Lagi Kad Merah Dan Skuad B 19 Tempah Laluan Sukar
MALAYSIA seri 2-2 dengan Tajikistan pada aksi kedua Kumpulan D Kejohanan B-19 AFC 2018 di Bekasi, Indonesia. - Ihsan FB FAMLagi kad merah dan Skuad B-19 tempah laluan sukar
KUALA LUMPUR: Skuad muda negara menempah laluan sukar dalam usaha layak ke suku akhir selepas seri 2-2 dengan Tajikistan pada aksi kedua Kumpulan D Kejohanan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Bekasi, Indonesia sebentar tadi.
Selepas gagal meraih sebarang mata apabila tumbang 1-2 di tangan Arab Saudi pada aksi pertama, skuad bimbingan Bojan Hodak seharusnya bangkit mengutip mata penuh ke atas Tajikistan namun kegagalan berbuat demikian mungkin boleh menyebabkan perjuangan mereka berakhir setakat peringkat kumpulan.
Justeru, mereka perlu menang selesa ke atas China pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Pakansari, Cibinong, Jumaat ini untuk menghidupkan peluang mara ke suku akhir sambil mengharapkan bantuan Arab Saudi yang sudah layak untuk menewaskan Tajikistan.
Pada aksi di Stadium Patriot Chandrabhaga, Tajikistan bermula dengan rentak garang apabila pantas mengasak kubu negara menerusi percubaan Saidov Karomatullo dan Mabatshoev Shervoni serta tandukan Ehsoni Panshanbe pada awal permainan namun mudah dipatahkan benteng pertahanan negara.
Bagaimanapun, kesabaran Malaysia mencari rentak akhirnya membuahkan hasil selepas hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat menembusi barisan pertahanan Tajikistan sebelum disudahkan Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk gol pembukaan pada minit ke-11.
Namun Malaysia tersentak apabila tindakan Al Imran Halim menjatuhkan Boboev Sheriddin mengundang padah selepas pengadil, Ahmed Faisal Mohamad Alali dari Jordan menghadiahkan penalti kepada Tajikistan yang disempurnakan Panshanbe untuk mengikat kedudukan pada minit ke-34.
Ketika saingan memasuki minit akhir babak pertama, Tajikistan melancarkan satu serangan balas pantas yang berakhir dengan jaringan Yodgorov Daler untuk menjadikan kedudukan 2-1 sebelum rehat.
Babak kedua bersambung, Nabil Hakim Bokhari menceriakan kem negara apabila mengikat kedudukan 2-2 menerusi sepakan percuma yang terbias pertahanan lawan, Hanonov Vahdat pada minit ke-54.
Hasrat Malaysia memburu gol kemenangan direncat apabila Nabil dilayangkan kad merah pada minit ke-83 susulan terjahan keras ke atas Fuzaylov Ziyovuddin yang menyebabkan pemain tengah itu mengalami kecederaan serius hingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
Tajikistan akhirnya mengikut jejak langkah Malaysia apabila beraksi dengan 10 pemain apabila Nurmatov Khuseyn dilayangkan kad merah susulan kekasaran ke atas Ramadhan Saifullah pada minit ke-87
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://buletinsabahfa.blogspot.com/2018/10/lagi-kad-merah-dan-skuad-b-19-tempah.html