Korbannya Barisan Hadapan Kerana Celaka Sang Pemabuk
Athirah Huda Zalhe Nilai semula hukuman pemandu mabuk, tuntut syarikat arak tanggungjawab     

        BANGI – Jika satu nyawa diragut akibat wabak pandemik COVID-19 sangat  bermakna buat negara, bagaimana pula dengan mereka yang menjadi korban  kerana pemandu mabuk?
Demikian  kekesalan yang diluahkan Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA),  Hazwan Mohamad susulan satu lagi laporan kemalangan yang mengorbankan  anggota polis awal pagi ini, akibat dilanggar pemandu mabuk.
Beliau berkata, insiden seumpama ini bukanlah pertama kali berlaku, bahkan sudah beratus nyawa sudah hilang akibat isu sama.
“Geram  baca berita seorang anggota polis maut dilanggar pemandu mabuk semalam.  Ironinya, ini bukan kali pertama. Kata PM, satu nyawa diragut wabak  COVID-19 amat bermakna buat negara.
“Bagaimana  pula dengan nyawa yang diragut pemandu mabuk? Kita yang baca sakit  hati, apalah perasaan keluarga yang menanggung,” katanya.
Beliau  menegaskan, sudah tiba masanya hukuman ke atas pemandu mabuk dinilai  semula, selain menuntut industri arak supaya turut bertanggungjawab.
“Sudahlah  berkorban siang malam sebagai barisan hadapan, hadiahnya sekujur tubuh  dibawa pulang ke pangkuan keluarga hanya dek kerana celakanya sang  pemabuk,” katanya.
Terdahulu,  seorang anggota polis maut dirempuh dan dihempap sebuah pacuan empat  roda ketika sedang bertugas dalam sekatan jalan raya Ops COVID-19  susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal pagi ini.
Dalam  kejadian jam 3 pagi tadi, mangsa, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang  juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dirempuh berhampiran  Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Selangor.
Kemalangan menyebabkan mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak maut serta merta di lokasi kejadian.
Difahamkan  mangsa dirempuh pacuan empat roda model Toyota Hilux dipandu seorang  lelaki tempatan berusia 44 tahun dipercayai dalam keadaan mabuk.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/korbannya-barisan-hadapan-kerana-celaka.html