Khairy Masih Berseronok
“Dalam tempoh lima tahun, kita akan terus berada di sofa ini,” kata Khairy Jamaluddin kepada rakan pengacara Keluar Sekejap (KS), Shahril Hamdan, di penghujung episod ke-48 audio siar itu pada pertengahan Mac 2023, disusuli derai ketawa kedua-duanya. “Saya tak rasa benda ni sekejap, selama-lamanya atau lama,” kata Shahril pula.
KS yang dinamakan mengikut singkatan nama kedua-duanya diuar-uarkan sebagai ‘Keluar Sekejap’ sebagai bayangan gandingan serasi itu sekadar mengambil ‘cuti sabatikal’ dan bukan bercadang untuk dibersarakan terus. Baru hampir dua tahun selepas seloroh berkenaan dan keadaan belum berubah — kedua-duanya masih terus mengendalikan audio siar itu sebagai satu-satunya platform untuk mereka kekal relevan dalam politik tanah air.
Kenapa lima tahun? Satu, bekas menteri kesihatan itu tidak mahu terburu-buru menetapkan garis masa untuknya kembali ke politik arus perdana. Dua, mungkin selepas itu angin perubahan dalam Umno akan meluangkan persekitaran lebih kondusif untuk kepulangannya ke parti itu dan akan lebih dialu-alukan semula.
Tiada siapa yang lebih tahu pertimbangannya melainkan dirinya sendiri di sebalik pelbagai cadangan yang dilontarkan ke arahnya. Boleh dibayangkan Khairy tersengih dan berseronok dengan komen-komen seperti itu pada ketika diketahui bahawa pendirian dan idealismenya sudah terang lagi bersuluh.
Selepas tewas pada PRU15 pada 19 November 2022 — Khairy dalam pertandingan tujuh penjuru di Sungai Buloh yang dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala Shahril tewas perebutan empat penjuru di Alor Gajah kepada calon Amanah, masing-masing dengan majoriti tipis — kedua-duanya nampak ‘selesa’ memainkan peranan semak dan imbang di luar Dewan Rakyat di mana mereka tidak terikat dengan peraturan mesyuarat.
Lebih daripada kebanyakan wakil rakyat terpilih, Khairy dan Shahril tidak berhenti-henti mengulas isu semasa — baik tempatan mahupun antarabangsa — saban minggu dengan pendirian tidak partisan, termasuk menegur dan melontarkan cadangan kepada kerajaan Madani dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Umno, khususnya, tidak lari daripada tumpuan mereka — tidak terkecuali presidennya Ahmad Zahid Hamidi — hingga bukan menghairankan kedua-duanya yang disingkir Umno pada 27 Januari 2023 — Khairy dipecat sambil Shahril digantung enam tahun atas alasan melanggar disiplin parti — dianggap masih menaruh dendam.
Membuat pengakuan menolak semua tawaran untuk menyertai parti lain dan peluang bertanding PRN kerana berasakan dirinya masih ahli Umno — “Saya tak keluar daripada Umno, saya kena pecat” — Khairy pada 6 Dis lalu menegaskan tidak mahu kembali ke parti itu hanya untuk menjadi ‘pak turut’.
Kepulangan ke Umno, katanya, sesuatu yang boleh dibincangkan sekiranya parti itu boleh menerima beliau dan idealismenya untuk ‘Umno yang lebih baik’.
Mengulas respons positif Zahid mengenai kesediaan Umno menerima beliau kembali sebagai menyusuli langkah bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, yang ditarik balik penggantungan enam tahunnya pada 24 Nov lalu, Khairy berkata: “Jika saya diterima kembali untuk jadi pak turut saja, saya fikir tidak perlulah.”
“Sudah tentu saya akan patuh kepada disiplin parti sekiranya saya kembali tetapi idealisme saya untuk melihat Umno yang berubah, Umno yang lebih baik, Umno yang lebih relevan, Umno yang lebih segar, Umno yang lebih berintegriti, saya tidak boleh korban idealisme itu.”
Tapi itu cerita dua setengah bulan lalu kerana ada yang dah berubah sejak itu. Jika disetujui seminggu dalam politik adalah satu tempoh panjang, maka dalam dua setengah bulan macam-macam boleh berlaku.
Zahid pada Ahad lalu berkata mereka yang ‘keluar sekejap’, keluar selama-lamanya pun tak apa sambil menekankan tidak guna jika Umno mempunyai ahli paling ramai tetapi menjadi ‘buih di lautan’.
“Jika ada gunting dalam lipatan, ada kaduk naik junjung saya fikir orang ini tidak diperlukan. Biarlah sedikit ahli Umno tetapi mereka adalah yang taat setia kepada parti,” katanya dalam program audio siar TV3 tanpa merujuk khusus kepada Khairy.
Sehari sebelum itu, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata Khairy mempunyai dua pilihan realistik — bentuk parti sendiri atau bertanding sebagai calon bebas.
“Jika beliau tidak mahu dua pilihan berkenaan, masuk PAS sahaja. Beliau pastinya akan menang, kemudian boleh masuk Parlimen (jika dipilih wakil rakyat) dan cari jalan bina dukungan untuk menjadi perdana menteri — bukan sekarang ini, tapi lebih kurang 10 tahun lagi,” katanya dalam audio siarnya.
Penganalisis pula tidak bersetuju dengan pandangan itu. Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata Khairy akan mengkhianati prinsip perjuangannya jika menyertai PAS sambil Asrul Hadi Abdullah Sani dari firma penasihat strategik ADA Asia Tenggara berpendapat beliau tidak perlu terlalu awal mengumumkan hala tuju politiknya dan membuka dirinya kepada serangan peribadi dan kempen fitnah.
Sukar rasanya untuk membayangkan Khairy sanggup mencontohi Annuar Musa dan Shahidan Kassim yang turut dipecat Umno menukar songkok kepada kopiah putih.
Lagipun, tambah Asrul Hadi, Khairy boleh sibukkan diri dengan pelbagai perkara dengan audio siarnya dan kemunculan di stesen radio untuk mempamerkan dirinya dan pandangan politiknya.
Barangkali perkongsian Khairy dengan Malaysiakini pada 22 Mac 2024 bahawa beliau gembira menikmati laluan hidupnya yang baru sebagai seorang selebriti selain mengakui dirinya sudah ‘rosak’ kerana perwatakannya yang dikatakan berubah 180 darjah sejak menyertai Hot FM, masih lagi relevan.
“Ya rosak, memang sudah rosak. Apa saya boleh katakan adalah saya memang enjoy dengan kerjaya saya sekarang,” katanya ketika itu sambil menambah hatinya belum tergerak untuknya kembali aktif dalam dunia politik.
Sebelum ini pun, beliau bukannya tiada pilihan jika tercari-cari parti untuk tempatnya bernaung. Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pernah menawarkannya jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) andai bekas Ahli Parlimen Rembau itu memutuskan menyertai partinya tetapi beliau menyatakan perlukan masa memberi kata putus.
Tanpa sebarang kata putus hingga kini, harus benar Khairy mahu berseronok-seronok dahulu tanpa sesiapa boleh memaksa apa-apa ke atasnya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/02/khairy-masih-berseronok.html