Kpt Pertahan Kursus Pendidikan Di Ipta
Program pendidikan tidak bertujuan melahirkan guru semata-mata, sebaliknya menyediakan graduan dengan set kemahiran yang boleh dimanfaatkan di pelbagai sektor.
Kajian Pengesanan Graduan menunjukkan graduan pendidikan memiliki kadar kebolehpasaran yang baik, kata Menteri Zambry Abdul Kadir.PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan penawaran kursus pendidikan di universiti awam masih relevan meskipun graduan tidak menjadi pendidik
Menteri Zambry Abdul Kadir berkata program pendidikan tidak bertujuan melahirkan guru semata-mata, sebaliknya menyediakan graduan dengan set kemahiran yang boleh dimanfaatkan di pelbagai sektor.
“Graduan pendidikan dilatih dengan pelbagai kemahiran insaniah, pedagogi, teknologi pendidikan, komunikasi, kepimpinan dan penyelidikan yang relevan dengan pelbagai sektor lain.
“Oleh itu, mereka berpotensi menyumbang bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di sektor swasta, industri latihan, kaunseling, pengurusan sumber manusia, pembangunan komuniti dan sektor kerajaan yang lain,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Zambry menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) berhubung rasional penawaran kursus pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekiranya graduan tidak diberikan keutamaan untuk berkhidmat sebagai pendidik.
Menurutnya, ia akan menjurus kepada pembaziran sumber negara dan menjejaskan kebolehpasaran graduan, pada masa sama sekolah-sekolah awam masih berdepan kekurangan guru dalam beberapa bidang kritikal.
Zambry berkata, isu pelantikan guru bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) dan bergantung kepada unjuran tahunan, opsyen kritikal serta kemampuan fiskal kerajaan.
Namun, graduan pendidikan daripada IPTA masih boleh memohon melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) seperti calon lain.
Berkaitan kebolehpasaran graduan, Zambry memaklumkan Kajian Pengesanan Graduan menunjukkan graduan pendidikan memiliki kadar kebolehpasaran yang baik, sama ada dalam bidang keguruan mahupun bidang alternatif.
“IPTA juga menambahbaik program melalui integrasi ‘micro-credential’, latihan industri, kemahiran digital, serta kemahiran abad ke-21 bagi memastikan mereka relevan dan kompetitif,” katanya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/12/kpt-pertahan-kursus-pendidikan-di-ipta.html