Kita Memang Patut Mati
Bayangkan kalau kita tak mati-mati, apa akan jadi? tanya saya kepada seorang kawan.
Kalau tidak ada kematian penuh sesaklah dunia ini. Adanya mati sebab adanya hidup, jawab Mat Plato, lagak seorang ahli falsafah.
Tapi bagaimana kalau hanya kita seorang sahaja tak mati-mati ketika semua manusia yang lainnya menemui ajal seperti biasa? asak saya lagi membuatkan kawan saya, Mat Plato terdiam sejenak.
Memang dalam menjalani hidup beragama, kita sering diingatkan tentang kematian. Kematian sering digambarkan sebagai penempuhan yang cukup menakutkan. Sakitnya tak terbayangkan sebab agama-agama samawi mengajar kita bahawa mati itu sakit, dan selepas mati ada lagi satu kehidupan yang dinamakan keabadian. Di sana, kehidupan selepas mati adalah kehidupan yang kita jalani hasil daripada amalan dan pekerjaan kita sewaktu hidup di muka bumi ini. Jika baik semasa di sini maka baiklah kehidupan abadi kita. Jika buruk, tersiksalah kita selama-lamanya di alam abadi.
Proses ketika kematian singgah di muka kita digambarkan dengan cukup menakutkan lagi menyakitkan. Bagaimanapun, sehingga kini kita secara peribadi memang tidak tahu apakah kematian benar-benar menyakitkan rasanya tetapi atas anutan kita terhadap sesebuah agama itu maka kita meyakininya dan mengimaninya sebagai benar. Dikeranakan itu kita menjadi takut menghadapi mati akibat gambaran tersebut. Kita juga takut nasib kita pada hari kemudian lebih teruk daripada hidup ketika di dunia.
Jadi, bayangkan bagaimana kalau tiba-tiba hanya kita seorang sahaja yang terhenti pergerakan usia kita pada hari ini. Wajah kita, tubuh kita kekal seperti usia hari ini, tak tua-tua manakala orang lain berjalan macam biasa? Seronok atau menakutkan? ulang saya lagi.
Fuh! Kau menakutkan akulah, kata Mat Plato. Wajahnya berubah. Nampaknya kita hendak atau tak hendak, kita mesti kena mati juga.
Hah? saya tercengang.Sebab tak mati-mati lebih menakutkan! jerit Mat Plato sambil meletakkan tapak tangannya di dada. Kelihatan dia seperti ‘overreact'”. Aneh juga respons dia terhadap persoalan yang saya lontarkan. Kita bukan bicara ikut sudut pandang agama tetapi kita guna akal liar kita berilusi tentang keadaan ini.
Sebab sepanjang usia kita sejak kecil sehinggalah tua, kita akan menempuh beberapa zaman. Zaman bergerak seiring usia kita dan semakin usia kita panjang semakin kita tidak sesuai dengan zaman semasa. katanya.
Ini dalam konteks hanya kita seorang sahaja yang ‘immortal’ ya? saya mengingatkan.
Itulah maksud aku, jawab dia pendek.
Kau ingat filem Highlander dulu? Haa…macam tulah. Tak tersiksakah diri kalau tak tua-tua sedangkan keluarga, sanak-saudara, kawan rapat semuanya satu demi satu mati? Anak-anak kita menjadi tua dan mati, cucu-cicit kita potong usia kita dan mati. Berapa banyak kehilangan berlaku dalam hidup kita. Tak merana? Mat Plato membayangkannya bersungguh-sungguh.
Isteri kita mati, kita cari pengganti. Mati lagi isteri kita yang kedua itu dan kita bercinta lagi, mati lagi. Sakit wo! Berapa kali kita harus tempuh putus cinta dan bercerai mati? Siksa, Ron. Seksa!
Betul juga. Jatuh cinta memang sakit. Kalau beratus kali putus cinta harus sakit jiwa kita dibuatnya. Untuk tidak kecewa, lebih baik kita jangan bercinta. Jangan ada menaruh perasaan untuk mencari kekasih.
Lagi tak boleh hidup seorang diri, Ron. Bak kata orang Negeri Sembilan, ‘meghasai’ badan. Walaupun kita isi hidup kita dengan ‘enjoy’ tapi kita tetap sunyi sewaktu nak tidur. Tak boleh tahan!
Paling tak larat bila dengar lagu dan muzik, Ron. Kau boleh dengar lagu-lagu zaman sekarang? tanya Mat Plato.
Aku rasa aku dah tak tonton Anugerah Juara Lagu hampir 20 tahun, jawab saya.
Hah! Mat Plato menepuk kuat bahu saya. Itu baru 20 tahun. Macamana kau nak hadap Anugerah Juara Lagu yang ke100?
Kami berdua tertawa besar sambil menggeleng-gelengkan kepala. Lagu apa nak kami dengar? Irama apa yang sesuai dengan selera kami yang sudah beratus tahun hidup? Waktu itu ia bukan lagi layar TV, telefon pintar, internet dan media sosial yang menguasai dunia tetapi entah apalah bentuk gajet dan media, tak mampu kita jangkau. Mungkin makin canggih atau mungkin putarannya kembali macam zaman purba sebab kemusnahan juga berlaku. Ya, manusia perlukan hiburan pastilah akan tetap ada wayang, muzik dan lagu, fesyen dan budaya tapi bagaimana rupanya? Dan jika zaman medsos ini kita pun naik pening dengan idealisme aliran agama yang berbagai, yang sering berlaga fahaman sehingga berpecah-belah, apa akan jadi lagi pada zaman akan datang? Mampukah kita menanggungnya di kepala kita?
Dunia makin panas. Bukit-bukau depan rumah kita dulu ada, masa budak-budak kita dah masuk ke dalam hutannya. Tapi hari ini bukit itu sudah rata, sudah jadi taman perumahan. Akan datang bagaimana? Apa jadi kepada bukit dan gunung yang lain? Kita dah tak macam generasi zaman itu yang lahir-lahir sahaja sudah biasa dengan suhu waktu itu. Kitalah yang susah.
Kenikmatan peribadi kita pun terganggu. Kita akan jadi perhatian umum sebab usia kita sampai cecah lebih satu abad manakala usia warga dunia waktu itu makin lama makin pendek dek kerana dihinggapi penyakit kesan daripada kualiti makanan yang makin ‘disegerakan’. Orang cari kita dan mahu tahu kisah sebenar peristiwa-peristiwa yang berlaku beratus tahun dahulu yang sudah jadi sejarah. Seksa!
Nak tak nak, suka tak suka, berani tak berani kita memang patut kena mati, Ron, akui Mat Plato. Sebab itu tuhan bagi kita mati selepas kita dibagi hidup, Ron. Supaya kita tidak hadap lagi kehidupan yang berpaksikan ‘waktu’ kerana waktu bergerak. Bila waktu bergerak, hidup dan kehidupan pun bergerak dan berubah. Kita kena mati untuk pinda kepada kehidupan yang tak diikat dengan waktu.
Dan memang kita kena anut sebuah kepercayaan agar semasa hidup ini kita tak serabut dan masa mati pun kita tenang. Jika benarlah kita percaya adanya kehidupan abadi sesudah mati, biarlah di situ nanti kita bahagia tak ada lagi sakit, serabut, sedih, takut dan kecewa seperti sewaktu kita hidup di sini.
Panjang kata-kata Mat Plato. Dia bercakap sambil merenung ke langit. Jauh juga renungannya. Bukan tujuan saya untuk takut-takutkan dia dengan kematian. Rupanya, bagi sesetengah manusia kisah sakitnya saat malaikat maut mencabut nyawa tidak berupaya menangkap imaginasi tetapi apabila dibayangkan dengan kehilangan nikmat dan kebahagiaan itu rupanya merupakan sebuah punat yang mampu membuat orang macam Mat Plato tersentak dan terbuka luas mata fikirnya. Wallahuaklam bissawab. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/07/kita-memang-patut-mati.html