Kritik Feminis Dalam Filem Dan Sastera
TULISAN ini pada keseluruhannya adalah petikan daripada tesis Siti Raihani Mohamed Saaid: Skrip Filem Terpilih P.Ramlee: Suatu Bacaan Kritik Feminis, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 2016.
Pengenalan kepada Feminisme,
Feminisme , ialah aliran yang menyokong kuat hak asasi dan emansipasi atau pembebasan Wanita berdasarkan kepercayaan bahawa wanita menderita dan terkongkong kerana kejadiannya sebagai wanita. Keadaan ini amat menyedihkan kerana sebagai manusia, wanita juga memerlukan ruang untuk bergerak bebas dalam masyarakat dan wanita juga turut menyumbang kepada perkembangan negara. Hal ini boleh dirujuk kepada Mitchel (1971:65) dan Rosnah Baharudin dalam Zalila Sharif (2003:12).
Menurut Tuttle, L. (1986:107), feminisme berasal daripada bahasa Latin, femina iaitu wanita. Aliran Feminisme bermula di Barat sejak abad ke-18 tetapi mula merebak ke merata pelosok dunia sejak tahun 1960-an dan 1970-an. Pada peringkat awalnya, feminisme merupakan gerakan atau fahaman yang menuntut kesamarataan seperti yang dinikmati oleh kaum lelaki. Feminisme melihat wanita sebagai golongan manusia yang tertekan dan dizalimi oleh institusi sosial dan budaya yang semuanya dibina dan diperintah oleh lelaki. Pemerintahan ini digelar patriarki. Berdasarkan teori-teori yang tersendiri, feminisme membongkar dan menganalisis ketidakadilan dalam sistem patriarki, mengajukan critique dan memeranginya, di samping memperjuangkan hak dan martabat wanita untuk hidup bebas dan bahagia (Md.Salleh Yaapar dalam Zalila Sharif, 2003: 4-5).
Sistem patriarki secara umumnya ditafsirkan sebagai satu sistem di mana lelaki berkuasa. Dalam masyarakat patriaki, lelaki berkuasa ke atas institusi institusi sosial, politik dan ekonomi yang menindas kaum wanita. Humm (1989:159) menyimpulkan patriaki sebagai “a system of male authority which oppresses women through its social, political and economical instituitions’’. Millet, Beechay & Rowbotham (1989:159) pula mentakrifkan patriarki sebagai “male domination and the power relationships by which men dominate women’’. Petikan ini membawa maksud lelaki mendominasi dan mengawal semua kehidupan wanita. Di Asia, seorang ayah mengawal dan mengatur kehidupan semua ahli keluarga, berkuasa ke atas harta benda dan mempunyai kata pemutus dalam setiap perkara. Keadaan ini digambarkan oleh Kamla Bhasin dan Nighat Said Khan sebagai “a social system where the father controls all members of family, all property and other economic resoures, all makes all major decisions’’ (1986: 9). Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawa patriarki membawa maksud segala nilai, adat, kepercayaan dan peraturan dalam pelbagai aspek kehidupan yang dirangka oleh lelaki dan dilihat sebagai melebihkan lelaki serta menindas kaum wanita.
Dominasi dan kecenderungan patriarki turut mempengaruhi bidang kritikan sastera dan filem sehingga Kritik Feminis muncul sebagai satu cabang disiplin dalam ilmu kritikan sastera dan filem untuk mengimbangkan teori dan amalan kritikan yang bersifat patriarki. Kritikan ini bermula dengan kesedaran betapa peranan wanita sebagai pengarang tenggelam dalam tradisi penguasaan lelaki. Kebangkitan feminisme semakin mendapat tumpuan kerana kesedaran terhadap tindakan prejudis kaum lelaki yang menjadikan karya sastera sebagai wadah untuk menaburkan pengalaman yang tidak menepati jiwa dan perasaan wanita. Bahkan kedudukan wanita juga sering disalahtafsirkan. Teori ini cuba membantah, membongkar, dan menentang segala kezaliman patriarki dengan memperjuangkan hak, kedudukan, martabat dengan memperkasakan ideologi kuasa feminis untuk sebuah dunia yang sejahtera , bahagia dan bermaruah (Humm,1989: 112-113)
Pengarang terkemuka ialah Elaine Showalter. Showalter berpendapat bahawa dengan membaca karya-karya pengarang lelaki, pembaca tidak dapat mengetahui perasaan wanita yang sebenarnya. Wanitalah yang lebih mengetahui tentang diri mereka. Hasil tulisan kaum lelaki biasanya menampilkan stereotaip wanita sebagai isteri dan ibu yang setia dan berbakti, wanita manja, pelacur dan wanita dominan. Sedangkan pada hakikatnya wanita memiliki perasaan-perasaan yang sangat peribadi seperti penderitaan, kekecewaan atau rasa tidak aman yang dapat diungkap secara tepat oleh wanita, seperti kenyataan berikut:
If we study the stereotype of women, the sexism of male critic and the limited roles women play literary history, we are not learning what women have felt and experienced, but only what men have thought women should be.
(Showalter, 1987:238).
Showalter menjelaskan tentang Kritik Feminis:
It is concerned with the feminist as reader,and it offers feminist readings of texts which considers the images and stereotypes of women in literature, the omissions and misconceptions about women in criticism, and woman-as-sign-in in semiotic systems.
(1987:234).
Kehadiran pengkritik feminis dalam bidang sastera adalah untuk membetulkan persepsi lelaki yang sering menganggap wanita sebagai objek atau simbol dalam karya-karya mereka. Dalam membahaskan takrif dan konsep “kritik feminis’ yang disebutkan oleh Showalter, Mary Ellmann dalam Thinking About Women (1968) membincangkan pemikiran tentang wanita oleh kebanyakan pengarang lelaki dan mengkritik penampilan ciri-ciri stereotaip tersebut serta tanggapan stereotaip mereka terhadap wanita. Showalter berpendapat bahawa kebiasaannya pengarang lelaki akan melukiskan watak wanita dengan sifat-sifat yang stereotaip itu boleh disimpulkan sebagai Formless, Passive, Unstable, Confined, Pious, Materialistic, Spiritual, Irrational, Compliant, The Witch dan The Shrew ( Ellmann dalam Moi (1985:34).
Ciri-ciri stereotaip yang lazimnya ditemui di dalam karya-karya pengarang lelaki telah disenaraikan seperti di bawah. Sifat-sifat itu bolehlah diterjemah dan diperjelaskan seperti berikut:
Formless - Dari segi terjemahan literal, formless ialah “tidak berbentuk”. Hal ini merujuk kepada pengertian bahawa watak wanita mempunyai sifat, pemikiran dan pendirian yang tidak menentu atau tidak jelas.
2. Unstable - Unstable bererti tidak stabil atau tidak tetap pendirian. Sifat ini merujuk kepada watak wanita yang tidak kukuh, tidak berprinsip dan mudah berubah fikiran. Keadaan unstable ini juga adalah akibat dari sifat wanita yang mudah dipengaruhi oleh orang lain. Mereka mudah berubah mengikut arus. Oleh hal yang demikian wanita tidak boleh diharap untuk mengendalikan sesuatu urusan penting. Mereka tidak boleh diharap untuk berfikir dan bertindak di dalam sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan ramai. Justeru wanita tidak diberikan tanggungjawab yang penting di dalam segala hal. Tanggungjawab atau peranan penting diserahkan kepada lelaki.
3. Passive - Passive atau tidak aktif merujuk kepada perlukisan watak wanita sebagai tidak memainkan peranan penting dalam mengawal situasi dan seterusnya menggerakkan cerita. Hal ini terjadi kerana sifat mereka yang lebih banyak berserah kepada lelaki dan mengharap kepada orang lain untuk membuat keputusan. Oleh itu dalam kebanyakan karya sastera, watak lelaki lebih mendominasi keadaan dan pergerakan jalan cerita.
4. Confined - Confined merujuk kepada tidak berfikiran terbuka. Perkara ini berkaitan dengan sifat wanita yang ditunjukkan sebagai tidak menerima perubahan di sekelilingnya. Sifat ini juga berpunca daripada perasaan takut untuk keluar dari zon selesa atau tidak bersedia untuk menghadapi risiko. Oleh yang demikian, confined juga boleh disifatkan sebagai kolot sedangkan kemajuan dan permodenan dikaitkan dengan kesediaan menerima perubahan. Mereka yang memiliki sifat ini tidak akan maju.
5. Pious - Pious atau warak merujuk kepada kecenderungan untuk menyerahkan segala-galanya kepada takdir dan hanya menerima keadaan yang terjadi tanpa berusaha untuk melawan. Perkara ini juga membawa maksud watak wanita adalah lemah dan tidak boleh berusaha sendiri dalam menghadapi sesuatu situasi. Mereka hanya berserah kepada apa yang ditentukan oleh takdir. Sifat atau ciri ini mempunyai kaitan dengan ciri ke-4 dan menjadi faktor watak wanita kurang bertindak untuk mengawal keadaan.
6. Materialistic – Materialistik merujuk kepada sifat wanita yang mementingkan kebendaan. Hal ini boleh diertikan sebagai tidak berfikiran tinggi dan jauh dari memikirkan hal-hal yang intelektual. Sebagai contoh, terdapat watak ibu-ibu yang mementingkan kebendaan semata-mata sehingga memaksa anak gadis berkahwin dengan orang yang berharta kerana orang seperti ini dianggap boleh menjamin kebahagiaan.
7. Spritual - Spiritual merujuk kepada perlukisan watak wanita yang sering berpaut kepada hal-hal spiritual dan bukan kenyataan. Contohnya, watak wanita yang lebih mempercayai ramalan dan amalan perbomohan dalam mengambil sesuatu tindakan. Wanita dengan ciri sebegini menggunakan amalan spiritual untuk mencapai sesuatu yang dikehendakinya, terutama dalam hal yang berkaitan rumahtangga.
8. Irrational - Irrational merujuk kepada sifat wanita sering melakukan perkara-perkara yang tidak rasional dan tidak munasabah. Perkara-perkara tersebut dilakukan untuk mencapai matlamat mereka atau terpaksa dilakukan untuk memenuhi keperluan lelaki.
9. Compliant - Compliant merujuk kepada ciri watak wanita yang sering digambarkan sebagai compliant atau bersedia mengikut telunjuk orang lain. Hal ini adalah satu kelemahan yang menyebabkan wanita tidak dapat diharap atau diminta pertolongannya.
10. Shrew - Shrew merujuk kepada perlukisan watak wanita yang kuat berleter, sering merungut dan cepat marah. Perwatakan seperti ini sering terdapat pada isteri-isteri atau ibu yang pemarah.
11. Witch - Witch adalah sifat keras hati dan suka menyakiti orang lain. Perwatakan ini ditonjolkan, misalnya melalui wanita penghibur, yang tergamak merampas suami orang dan meruntuhkan rumahtangga orang lain.
Siti Raihani Mohamed Saaid seterusnya melakukan analisis ke atas skrip-skrip filem P. Ramlee dengan mengambil kira ciri-ciri stereotaip watak- watak yang digariskan oleh Mary Ellman tersebut. . Beliau memperlihatkan bagaimana P.Ramlee sebagai karyawan lelaki membina watak-watak wanita dalam filem-filemnya, khasnya adakah P.Ramlee juga turut membina watak-watak wanita yang memiliki sifat-sifat stereotaip tersebut. .
Siti Raihani merumuskan bahawa P. Ramlee telah menggunakan skrip filemnya sebagai wadah untuk menyuarakan beberapa pandangan terhadap penindasan yang dialami oleh wanita. P. Ramlee mengangkat wanita-wanita dalam filemnya ke satu tahap yang lebih positif. Filem-filem bergenre komedi telah menyerlahkan kekuatan watak wanita dalam mengharungi isu dan persoalan masyarakat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://zurinahhassan.blogspot.com/2021/06/kritik-feminis-dalam-filem-dan-sastera.html