Kita Jangan Hipokrit Bab Us Ni
Norman Daud
Sebelum ni Saya tak nak ulas tentang kedatangan Trump ke Malaysia, walaupun ada yang DM saya minta pandangan saya tempoh hari. Terus terang, saya sendiri pun bukan peminat Donald Trump dan saya tak suka dia datang sini. Saya masih ingat masa pertama kali nampak muka dia dalam rancangan TV The Apprentice sekitar tahun 2004 atau 2005 , masa tu saya ingat dia ni sekadar pelakon atau personaliti hiburan. Tapi daripada rancangan tu pun dah boleh nampak karekter sebenar dia .. ego tinggi, lantang, tapi tegas bila buat keputusan.


Cuma bila kita bercakap tentang politik global, kita kena pandang lebih luas. Tak kira siapa pun yang duduk di Rumah Putih, dia tetap akan jadi penyokong kuat kepada Israel. Sebelum ini, Presiden Obama yang pernah buat lawatan ke negara kita pada tahun 2014 pun penyokong tegar Israel. Zaman Obama, Amerika menyalurkan bantuan ketenteraan bernilai USD38 bilion kepada Israel, jumlah terbesar dalam sejarah. Dan anehnya, masa tu tak ada pula yang marah-marah. Malah ramai yang memuji kononnya Obama lebih “mesra dunia Islam” dan ada darah Indonesia katanya.
Kita perlu sedar bahawa dalam hubungan antarabangsa, emosi semata-mata tak boleh jadi panduan. Kita boleh marah dan tidak bersetuju dengan dasar Amerika yang jelas menzalimi rakyat Palestin, tapi sebagai sebuah negara, Malaysia mesti bertindak berdasarkan realiti dan strategi. Hubungan diplomatik bukan soal suka atau benci, tapi soal kepentingan nasional iaitu ekonomi, keselamatan, kestabilan serantau dan kedudukan geopolitik kita.
Presiden Amerika datang dan pergi.. Reagan, Bush, Clinton, Obama, Trump, Biden tapi dasar mereka terhadap Israel tak pernah berubah. Semua tetap tunduk kepada pengaruh dan kepentingan Zionis. Obama yang digambarkan sebagai “pemimpin berjiwa rakyat” itulah juga yang paling banyak meluluskan serangan dron yang membunuh ribuan nyawa tidak berdosa di Asia Barat.
Trump pula walaupun terkenal dengan sikap angkuh dan mulut celupar, dia sebenarnya kurang cenderung kepada peperangan. Dia lebih memilih tekanan ekonomi berbanding peluru. Ketika Israel mendesak supaya Amerika menyerang Iran, Trump tidak melayan. Malah di bawah pentadbirannya, usaha damai antara Israel dan Hamas digerakkan dengan lebih bersungguh.
Jadi, siapa pun presiden Amerika, jangan pernah terlalu berharap mereka akan berpihak kepada Palestin. Amerika tetap akan menyokong Israel, itu hakikat yang tak akan berubah.
Malaysia pula mesti kekal dengan pendirian yang jelas menyokong Palestin atas dasar kemanusiaan dan keadilan sejagat, tetapi dalam masa yang sama bertindak secara strategik demi mempertahankan kepentingan negara sendiri. Kita tidak tunduk kepada kuasa besar, tetapi kita juga tidak boleh bertindak bodoh dengan memutuskan semua hubungan hanya kerana sentimen.
Prinsipnya mudah, kita berpihak kepada kebenaran, tapi tetap berpijak di bumi nyata. Malaysia mesti kekal teguh menyokong Palestin, namun pada masa yang sama bijak memastikan kestabilan ekonomi, keselamatan dan pengaruh geopolitik kita tidak tergugat.
Sokongan saya tetap kepada rakyat Palestin. Kezaliman Israel tetap kezaliman. Tapi saya juga percaya bahawa mempertahankan kepentingan Malaysia adalah satu bentuk jihad yang sama penting kerana tanpa kekuatan dan kestabilan negara sendiri, kita tak akan mampu membantu sesiapa pun, termasuk Palestin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/10/kita-jangan-hipokrit-bab-us-ni.html