Kisah Bintang K Pop 90 An Mati Dek 28 Kesan Cucukan Ubat Bius Haiwan Kekasih Terlepas Walaupun Banyak Bukti
Walaupun dunia hiburan Korea nampak bergemerlapan tapi sebenarnya banyak perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan ramai. Bahkan terdapat beberapa kes jenayah misteri yang berlaku dan terus menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.
Salah satu daripada kes misteri ini ialah kisah pembunuhan seorang bintang K-Pop tahun 90-an yang terus menjadi sebutan sehingga ke hari ini kerana ianya gagal di bawa ke muka pengadilan kerana pelbagai perkara yang tak masuk akal.
Kim Sung-jae tempa nama sebagai penyanyi solo
Bagi peminat K-Pop zaman baru, pasti anda jarang mendengar tentang penyanyi K-Pop yang popular pada zaman 80-an ke 90-an. Dalam serumpun kumpulan idola yang terkenal ketika itu, kumpulan duo ‘Deux’ yang dianggotai oleh Lee Hyun-do dan Kim Sung-jae berjaya mencuri perhatian ramai kerana mereka membawa nafas baru kepada muzik dengan mengetengahkan elemen hip-hop. Best!
Seronok berenang dalam kepopularitian, kumpulan ini membuat keputusan untuk berpisah selepas 2 tahun bersama. Walaubagaimanapun, Lee Hyun-do dan Kim Sung-jae berjanji akan kembali semula nanti bagi memenuhi janji bersama peminat.
Kim Sung-jae kemudiannya telah membuatkan kemunculan secara solo dengan lagu “As I Told You” dan nyata percaturan itu tidak menghampakan kerana pentas pertamanya di SBS Gayo telah dibanjiri pujian oleh netizen. Tapi siapa sangka persembahan pertamanya itu juga merupakan persembahan terakhir Kim Sung-jae buat selamanya.
Ditemui terbaring dalam bilik hotel dengan penuh kesan jarum
Pada malam selepas persembahan pertamanya itu, Kim Sung-jae telah bermalam di sebuah bilik hotel sambil ditemani oleh teman wanitanya bernama Kim, pengurus dan juga sekumpulan penari latar. Walaubagaimanapun difahamkan bahawa mereka semua memasuki ke bilik masing-masing dan hanya tinggal penyanyi itu dan kekasihnya yang terus berada di ruang tamu.
Mengejutkan apabila pada keesokan paginya, Kim Sung-jae ditemui mati dengan 28 kesan cucukan pada lengan kanannya. Laporan toksik yang dikeluarkan juga nyata membuatkan semua keliru kerana didapati bahawa badannya dipenuhi dengan pelbagai bahan kimia seperti ubat bius dan euthanasia untuk haiwan.
Disyaki terlebih mengambil dadah
Selepas penemuan bahan toksik tersebut, ramai yang mengesyaki Kim Sung-jae maut kerana mengambil dadah dalam dos berlebihan. Namun dakwaan itu ditolak oleh ibu kandungya kerana lelaki itu dikatakan menghubunginya dengan gembira ketika membawa perkhabaran mengenai persembahan solo pertamanya.
Bahkan teori itu tidak boleh digunapakai kerana penyanyi itu mempunyai tangan kanan yang dominan lantas adalah mustahil dia yang mencucuk sendiri lengan kanannya. Secara logiknya, sudah pasti dia akan mencucuk lengan kirinya kan?
Teman wanita, seorang pelajar perubatan suspek utama
Setelah mengambil kira segala petunjuk, kesemuanya menunding kepada teman wanita Kim Sung-jae pada ketika itu iaitu Kim sebagai pelakunya. Hal ini kerana wanita itu merupakan seorang pelajar perubatan lantas dia pasti sangat arif dengan anatomi tubuh manusia.
Bahkan pada malam itu, kali terakhir Kim Sung-jae dilihat adalah bersama Kim di ruang tamu hotel tersebut. Salah seorang penari latar yang turut berada berdekatan tempat kejadian menyatakan bahawa dia terdengar bunyi mesin basuh pada malam tersebut dan apabila dia menjengah ke luar bilik, dia dapat melihat Kim sedang melakukan sesuatu.
Lebih menggusarkan apabila seorang ahli farmasi mendedahkan bahawa Kim ada membeli ubat perangsang haiwan daripadanya dan mengatakan bahawa ia adalah untuk anjing peliharaannya. Semakin meragukan kerana Kim meminta ahli farmasi itu supaya merahsiakan hal tersebut.
Nak tahu tak apa lagi yang mengejutkan, Kim dikhabarkan telah cuba memberikan ‘duit kopi’ kepada pihak polis supaya mereka tidak menjalankan pemeriksaan pada mayat Kim Sung-jae. Pelik!
Kim sangat obsesif dengan Kim Sung-jae
Daripada sumber kenalan rapat dan peminat Kim Sung-jae sendiri, Kim adalah seorang yang sangat obsesif dengan teman lelakinya itu. Setiap kali ada peminat yang cuba mendekati penyanyi tersebut, sudah pasti Kim akan menghalang mereka.
Malahan wanita itu juga dikatakan pernah mengikat Kim Sung-jae pada kaki katil supaya dia tidak dapat menghadiri pertemuan untuk menandatangani kontrak berkaitan kerja seninya. Kim juga dikhabarkan pernah menembak teman lelakinya itu dengan pistol gas, hairan sungguh.
Sikap obsesif wanita ini dibuktikan lagi apabila dia sering menghubungi teman rapat Kim Sung-jae bagi mengetahui keberadaannya. Sampaikan ketika penyanyi itu berada di Amerika Syarikat, Kim meghubunginya berpuluh kali sehingga dia terpaksa menutup telefon bimbitnya. Ada yang kata lelaki itu ada bermain cinta semasa berada di luar negara dan perkara itu mungkin telah menyebabkan Kim semakin marah.
Kim dibebaskan pada perbicaraan ketiga
Atas kesemua bukti yang dikemukakan oleh pihak polis, Kim dijatuhkan hukuman mati selepas dituduh membunuh Kim Sung-jae. Walaubagaimanapun wanita itu berterusan mengatakan bahawa dia tidak bersalah semasa berada di dalam tahanan. Ketika perbicaraan kedua pula, hukumannya diringankan kepada penjara seumur hidup.
Tapi semuanya berubah apabila Kim dibebaskan dengan alasan tidak cukup bukti pada perbicaraan ketiga. Apa? Dengan secara tiba-tiba, kesemua saksi menukar kenyataan termasuklah ahli farmasi dengan mengatakan bahawa mereka tidak mengingati apa-apa melibatkan Kim.
Menerusi syak wasangka orang ramai, Kim berjaya meloloskan diri daripada tuduhan tersebut kerana keluarganya yang kaya dan mempunyai pengaruh dalam dunia politik. Selepas sahaja insiden tersebut, Kim didedahkan telah mengubah namanya malah mendapatkan pembedahan muka secara keseluruhannya dan kini hidup dengan identiti baru sebagai doktor yang kaya.
Sebuah dokumentari penyiasatan mengenai Kim Sung-jae juga telah beberapa kali dihalang daripada ditayangkan atas tindakan undang-undang daripada Kim sendiri. Jelas mahkamah, isi kandungan tayangan itu mungkin menyebabkan salah faham kepada wanita itu dan secara tak lansgung menundung jari kepadanya.
Kes pembunuhan Kim Sung-jae ini bakal ditutup pada September akan datang dan semua masih lagi menangisi ketidakadilan kepada kematian mendiang.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://kimchidaily.my/kisah-bintang-k-pop-90-an-mati-dek-28-kesan-cucukan-ubat-bius-haiwan-kekasih-terlepas-walaupun-banyak-bukti/