Kkm Kpm Bincang Tarikh Buka Sekolah Esok
Bernama
Kementerian  Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian  Pelajaran (KPM) esok, berhubung tarikh pembukaan sekolah dalam tempoh  Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Ketua Pengarah  Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun sektor  pendidikan akan dibuka dahulu untuk pelajar Tingkatan 5 dan 6.
"Esok  ada mesyuarat dengan KPM, mungkin akan bincang tarikh yang sesuai untuk  pelaksanaannya. Kalau kita tetapkan esok (tarikh untuk mula  persekolahan), jangka masanya adalah dua minggu untuk ibu bapa membuat  persiapan untuk (pelajar) kembali ke sekolah.
"Kita  akan mula dengan Tingkatan 5 dan 6, sebelum kita buka kepada  pelajar-pelajar sekolah (yang lain). Ini ialah perancangan kita, tetapi  kita akan berbincang dengan lebih mendalam esok dalam mesyuarat bersama  dengan KPM," katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan  COVID-19 di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham  berkata KKM turut bercadang untuk memanjangkan masa perkhidmatan Klinik  Kesihatan kepada dua syif bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan  pengamalan penjarakan sosial dalam kalangan pesakit.
"Kita juga  akan lihat langkah-langkah lain dalam penjarakan sosial seperti  melaksanakan sistem janji temu, sebab kita perlu elak kesesakan di ruang  menunggu," katanya.
Dr Noor Hisham berkata KKM juga akan  mengembangkan konsep klinik maya dan juga pertimbangkan untuk menawarkan  perkhidmatan kesihatan  ke komuniti seperti komuniti Orang Asli dan  rumah. 
"Kita telah laksanakan perkhidmatan kesihatan ke rumah  untuk ibu hamil dan anak, sekarang kita sedang pertimbangkan jika  perkhidmatan ini boleh dipanjangkan kepada pesakit strok dan pesakit  yang tidak dapat hadir ke hospital kerana kekangan pengangkutan, "  katanya.
Ditanya mengenai kebenaran suami untuk menjaga isteri di  bilik bersalin, katanya ia bergantung pada dasar hospital masing-masing.  
"Ada hospital membenarkan, ada yang tidak, kalau ruang cukup mungkin akan dibenarkan," katanya.
Mengulas  mengenai satu kes COVID-19 di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di  Likas, Sabah melibatkan  bayi perempuan lapan bulan, beliau berkata kes  itu dikesan sebelum menjalani pembedahan dan bayi itu menunjukkan  gejala.
"Bagi setiap kes yang dikesan positif, pihak kami akan  saring ahli keluarga dan (siasat) pernah terdedah pada siapa. Siasatan  (punca jangkitan) sedang dijalankan," katanya.  
Satu lagi kes  positif direkodkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil pula  melibatkan seorang pegawai imigresen bantuan yang tidak menunjukkan  gejala, katanya.- Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/kkm-kpm-bincang-tarikh-buka-sekolah-esok.html