Ketenangan Hidup Dalam Melakukan Aktiviti Di Dunia
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
khutbah harini bercerita mengenai Al Quran dan bagaimana Al Quran itu antara perkara yang sangat penting dalam kehidupan orang islam. Ianya bukan sekadar panduan agama, tetapi panduan untuk kita hidup bahagia di dunia dan juga di akhirat.
Suatu ketika dahulu, aku mencari ketenangan dengan cara-cara yang biasa-biasa, bukan dengan kaedah yang sebenar sebagai umat islam ini. Maksudnya tenang bila makan, tenang bila tonton filem, tenang ketika bercuti dan seumpamanya.
Namun selepas aku dengar banyak ceramah dan perkongsian berkaitan ilmu Al Quran ini, aku mula sedar, ketenangan yang cuba gapai selama ini hanyalah bersifat sementara, andai aku ada masalah besar ketika itu, ianya hanya untuk membuatkan aku lupa sejenak masalah tersebut.
Ketenangan abadi dalam kehidupan
Ketenangan abadi dalam kehidupan di dunia ini hanya akan dapat kita capai, apabila kita sentiasa ingat kepada Allah. Sedar dan tahu Allah itu sentiasa bersama kita, kita banyakkan sujud kepadanya.
Walaupun hati kita ada ketika akan gundah gulana, resah gelisah, ianya akan dapat diubati dengan kembali kepada Allah. Mengadu kepadaNya, memohon kepadaNya, ini adalah perkara yang akan membuatkan kita merasa lebih tenang. Ketenangan yang tidak dapat dicapai di tempat lain atau cara lain.
Hari ini, ramai yang tertekan dengan kehidupan disebabkan terlalu memikirkan perkara yang kita tidak ada, bukan memikirkan perkara yang kita telah terima. Nikmati yang Allah kurniakan itu sebenarnya terlalu banyak untuk kita syukuri setiap masa.
Semakin kita membandingkan diri kita dengan individu atau orang lain yang mempunyai perkara yang kita tak ada, semakin kita akan merasa tertekan. Tanpa sedar kita tidak bersyukur dengan kurniaan Allah yang kita nampak seakan tidak hebat, tetapi sangat berguna untuk kehidupan kita.
Hidup di dunia bukan untuk orang lain
Ramai hari ini menjalani kehidupan di dunia ini untuk mendapat pujian, mendapat penghargaan daripada orang lain. Sehinggakan sampai satu tahap mereka bersungguh-sungguh melakukan impian dan cita-cita orang lain, bukan apa yang kita sendiri inginkan.
Aku juga pernah melalui situasi ini, berhempas pulas, hanya untuk membuatkan orang lain tersenyum. Andai orang lain itu adalah keluarga kita sendiri tak menjadi masalah, tapi jika mereka hanyalah orang asing (baca: bukan keluarga) yang singgah sementara dalam kehidupan kita.
Usahlah kita terlalu ingin mendapatkan “approval” daripada mereka. Kita akan letih dan ketengan hidup itu akan hilang disebabkan melakukan apa yang orang lain mahukan, bukan apa yang kita mahukan.
Pesanan khutbah tadi, kita kena belajar Al Quran, belajar baca, belajar untuk fahami, belajar untuk amalkan, belajar untuk ajarkan kepada orang lain dan belajar untuk menjadi panduan kehidupan. Aku sekarang ni tengah nak ambil kelas belajar Al Quran agar dapat perbaiki kemahiran sedia ada, kemudian nak sambung kelas menghafal Al Quran pula.
Semoga dipermudahkan segalanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.eizil.com/ketenangan-hidup-dalam-melakukan-aktiviti-di-dunia/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=ketenangan-hidup-dalam-melakukan-aktiviti-di-dunia