Kunjungan Serampang Dua Mata Terhadap Dr Mahathir
ANALISA
Perjumpaan Ahmad dan Samsuri dengan Dr Mahathir
ditumpangi sama oleh Hadi, Mustapa dan Nordin.DALAM media sosial telah tular gambar pertemuan (menghadap) dua Menteri Besar dari negeri pembangkang, Ahmad Yakob (Kelantan) dan Samsuri Mokhtar (Terengganu) dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pertemuan itu mungkin berlaku dua hari lepas berdasarkan gambar yang ditularkan. Apakah maksud dan hasil pertemuan itu tidak pula diberitakan.
Kedua-dua pihak baik MB dan PM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Tidak seperti ghalib pertemuan di antara dua pemimpin negara di mana mereka akan mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan hasil pertemuan itu.
Sudah tentu kunjungan Ahmad dan Samsuri itu ada sesuatu yang mendesak yang memerlukan mereka segera menghadap Perdana Menteri, kalau tidak masakan mereka sanggup menggadaikan air muka untuk bertemu dengan orang yang mereka atau parti mereka cerca siang malam.
Apakah hasil dan matlamat pertemuan itu rahsia?
Abdul Hadi dan Mustapa ikut sama.
Bersama mengunjung menghadap PM hari itu, adalah tiga mereka yang lain yang tidak masuk atau kelihatan berbincang bersama Ahmad dan Samsuri dengan Dr Mahathir, mereka ialah Abdul Hadi Awang, Mustapa Ali dan Nordin Salleh. Dipercayai sepanjang perjumpaan Ahmad dan Samsuri dengan Dr Mahathir mereka hanya menunggu diluar sambil dihidangkan tea musim monsun. Ada gambar mereka yang juga turut ditular tanpa apa-apa "caption".
Melihat keadaan itu menjelaskan kunjungan itu membawa dua tujuan atau maksud berbeza. Ahmad dan Samsuri lebih kepada urusan kerajaan sesama kerajaan, sebaliknya mereka bertiga membawa urusan lain yang di luar kerajaan?
Walaupun tiada kenyataan media dibuat, tetapi orang ramai sudah dapat mengagak akan tujuan dan maksud kunjungan itu. Bak kata orang melihat belakang dan bentuk punggung sahaja sudah tahu sama ada ia kerbau atau lembu.
Ahmad dan Samsuri tentulah membincangkan lebih mendalam mengenai mekanisme untuk memajukan Kelantan dan Terengganu. Sudah tentu dua MB itu mengharapkan Dr Mahathir mengamalkan atau melaksanakan kehendak-kehendak termaktub dalam perlembagaan berdasarkan semangat federalisme.
Perkara pokok, barang kali ialah mengenai janji dan persetujuan Dr Mahathir untuk memberi lima peratus dan (tambahan 20 peratus lagi) hasil royalti petroleum kepada kedua-dua negeri itu. Kenyataan Dr Mahathir itu sebagai menyambung cadangan Husam sebagai menenuhi manifesto Pakatan Harapan yang akan berlaku adil bersetuju untuk menyerahkan royalti petroleum terus kepada kerajaan negeri. Husam atas kepasitit sebagai pengerusi PH Kelantan dalam satu kenyataan menyatakan kerajaan Kelantan berhak diberi royali demi kepentingan rakyat Kelantan yang sudah lama dahagakan wang royalti.
Sebagai rekod tokoh yang memperjuangkan untuk mendapat royalti petroleum untuk Kelantan ialah Husam. Beliaulah orang pertama mendedahkan yang Kelantan berhak mendapat royalti, di mana pendedahan ini membuka kebusukan kerajaan UBN selama ini yang menafikan hak itu bagi Kelantan.
Berbalik kepada kunjungan dua menteri besar itu adalah matlamat berkaitan itu. Umum maklum kedudukan kewangan kedua buah negeri itu kini sangat nazak. Tahun ini katanya Kementerian Kewangan telah menyalurkan kewangan untuk kedua buah negeri itu dibawah peruntukan wang pendahuluan. Untuk negeri Kelantan sahaja sebanyak RM22.5 juta seperti mana disebut Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Justeru boleh diandaikan kalau Kelantan menerima RM22.5 juta Terengganu juga mendapat jumlah yang sama memandangkan kedua-dua negeri menghadapi masalah sama.
Negeri Kelantan terpaksa memohon peruntukan sebanyak RM96 juta antara lain untuk membayar emoleun dan gaji kakitangan kerajaan.
Satu sumber memberi tahu saya, kerajaan Terengganu juga ada menghantar surat menuntut bayaran royali Petroleum berjumlah RM200 juta. Tuntutan itu dibuat sebaik sahaja Perdana Menteri mengatakan yang kerajaan akan memberi royalti kepada negeri Terengganu dan Kelantan. Apakah tuntutan itu sudah dipenuhi atau pun tidak?
Apabila Samsuri sedia menggadaikan air muka bersama Ahmad Yakob boleh difahamkan, tuntutan itu mungkin belum menjadi kenyataan. Apa lagi para pemimpin Pas rancak menyalahkan kepada Lim Guan Eng dan menuduh DAP sebagai penghalang kepada pemberian royalti.
Mengenai maksud kunjungan Ahmad dan Samsuri itu jelas. Tetapi apa pula maksud kunjungan atau penyertaan Abdul Hadi Awang, Mustapa Ali dan Nordin Salleh itu? Mereka tidak mempunyai apa-apa autoriti berkaitan kerajaan sesama kerajaan. Bagi saya penyertaaan mereka itu hanya menumpang Ahmad dan Samsuri sahaja dengan membawa agenda yang berbeza.
Disebabkan mereka lebih mirip kepada politik, master mind politik, terutamanya Mustapa dan Nordin, saya menganggap kedatangan mereka itu atas misi politik. Mustapa dikenali sebagai pencatur politik Pas. Suatu masa dahulu air liurnya sangat masin dalam Pas. Sebelum pilihan raya lalu beliau telah berusaha untuk membawa Pas bersama PH, tetapi gagal apabila ditentang oleh Abdul Hadi dan duta duta mudanya.
Beliau mempunyai hubungan baik dengan Nordin Salleh. Nordin pula dikatakan rapat dan menjadi tempat rujuk Dr Mahathir? Nordin atau lebih dikenali Pak Su Nordin di Kelantan, juga mempunyai kemahiran atau kepakaran yang sama. Politik licit.
Orang Kelantan tahu benar mengenai sepak terajang dan juga bingkai politik yang ada kepada Pak Su. Tahun 1990an lampau Nordin mencipta sejarah politiknya sendiri di Kelantan dimana cetusan yang dibuat itu dianggap pengkhianat. Beliau keluar daripada Semangat 46 parti yang meletakkan beliau sebagai Adun Sungai Pinang untuk bersama Umno. Tindakan beliau itu dianggapkan sebagai melompat parti. Kesnya lompatannya itu dibawa ke mahkamah, bagaimana pun beliau menang. Kemenangan beliau di mahkamah itulah beliau dianggap hero.
Apakah kunjungan Abdul Hadi yang didampingi Mustapa dan Nordin itu mahu mengemukakan apa-apa formula politik kepada Dr Mahathir? Dengan mengambil kira bahawa Abdul Hadi tidak boleh menerima Anwar Ibrahim, bahkan berusaha keras untuk menggagalkan Anwar jadi PM, apakah teori atau formula itu ke arah mahu membawa 18 orang ahli parlimen Pas untuk menyokong Dr Mahathir kekal sebagai PM sekaligus memusnahkan konsensus PH yang telah dimeteraikan dimana Dr Mahathir jadi PM hanya dua tahun?
Penolakan oleh Abdul Hadi dan Pas terhadap Anwar untuk jadi PM sangat jelas. Semasa berlangsung Pirake Port Dickson baru-baru ini yang merupakan jambatan untuk membawa Anwar ke parlimen diganggui oleh Pas dengan telah meletak calonnya. Saya yakin dan percaya peletakan calon Pas di Port Dickson itu sebagai muqadimah kepada teori yang dikemukakan itu. Tentu ada seseorang yang mengaku mendapat persetujuan Dr Mahathir kononnya Pas perlu meletakkan calon di Pirake itu.
Tanpa ada penjelasan tujuan kunjungan itu, saya cenderung untuk membayangkan maksud kedatangan Abdul Hadi bersama Mustapa dan Nordin itu ke arah membincang strategi politik untuk kepentingan bersama.
Abdul Hadi mungkin baharu mengakui apa yang Mustapa katakan sebelum ini Pas perlu bersama PH untuk survival parti itu, Pas dan Pas peru berada dalam mainstream politik. Lebih-lebih lagi kini Pas sudah menjadi kerajaan di Terengganu dan Kelantan makinlah Pas perlu bersama PH untuk membangun negeri berkenaan kerana kalau bersendirian Pas tidak mampu.
Pendapat dan hipotesis Mustapa sebelum pilihan raya umum baharu ini sangat praktikal. Beliau sudah menyatakan yang Pas tidak mungkin dapat menguasai Malaysia malahan untuk survival sekiranya parti itu bersendirian juga tidak berdaya. Mustapa telah berusaha membawa Pas bersama PH, sekurang-kurang dua kali beliau termasuk Tuan Ibrahim telah berjumpa dengan Dr Mahathir. Namun rancangan itu ditolak oleh Abdul Hadi yang lebih mirip untuk bersama Umno, khasnya Najib Razak. Abdul Hadi mungkin didatangi mimpi yang Najib masih boleh jadi PM.
Apabila apa diimpikan tidak menjadi realiti boleh jadi Abdul Hadi sedia untuk mengguna pakai semula formula dan teori politik yang dikemukakan Mustapa itu. Maka sebab itulah beliau kelihatan ikut sama berada di pejabat PM semasa Mustapa dan Nordin yang mengiringi Ahmad dan Samsuri untuk berjumpa Dr Mahathir.
Cuma apa yang tidak dapat dipastikan apakah Dr Mahathir melayani ketiga-tiga orang itu untuk membincang dan perhalusi apa-apa teori atau formula politik kerjasama Pas dengan PH yang hendak dipersembahkan oleh Abdul Hadi, Mustapa dan Nordin Salleh itu?
Dan sekiranya formula itu bukan untuk meruntuhkan apa-apa persefahaman yang telah diwujudkan dalam PH di mana Anwar akan jadi PM selepas Dr Mahathir, kedatangan mereka bertiga itu tidak ada masalah. Hasrat Pas untuk berkerabat dengan PH dialu-alukan kerana itu adalah sebaik-baik tindakan selepas kerajaan UBN yang disayangi selama ini sudah pun tumbang.
Jika kedatangan mereka bertiga membawa niat buruk, ia wajar kalau Dr Mahathir tidak melayaninya dan lebih baik lagi kalau teori dan formula dipersembahkan oleh Mustapa dan Nordin itu Dr Mahathir biarkan sahaja ia berlalu di angin lalu. Teori dan formula dengan tujuan hendak menyingkirkan Anwar itu bukan sahaja dibenci oleh PKR tetapi rakyat jelata juga. [wm.kl.10:41 am 01/11/18]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://msomelayu.blogspot.com/2018/11/kunjungan-serampang-dua-mata-terhadap.html