Kos Perubatan Di Malaysia Perlukah Rakyat Bayar
Dr Aman Ramdzan dan Dr Mohd Ihsanuddin Abas 40 peratus pendapatan  untuk OOP lebih had maksima ditetapkan WHO

KERAJAAN Malaysia sangat komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik sejak dari kemerdekaan negara 62 tahun yang lalu
Ia terbukti dengan peningkatan kadar kelahiran dan penurunan kadar kematian, selain peningkatan jangka hayat disebabkan kemajuan kemudahan kesihatan dan capaian yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia
Secara umumnya, ia dicapai melalui  perkhidmatan kesihatan awam yang percuma (bersubsidi) daripada kerajaan  bermula dari bayi dalam kandungan sehingga kepada warga emas
Namun begitu, dengan 4.6 peratus daripada  bajet tahunan yang diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia  (KKM), kerajaan akan menghadapi kesukaran untuk memastikan perkhidmatan  bersubsidi akan dapat terus diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia  untuk tahun-tahun mendatang
Ini terbukti dengan laporan audit yang menunjukkan perkhidmatan kesihatan semakin tenat dengan kekangan staf dan kemudahan fasiliti untuk menampung jumlah pesakit yang bertambah saban tahun
Akibatnya, kakitangan perubatan dan kesihatan di klinik-klinik dan hospital-hospital kerajaan akan
mengalami tekanan kerja yang tinggi seterusnya boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kekangan kewangan ini seperti kos
kesihatan yang semakin meningkat, populasi penduduk yang semakin bertambah, teknologi-
teknologi perubatan yang semakin maju dan permintaan untuk kualiti perkhidmatan yang
semakin meningkat dari pelanggan atau pesakit
Kesemua ini pastinya akan memberi kesan kepada perkhidmatan kesihatan subsidi penuh yang ditanggung kerajaan kini
Populasi Malaysia kini mencecah 33 juta  orang telah meningkatkan jumlah perbelanjaan kesihatan awam meningkat  daripada RM9 billion setahun pada 1997 kepada RM23 billion pada 2014.  Jumlah keseluruhan perbelanjaan dalam sektor awam dan swasta telah mencapai lebih RM50 billion setahun
Peningkatan ini telah menjadi beban  kepada sektor awam kerana kadar penggunaan fasiliti kesihatan awam  adalah lebih tinggi iaitu 2.2 juta (78 peratus) kemasukan ke wad  hospital kerajaan berbanding 750,000 di hospital swasta pada tahun 2008.  Jumlah katil hospital kerajaan juga adalah lebih tinggi iaitu 74%  berbanding hospital swasta
Pada masa sama, perbelanjaan di sektor  swasta adalah lebih tinggi dan untuk meningkatkan keupayaan fasiliti dan  kualiti perkhidmatan mereka sedangkan perbelanjaan di sektor kerajaan  kekal mengikut bajet semasa
Ia pastinya akan ada kekangan di sektor awam untuk meningkatkan kemudahan fasiliti dan teknologi serta penambahan kakitangan kesihatan untuk memastikan kesinambungan kualiti perkhidmatan yang baik
Maka timbul isu kekangan hospital dari  sudut bajet, kakitangan dan kemudahan fasiliti yang ditimbulkan oleh  Ketua Pengarah KKM Dato Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini.  Persoalannya sejauh manakah kerajaan masih boleh mampu menanggung  subsidi kesihatan kepada rakyat
Maka, tidak hairanlah jika kita melihat  kadar perbelanjaan sendiri atau Out of Pocket Payment (OOP) rakyat  semakin meningkat di sektor swasta
Kajian menunjukkan rakyat Malaysia  berbelanja sendiri (OOP) sehingga 40 peratus daripada pendapatan yang  merupakan had maksima yang ditetapkan oleh World Health Organisation  (WHO)
Ini terbukti apabila statistik  menunjukkan perbelanjaan di sektor swasta telah meningkat dari RM5  bilion pada tahun 1997 kepada RM 20 billon pada tahun 2014, yang  kebanyakannya adalah daripada OOP rakyat Malaysia. Meskipun trend  pengambilan insurans perubatan atau takaful
perubatan meningkat, namun kebanyakannya hanya menanggung kos perubatan sekiranya
dimasukkan ke dalam wad
Perbelanjaan kesihatan di klinik pesakit luar dan pakar swasta masih menggunakan duit poket atau simpanan para pesakit
Sesetengah pesakit yang bekerja di sektor  swasta mungkin mendapat manfaat daripada insurans syarikat  masing-masing, namun mereka akan mula terkesan dengan kos perubatan  apabila berhenti kerja atau setelah pencen
Dasar kerajaan menggalakkan perkembangan  sektor swasta adalah untuk menampung beban sektor awam yang meningkat.  Dan pada masa sama, menggalakkan rakyat berpendapatan menengah dan  tinggi untuk berpindah ke sektor swasta
Namun begitu, bentuk pembiayaan dan  pembayaran di sektor swasta hendaklah diperhatikan dengan teliti agar  rakyat tidak menanggung beban kewangan yang besar dari sudut  perbelanjaan sendiri (OOP) mahupun bayaran premium insurans kesihatan  yang tinggi
Pengenalan insurans MySalam oleh KKM pada  awal tahun ini untuk membantu golongan B40 telah menimbulkan tanda  tanya akan hala tuju pembiayaan kos perubatan di Malaysia
Adakah kerajaan akan mula mengenakan caj  di fasiliti kerajaan dan adakah Malaysia akan berubah kepada penggunaan  insurans sepenuhnya untuk menampung kos perubatan oleh kerajaan?  Sekiranya ia berlaku apakah bentuk insurans yang sesuai dengan rakyat  Malaysia yang akan diperkenalkan oleh kerajaan pada masa akan datang
Rakyat mungkin masih lagi selesa dengan  caj RM1 di fasiliti kerajaan namun sekiranya keadaan berubah adakah  rakyat sudah bersedia
*Dr Aman Ramdzan dan Dr Mohd Ihsanuddin Abas
Unit Kesihatan Awam, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/08/kos-perubatan-di-malaysia-perlukah.html