahli panel membincangkan isu semasa, isu pekerja dan analisis politik.
PAS harus melihat dengan serius seni lagu ini, dan mesti lebih terbuka dalam melihat muzik serta lagu sebagai satu cabang seni yang berkesan untuk pembangunan jiwa insan jika ia dimanfaatkan dengan positif.
Ada beberapa lagu yang digunakan oleh setiap gabungan parti dan parti politik itu sendiri. Saya menyemak juga lagu-lagu kempen oleh Perikatan Nasional (PN) dan yang lain-lainnya. Ada yang terlalu panjang, pemilihan perkataan yang kurang menangkap serta muziknya tidak sedap. Formula PH dan PAS bagi saya berjaya dan ini boleh dijadikan rujukan untuk siri kempen PRU akan datang, apatah lagi perkembangan media sosial begitu laju sekarang. Harus dilihat sesebuah lagu kempen politik itu mestilah mengandungi ciri-cirinya seperti menceritakan kelebihan mereka, menerapkan mesej positif mereka dengan menekankan sisi baik serta keperwiraan mereka dalam membela rakyat. Sosok adiwira mesti ada dan ia mesti dilambung di dalam lagu. Inilah yang ada pada lagu “Bangkit Pertahan” untuk kempen PAS dan PN. Ulama adalah adiwira yang mereka angkat untuk dipertahankan. Satu lagi ciri sesebuah lagu kempen politik ialah dengan menyerang pihak lawan. Lagu “Penyamun” yang diguna oleh PH menggunakan ciri tersebut. Siapa yang menyokong musuh mereka adalah menyokong penyamun. Hasilnya? Anda lihatlah sendiri.
Kehadiran penyanyi di pentas-pentas ceramah politik dalam siri kempen PRU kali ini juga membuktikan lagu dan muzik menjadi faktor penarik khalayak untuk memilih mereka. Sehubungan dengan itu, para politikus mestilah mempunyai kesedaran bahawa muzik dan lagu adalah suatu cabang seni yang sihat dan mesti dipelihara, dijaga dan penggiatnya mesti dibenarkan untuk berkreatif dalam menghasilkan karya. Tidak sekadar hanya dijadikan alat ketika mahu berkempen sahaja dan mempergunakan populariti penyanyi dan lagu tetapi apabila naik menjadi kerajaan nanti harus mengangkatnya.
Keberkesanan lagu kempen mereka pada PRU yang lalu adalah satu pengajaran untuk kerajaan baharu ini meneruskan kejayaan mereka lagi dengan meniup terus angin perubahan di telinga rakyat melalui lagu dan muzik.
“Itulah yang silapnya kerajaan PH ketika menang PRU14,” kata pengarah filem Kembara Seniman Jalanan, Nasir Jani sewaktu kami bersembang santai tahun-tahun pandemik yang lalu. “Kau bayangkanlah sebaik sahaja mereka menang dahulu, siaran televisyen dan radio memainkan peranan mengubah terus persembahan lagu-lagu mereka. Sekiranya setiap pagi ketika rakyat dalam perjalanan hendak ke tempat kerja dipasangkan lagu-lagu semangat ia sedikit-sebanyak mampu mengubah minda rakyat. Siaran televisyen juga sebelum berita atau pada waktu perdana ditunjukkan visual perjuangan dengan selingan lagu-lagu semangat pasti rakyat turut sama merasakan mereka adalah sebahagian daripada perubahan itu. Tapi ini tidak berlaku,” keluhnya lagi.
Mungkin PH sudah sedar dan belajar daripada kekurangan sebelum ini.
Seni budaya termasuklah lagu dan muzik tidak boleh dipandang enteng. Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang cukup dikenali sebagai sosok celik seni mesti mempunyai keazaman untuk melakukan reformasi dalam bidang penyiaran di mana lagu-lagu dan muzik yang lebih kreatif dibenarkan sama rata kemunculannya di media elektronik bersama lagu-lagu cengeng yang sudah berabad dihidangkan kepada kita. Penggunaan lagu-lagu perjuangan, penaik semangat dan seumpamanya yang digunakan dalam kempen PRU lalu mesti terus diberikan tempat supaya rakyat terus disegarkan dengan mesej-mesej berguna. Rakyat mesti dididik bahawa lagu dan muzik bukan semata-mata bahan hiburan ringan sahaja tetapi mampu juga mengubah dunia! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/11/lagu-sebagai-senjata-kempen-pilihan-raya.html