Kisah Raja Yang Kerajaannya Melangkaui Timur Barat
Dahulu kala ada seorang manusia yang digelar Zulkarnain yang diberi oleh Allah ilmu yang banyak, besar kerajaannya, kekayaannya sangat banyak dan tamadun serta teknologi yang sangat canggih.
Diperselisihkan makamnya oleh para ulama’ sama ada dia seorang Nabi atau seorang Wali Allah. Dia seorang yang mendapat ilham dari Allah dan Raja yang beriman.
Apabila beliau keluar mengembara melihat dunia, akan dibawa bersamanya tentera yang sangat banyak dan kuat, juga dibawa bersamanya teknologi, juga dibawa bersamanya ahli-ahli ilmu yang pakar dalam pelbagai bidang, serta dibawa bersamanya harta kekayaan.
Apabila dia pergi ke suatu negeri, akan didakwah kepada penduduk negeri itu akan Islam. Jika mereka menerima, maka itu baik buat mereka. Dan jika negeri itu tidak mahu menerima dan mengajaknya berperang, pasti negeri itu akan kalah. Setiap peperangan yang dihadapinya Allah telah berikan kemenangan kepadanya.
Dikisahkan beliau keluar dari kerajaannya lalu menuju ke arah barat, di suatu negeri tempat terbenamnya matahari. Di sana punya penduduk yang kufur dan ingkar, lalu diperangi mereka dan penduduk negeri itu kalah. Maka saki baki penduduk diberi pilihan sama ada masuk Islam atau dibunuh. Jika mereka beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka sebaik-baik balasan di akhirat. Jika dibunuh, maka akan kesal mereka di akhirat kerana siksaan neraka sangat pedih.
Zulkarnain dan rombongan tentera serta tamadunnya seterusnya menuju ke timur menggunakan jalan lain, di negeri matahari terbit. Di sana didapati penduduk negeri itu tidak punya sebarang perlindungan bagi mereka, tiada rumah dibina, tiada bukit atau gua tempat berteduh, mereka hanya tinggal di kawasan lapang yang luas mengikut keluarga masing-masing.
Didakwah mereka kepada Islam lalu mereka menerimanya. Dan diajar kepada mereka membina rumah dan tempat tinggal serta ilmu-ilmu yang boleh digunakan bagi memperbaiki hidup yang lebih baik dari sebelumnya.
Kemudian beliau bersama rombongannya berpatah balik dari timur melalui jalan lain, kemudian mereka tiba di suatu tempat antara dua gunung yang besar. Di sana beliau dapati ada suatu kaum yang hampir tidak difahami perkataan mereka. Melalui ahli ilmu bahasa, Zulkarnain mendakwah mereka kepada Islam dan mereka menerimanya.
Kemudian penduduk tersebut mengadu masalah mereka, yakni terdapat suatu kaum digelar Yakjuj dan Makjuj yang tinggal di kawasan pergunungan tersebut. Apabila Yakjuj dan Makjuj keluar ke kawasan itu, maka mereka akan berbuat kerosakan di sana sini. Maka ditawarkan oleh penduduk di situ kepada Zulkarnain akan harta mereka sebagai bayaran supaya Zulkarnain membuat sebuah benteng antara Yakjuj dan Makjuj dan mereka.
Zulkarnain tidak menerima bayaran tersebut dan mengatakan bahawa kekuasaan dan kekayaan yang Allah anugerahkan kepadanya sudah cukup bagi membantu penduduk tersebut. Namun dia memohon agar penduduk di situ membantunya dengan tenaga agar dapat mendirikan tembok kukuh tersebut.
Lalu diminta mereka membawa ketul-ketul besi untuk disusun setinggi puncak gunung, lalu diminta menyalakan api agar besi tersebut menyala merah. Kemudian beliau meminta mereka membawa kepadanya tembaga yang dicairkan untuk dituang dari atas gunung tersebut bagi mengasilkan tembok yang sangat kuat apabila ia sejuk.
Sungguh tidak dapat dibayangkan akan teknologi yang mampu mengeluarkan ketul-ketul besi dari bumi dan mendirikannya setinggi gunung, yang mana tebal tembok yang dibuat hanya Allah dan mereka sahaja yang tahu. Tidak dapat dibayangkan juga bagaimana teknologi memanaskan ketul-ketul besi setinggi gunung sehingga merah menyala. Pasti kepanasan membara di kawasan tersebut. Dan tidak dapat dibayangkan berapa banyak tembaga yang perlu dicairkan, kemudian dibawa ke atas gunung untuk dituangkan antara dua gunung tersebut. Dan tidak dapat dibayangkan apakah tiada penentangan dari Yakjuj dan Makjuj yang ganas itu ketika mereka sedang membina tembok tersebut.
Yakjuj dan Makjuj tidak dapat memanjat atau menebuk tembok tersebut sehinggalah tiba suatu masa di akhir zaman di mana tembok itu akan hancur lebur dengan izin Allah.
Tidak dapat dipastikan bagaimana bentuk tembok antara dua gunung itu hingga Yakjuj dan Makjuj tidak boleh mencari jalan lain untuk keluar dari kurungan tersebut. Adakah tidak boleh memanjat gunung? Adakah tidak boleh menebuk gunung? Adakah tidak ada jalan belakang lain? Atau adakah tembok Zulkarnain itu menutupi seluruh perkampungan Yakjuj dan Makjuj hingga tiada kelihatan bagi mereka langit?
Sungguh pelbagai persoalan boleh difikir namun Allah lah yang berkuasa menjadikan sesuatu yang mustahil dan aneh itu benar-benar berlaku.
Inilah Raja yang menguasai timur hingga barat, yang besar kerajaannya hanya Allah yang tahu. Semoga di syurga kelak, kita dapat bertemu dengan Zulkarnain dan meminta dia menceritakan akan anugerah Allah yang diberikan kepadanya yang tidak sampai oleh akal kita ini.
+ Kuliyah Ustaz Wadi Annuar
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/09/kisah-raja-yang-kerajaannya-melangkaui.html