Kuliah Maghrib Surau Boringlah
Pernah suatu ketika dahulu seorang gadis Korea tinggal serumah dengan kami sekeluarga. Saya dan isteri mengenalinya ketika membawa anak saya menjalani terapi di Beijing. Oleh kerana hanya dia sahaja yang boleh berbahasa Inggeris di hospital tersebut sementara doktor dan staf lainnya semua orang China, maka kami menjadi akrab. Dia yang handle kes anak saya. Dia, seorang doktor akupuntur kemudiannya menyatakan kesediaannya untuk tinggal bersama kami di Malaysia sambil membantu merawat anak istimewa kami dengan kaedah akupuntur.
Dari dia saya mengenali satu cabang aliran dari agama Buddha yang dia anuti. Malah menurut dia, kesediaannya datang ke Malaysia untuk tinggal bersama kami pun setelah dia menyelidik yang pusat ibadat aliran yang dianutnya berada kurang 10km dari rumah kami. Ritual atau ibadah dia lain sikit, tak seperti yang biasa saya lihat. Di bilik dia, dalam rumah kami, kami benarkan dia mengamalkan kepercayaannya. Tiada halangan daripada kami.
Suatu hari kami sekeluarga pergi ke tempat ibadatnya di Kuala Lumpur kerana diundang menghadiri pameran lukisan bapanya yang didatangkan khas dari Korea. Bapanya seorang pelukis di Korea dan pameran itu dianjurkan oleh persatuan aliran agama yang mereka anuti itu. Sebelum acara bermula saya merayau-rayau di ruang legar pusat ibadat itu. Saya takjub melihat poster, risalah dan bahan-bahan pameran yang disediakan di meja dan ditampal di dinding ruang legar di situ berkisarkan tentang bahan nuklear. Ini kerana minggu tersebut minggu kesedaran tentang bahaya senjata nuklear.
Para pengamal ajaran mereka nampaknya diberi pendedahan berkenaan perkara tersebut. Fikir saya, “Eh! Eh! Kalau di masjid atau di surau ada hal-hal sebegini bagus juga, kan?” Maksud saya tidak semestinyalah bab nuklear tetapi pencerahan tentang hal-hal dunia yang sebenarnya tidak dapat tidak, wajar diambil tahu kerana ia melibatkan kehidupan harian kita semua.
Maksud agama (ad-din) ialah cara hidup (the way of life), bermakna apa yang kita amalkan dalam hidup itulah agama. Kepentingan menuntut ilmu diletakkan sebagai fardhu ke atas muslimin dan muslimat tidak kira ilmu dunia mahupun akhirat (tholabul’ilmi faridhatun ala kulli muslimin wa muslimatin) tetapi dalam masyarakat kita ada yang memahami bahawa hal-hal dunia dan akhirat itu berbeza.
Tidak boleh bercakap hal dunia di dalam surau dan masjid, tegur seorang kawan kepada saya ketika sedang berbual bersama beberapa orang teman suatu ketika dahulu. Aikkk? Hal dunia yang dimaksudkan tu awak faham bagaimana?
Saya bukan bercerita tentang kahwin cerai artis atau kisah rampas-merampas dan sondol-menyondol pempengaruh media sosial. Kami sedang bercerita tentang hal-hal kehidupan. Apa perihal hidup yang tidak ada kena-mengena dengan dunia dan akhirat, soal saya? Dia terkerenyin. Inilah masalah pemahaman orang kita yang menuntut saya berleter di sini setiap minggu.
Sesekali saya ada juga ke masjid atau surau apabila malam itu ada kuliah atau ceramah oleh ustaz-ustaz. Ikut tajuklah. Tetapi kebanyakan tajuknya selalu berkisar tentang diri kita sendiri yang beribadah kepada Tuhan. Kita diajar tentang apa kita perlu buat kepada Tuhan. Tentang dosa, pahala, syurga, dan neraka sahaja. Kemudian jemaah yang bertanya kepada ustaz selalunya berkisar “ustaz apakah hukumnya kalau…”. Itulah! Hukum, hukum, dan hukum sahaja. Saya tidak kata ia salah tetapi saya mahukan ‘rasa’ yang lebih daripada itu supaya apa yang dibuat itu harus datang dari hati nurani yang ikhlas bersandarkan keikhsanan, bukan kerana dicekik dengan hukum-hakam.
Katakanlah suatu hari di masjid ada ceramah agama oleh ustaz dengan tajuk ‘Pemakanan yang baik menurut Islam’ di mana ustaz mengupas firman serta hadis berkenaan makanan dan minuman yang baik untuk kesihatan tubuh, jiwa, dan hati manusia. Saya mahu datang dan saya mesti datang.
“Takkanlah hal makan-makan pun nak dikuliahkan di masjid. Hal makan-makan ini hal dunia,” tempelak kawan saya. Tetapi dalam al-Quran ada disebut tentang makan-minum tahu? Saya jawab sambil memetik hadith Rasulullah yang menyarankan makanan itu hanya 1/3 sahaja dalam perut, sepertiga lagi air, dan sepertiga lagi untuk nafas. Saya juga mengemukakan teori seorang ahli perubatan Arab yang silam, Al Harith Abi Kaladah bahawa perut lubuk penyakit seseorang. Sebab itu saya kata saya akan hadir jika kuliah maghrib, ustaz mampu mengupas ilmu perubatan karangan tokoh-tokoh silam Islam sambil menyampaikan kesedaran kepada jemaah bahawa pemakanan yang betul menunya, jadualnya boleh menjadikan seseorang itu sihat jiwa, emosi, rohani, dan intelektualnya.
Tubuh badan yang kurang zat akibat pemakanan yang tidak sihat akan mempengaruhi bukan sahaja kesihatan fizikal tetapi juga mental dan kerohanian. Kekurangan zat dikatakan boleh membawa kepada kemunculan gejala-gejala yang dikaitkan dengan kemurungan dan masalah emosi. Ia disebabkan makanan tidak betul, bukannya kerana saka atau hantu syaitan. Periksa menu makanan kita dahulu.
Ilmu agama itu menyeluruh sifatnya tidak hanya perihal beribadah untuk Tuhan sahaja yang mana saya tidak sedikitpun membantah akan hal ini tetapi harus juga masyarakat kita menimba ilmu di masjid dan surau dengan pengetahuan keduniaan agar pemahaman kita semua sama ada duniawi begitu jugalah ukhrawi itu seimbang. Takkan kita sehingga hari ini masih tidak mampu menterjemahkan apa maksud “haiya alal falah” dalam azan dan juga pengertian “innasolati wanusuki, wamahyaya wamamati lillahi rabbil alamin” yang kita baca hari-hari?
Apakah ada beza sekadar baca dengan berbuat apa yang diperkatakan?
Saya berharap kuliah maghrib di surau dan masjid mampu meningkat lagi pengisiannya supaya tidak pula penceramah merungut pak cik-pak cik yang mengikuti kuliahnya tersengguk-sengguk menahan kantuk, dan ada juga yang terlentok bersandar di dinding dengan liur meleleh. Boringlah! Jenaka pun asyik tentang kahwin dua aja! Mengekeh-ngekeh dia sendiri yang terhibur dengan lawaknya. Maaf jika saya membebel lagi! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2023/12/kuliah-maghrib-surau-boringlah.html