Khasiat Bunga Telang Untuk Kesihatan Dalaman Dan Luaran
Sekiranya anda merupakan peminat tegar nasi kerabu, anda pasti sudah mengenali bunga telang.
Bunga berwarna biru dengan nama saintifik Clitoria ternatea ini rupanya bukan sekadar berfungsi sebagai pewarna semulajadi semata-mata. Rupanya, ia mengandungi pelbagai manfaat untuk kesihatan tubuh.
Khasiat Bunga Telang Untuk Kesihatan Dalaman dan Luaran
1. Bantu Mengawal Paras Gula Dalam Darah
Siapa sangka yang bunga telang mampu membantu penghidap diabetes mengawal kandungan gula dalam darah?
Berdasarkan sebuah jurnal, ekstrak bunga telang dan daunnya mampu merendahkan paras glukosa dalam darah serta meningkatkan penghasilan insulin secara berkesan.
2. Baik Untuk Kesihatan Mata
Sekiranya anda mengalami masalah berkaitan mata seperti penglihatan sedikit kabur atau mata kering, anda bolehlah amalkan teh bunga telang.
Ternyata, daun bunga telang mengandungi pelbagai khasiat untuk yang baik untuk penglihatan antaranya alkaloid, flavonoi, oksalat dan saponin.
Sebuah kajian turut membuktikan bahawa ekstrak bunga telang berpotensi untuk mengubati jangkitan mata dan mencegah penyakit konjunktivitis.
3. Untuk Kecantikan Kulit
Khasiat bunga telang untuk kesihatan wajah sudah dikenali sejak dahulu lagi. Oleh sebab itulah ia menjadi antara petua yang orang dahulu sering amalkan untuk kekal jelita.
Bunga ini padat dengan khasiat antioksida dan vitamin A, C dan E untuk kecantikan kulit dan dapat melindungi kulit daripada bakteria, alahan dan keradangan.
4. Memulihkan Masalah Insomnia
Tidur yang tidak berkualiti boleh menjejaskan produktiviti serta aktiviti seseorang pada keesokan hari.
Antara khasiat bunga telang yang jarang diperkatakan adalah manfaatnya untuk atasi masalah sukar tidur atau insomnia.
Bunga telang didapati mampu merangsang penghasilan dopamine yang boleh meredakan tekanan dan sekaligus menjadikan tidur lebih lena pada malam hari.
Ia juga sesuai untuk diminum sebelum tidur kerana bebas kafein.
5. Menyihatkan Organ Dalaman Wanita
Bunga telang telah menjadi ramuan tradisional turun temurun bagi para wanita yang mengalami masalah haid tidak teratur dan ketidaksuburan.
Memetik Journal of Traditional dan Complimentary Medicine, penggunaan bunga telang didapati berkesan dalam mengatasi masalah kesihatan dalam wanita seperti kitaran haid tidak teratur dan masalah keputihan.
6. Antikanser
Rantaian peptida dalam bunga telang merupakan satu bahan aktif yang dapat menembusi membran sel kanser dan sekaligus menghalang pertumbuhannya.
Sebuah kajian juga mendapati bunga berwarna biru ini mengandungi sebatian taraxerol, iaitu komponen antikanser yang turut berfungsi sebagai antiradang.
7. Baik Untuk Kesihatan Rambut
Bunga telang memiliki warna biru terang kerana kandungan antosianin yang tinggi. Tidak hanya memberi warna, malah antosianin turut merangsang pertumbuhan rambut secara sihat.
Ia dipercayai mampu menyuburkan folikel rambut, melebatkan rambut serta mampu mengatasi masalah keguguran rambut.
Tidak hairanlah mengapa bunga telang sering digunakan sebagai ramuan penting dalam produk penjagaan rambut seperti syampu dan pelembap.
8. Merangsang Sel-Sel Otak
Beberapa kajian daripada haiwan mendapati bunga telang dapat meningkatkan kadar asetilkolin, iaitu sejenis neutrotransmitter bagi merangsang hubungan sel-sel otak.
Asetilkolin ini juga penting dalam menguatkan memori serta daya ingatan seseorang.
Kekurangan asetilkolin ini pula sering dikaitkan dengan masalah nyanyuk terutamanya dalam kalangan orang lanjut usia.
9. Melancarkan Sistem Penghadaman
Teh bunga telang juga sering menjadi pilihan bagi yang sering alami masalah penghadaman.
Kandungan antibakteria yang terkandung dalam bunga ini didapati dapat membantu mengatasi masalah pencernaan.
Rupanya, terdapat pelbagai khasiat bunga telang untuk kesihatan tubuh. Ia bukan sekadar berfungsi sebagai pewarna semulajadi, malah ia baik untuk diamalkan bagi mengatasi pelbagai masalah kesihatan seperti ketidaksuburan wanita, keguguran rambut dan insomnia.
Meskipun sesetengah penemuan hanya berdasarkan kajian ke atas haiwan, namun potensinya dilihat cukup besar dan bermanfaat untuk tingkatkan kesihatan manusia.
Meskipun begitu, sekiranya anda menghidap penyakit seperti diabetis dan darah tinggi, anda perlulah tetap mengamalkan ubat yang telah diberikan oleh doktor.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan mampu memberi gambaran ringkas mengenai khasiat bunga telang terhadap kesihatan.
Sumber : The Diagnosa
Baca Juga : Tembikai (Watermelon) : Khasiat Buah & Simbol Solidariti Palestin
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/khasiat-bunga-telang/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=khasiat-bunga-telang