Kesilapan Penggunaan Kad Kredit Yang Ramai Orang Buat


Kad kredit boleh jadi alat kewangan yang sangat berguna jika ianya digunakan dengan bijak dan berstrategi.
 
Tapi, ramai yang terjebak dalam perangkap hutang kerana tersilap langkah.
Kenapa agaknya ya?
 
Adakah sebab mereka tidak memiliki ilmu berkaitan pengurusan hutang kad kredit yang baik?
Atau sebab mereka sebenarnya berpendapatan rendah dan tak mampu untuk menampung gaya hidup mewah tanpa bergantung pada hutang?
 
Dalam artikel ini, kita akan bincangkan kesilapan yang biasa dilakukan oleh pengguna berkaitan kad kredit.

Kita juga akan sentuh serba sedikit, cara untuk elakkan kesilapan tersebut. 
 
Selain dari itu, saya juga ada masukkan beberapa cadangan penyelesaian jika anda sudah pun tersilap langkah dan telah melakukan kesilapan yang kita bakal bincangkan.
 
 
Tanpa melengahkan masa, mari kita perhatikan apakah antara kesilapan yang berkaitan dengan kad kredit yang biasa dilakukan oleh pengguna diluar sana.

 
1. Hanya Bayar Amaun Minimum Tahukah anda, bahawa hutang kad kredit anda akan mengambil masa yang sangat lama untuk diselesaikan sekiranya anda hanya membayar amaun minimum yang ditetapkan oleh pihak bank setiap bulan.
 
Sekali imbas, bayar jumlah minimum untuk komitmen hutang kad kredit ini nampak seperti cara mudah untuk memenuhi tanggungjawab, tapi sebenarnya ia adalah antara kesilapan besar yang biasa dilakukan oleh pengguna kad kredit.
 
Untuk memberikan gambaran kepada anda, cuba bayangkan situasi dibawah.
 
Jika anda berhutang sebanyak RM3,000 menerusi kad kredit, dan anda hanya membayar amaun minimum setiap bulan, anda memerlukan sekurang-kurangnya 4 tahun 8 bulan (atau bersamaan dengan 56 bulan) untuk anda langsaikan hutang-hutang tersebut!
 
Biar saya jelaskan.
 
Kebanyakan bank menetapkan bayaran minimum bulanan sebanyak 5% daripada jumlah baki hutang atau minimum RM50, mana-mana yang lebih tinggi.
Kadar faedah tahunan (Annual Percentage Rate – APR) kad kredit pula biasanya sekitar 18% setahun, atau 1.5% sebulan.
 
Hutang awal: RM3,000
Kadar faedah bulanan: 1.5%
Bayaran minimum bulanan: 5% daripada baki hutang
 
Simulasi bayaran balik hutang untuk bulan pertama
Faedah (Interest) = 1.5% x RM3,000 = RM45
Bayaran minimum (5%) = RM150
Jumlah yang anda bayar = RM150
Daripada RM150 yang anda bayar tu, bukannya seratus peratus digunakan untuk bayar hutang pokok tau.
 
Sebaliknya, hanya RM105 sahaja yang digunakan untuk bayar hutang, manakala bakinya yang RM45 tadi tu adalah untuk bayaran interest kepada bank.
 
Selepas anda buat bayaran hutang kad kredit, baki hutang yang anda bawa ke bulan seterusnya adalah sebanyak RM2,895
 
Simulasi bayaran hutang bulan kedua
Bulan kedua, kita bermula dengan baki hutang baru, iaitu sebanyak RM2,895
Interest = 1.5% x RM2,895 = RM43.43
Bayaran Minimum = RM144.75
Bayar hutang pokok = RM101.32 (RM144.75 – RM43.43)
 
Selepas bulan kedua, baki baru yang dibawa kebulan seterusnya ialah sebanyak RM2,793.68
 
Bagi memudahkan penerangan, jom lihat jadual dibawah.

Jadual diatas ini menunjukkan simulasi bayaran yang anda lakukan dari bulan pertama hingga ke bulan ke 10.
 
Daripada jumlah yang anda bayar, (bayaran minimum) anda boleh lihat bagaimana ianya dibahagikan kepada bayar hutang pokok dengan bayar interest kepada bank.
 
Manakala yang dibawah ini pula adalah untuk 10 bulan yang terakhir.

Kalau anda hanya buat bayaran minimum, seperti yang diminta oleh pihak bank, anda memang akan dapati jumlah yang perlu anda bayar balik semakin berkurangan pada setiap bulan.
 
Tetapi jumlah yang anda perlu bayar untuk interest, tetap sama tinggi iaitu sebanyak 1.5%
 
Disebabkan kita perlu bayar interest, hutang kita akan jadi lambat habis.
 
Hutang kita pada awalnya hanyalah berjumlah RM3,000 sahaja.
Tapi jumlah keseluruhan yang kita akan bayar kepada bank adalah sebanyak RM4,054.93
Interest yang kita bayar pula adalah sebanyak RM1,054.97!
 
Kalau kita ikut jadual yang diberikan, kita hanya akan betul-betul berjaya habiskan bayaran hutang hanya pada bulan yang ke-55.
 
Pengiraan diatas telah pun diringkaskan bagi tujuan memudahkan penerangan.
 
Jumlah sebenar yang anda perlu bayar boleh jadi sangat berbeza.
 
Dalam pengiraan diatas ini, kita andaikan interest (faedah) dikira ke atas baki semasa setiap bulan.
 
Tapi realitinya, bank yang mengeluarkan kad kredit mengira caj kewangan (finance charges) berdasarkan kepada
1. Tarikh transaksi sebenar
2. Tarikh penyata (statement date)
3. Bilangan hari bagi setiap transaksi yang belum dibayar – Ya bank boleh mengira interest mengikut bilangan hari hutang tersebut masih berbaki.
 
Ada transaksi yang anda perlu bayar jumlah penuh dalam tempoh masa yang ditetapkan, jika tidak anda akan kehilangan manfaat grace period, iaitu tempoh bayaran balik tanpa sebarang interest.
 
Tapi sekiranya anda telah terlepas tempoh tersebut, anda akan mula dikenakan caj pada transaksi tersebut.
 
Selain itu, kita juga andaikan bahawa
1. Anda tidak menggunakan kad kredit untuk buat transaksi baru
2. Kad kredit anda tidak mengenakan yuran tahunan
3. Anda tidak terlewat bayar
 
Bayar minimum sepatutnya hanya jadi langkah kecemasan untuk satu bulan sahaja, bukan dijadikan satu tabiat berulang.

Untuk elak masalah kewangan jangka panjang, sasarkan untuk bayar penuh atau sekurang-kurangnya bayar lebih daripada jumlah minimum setiap bulan.
 
Kalau boleh bayar penuh, bayarlah semua baki hutang.
Kalau belum mampu nak bayar penuh, sekurang-kurangnya bayarlah jumlah yang lebih besar berbanding bayaran minimum.
 
Kalau bayaran minimum ialah RM150, anda bayarlah RM200, RM250 atau RM300.
Setiap bulan bayar lebih, atau konsiten bayar RM200 walaupun jumlah bayaran minimum yang perlu bayar semakin berkurang.
 
Tujuannya adalah supaya anda boleh habiskan bayaran balik hutang kad kredit dengan lebih awal.
 
Kalau selama ini, anda hanya bayar minimum, cuba tingkatkan bayaran secara berperingkat.
Boleh mula dengan lebihkan bayaran sebanyak RM10, RM20, RM50 dan seterusnya.
 
2. Lewat Bayar Bil Kad Kredit Ada orang dia memang jenis macam ni.
 
Dia selalu terlepas pandang, tarikh akhir untuk bayar bil kad kredit.
Bukan kad kredit sahaja, kadang-kadang lain-lain bil pun dia terlewat bayar.
 
Bukannya sebab tak ada duit, tapi terlupa.
Tak ingat.
Tak perasan.
Atau macam-macam sebab lain, yang kita sendiri pun tak sangka.
 
Individu seperti ini patut berterima kasih dengan pegawai bank yang bertugas sebagai tukang beri peringatan.
 
Bagi mengelakkan perkara sama berulang, ada beberapa tindakan yang boleh dilakukan.
1. Set reminder pada smartphone untuk ingatkan tarikh akhir perlu bayar kad kredit.
2. Aktifkan bayaran automatik setiap bulan.

Andaikan minimum payment setiap bulan ialah RM150, maka anda aktifkan bayaran secara automatik sebanyak RM200 setiap bulan.
 
Andai kata anda telahpun terlewat buat bayaran, dan ini merupakan kali pertama anda terlewat, boleh cuba hubungi pihak bank untuk memohon pengecualian caj lewat.
 
Walaubagaimanapun, permohonan seperti ini adalah subject to approval.
 
Pihak bank mungkin akan pertimbangkan permohonan anda, sekiranya ini adalah betul-betul kesilapan kali pertama anda.
 
Kelewatan membuat bayaran kad kredit anda bukan semata-mata akan mengakibatkan anda rugi alam bentuk duit sahaja, tapi ia menjejaskan peluang untuk anda dapatkan pinjaman atau pembiayaan dengan pihak bank di masa depan, contohnya untuk membuat pinjaman rumah.
 
Semua ini disebabkan ada rekod anda pernah lewat buat bayaran balik hutang.
 
3. Guna Hingga Had Maksimum Kad Kredit Penggunaan kad kredit hingga mencecah had penggunaan maksimum mungkin nampak macam kita sedang menggunakan sepenuhnya perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh pihak bank.
 
Tapi sebenarnya, ia adalah satu kesilapan yang kita perlu elakkan.
 
Untuk kad kredit, sebaik-baiknya kita pastikan penggunaan kad tak melebihi 30% daripada had kredit yang ditawarkan.
 
Kalau had kredit kita ialah RM3,000 maka kita hanya gunakan setakat RM2,100 sahaja.
Dalam situasi ini, kita masih tinggalkan ruang sekitar 30% dari credit limit.
 
Penggunaan kredit yang tinggi, contohnya melebihi 70% atau anda gunakan 100%, memberi isyarat kepada institusi kewangan bahawa anda mungkin seorang individu yang sangat bergantung kepada hutang.
 
Skor kredit anda akan merosot, walaupun anda mungkin tak pernah lewat bayar hutang.
 
Seseorang yang dilihat terlalu bergantung kepada hutang, dilihat sebagai seorang yang berisiko tinggi, dan bank lain akan elakkan daripada memberikan pinjaman kepada anda.
 
Andai kata anda telah menggunakan hampir keseluruhan credit limit yang diberikan kepada anda, ada beberapa perkara yang anda patut lakukan.
1. Cuba buat bayaran tambahan untuk menurunkan penggunaan credit limit anda hingga ke paras 60% ke 70% sahaja.
Seterusnya, cuba maintain pada paras itu sahaja.
 
2. Cara lain adalah hubungi pihak bank, dan mohon supaya anda diberikan tambahan credit limit.
Kenaikkan had kredit ini tujuannya adalah supaya anda dapat beri ruang kepada had kredit anda.
 
Gunakan kad kredit dengan berhemah.
Idealnya, anda hanya gunakan setakat 60% atau 70% sahaja daripada had kredit yang diperuntukkan kepada anda.
 
Tujuannya bukan semata-mata untuk dapatkan skor yang bagus, tetapi ianya juga supaya anda mempunyai dana sekiranya berlaku kecemasan.
 
4. Guna Kad Kredit Untuk Belanja Harian Tanpa Kawalan Memang ada ramai diluar sana yang menggunakan kad kredit untuk membuat bayaran bagi perbelanjaan harian seperti beli barang dapur, isi minyak kenderaan, makan diluar, bayar bil utiliti dan sebagainya.
 
Semua ini tak ada masalah untuk dilakukan dan ada kelebihannya, memandangkan ada kad kredit yang menawarkan ganjaran dan juga cash back (pulangan tunai) bagi setiap transaksi yang kita lakukan.
 
Selain itu, jika anda bayar semula secara penuh, sebarang jumlah yang anda gunakan dari kad kredit anda, anda tidak dikenakan sebarang caj interest, dan ini seolah-olah anda pinjam duit dari bank secara percuma.
 
Walaubagaimanapun, terlalu bergantung kepada kad kredit untuk membuat bayaran adalah sesuatu yang berbahaya.
 
Anda boleh terjatuh ke dalam perangkap hutang.
 
Apabila semua transaksi menggunakan kad kredit, terdapat kemungkinan untuk anda berbelanja melebihi jumlah yang anda mampu bayar.
 
Dalam fikiran anda, anda mampu beli sebab anda ada kad kredit.
Tapi adakah anda mampu bayar semula?
Itu adalah persoalan yang mungkin orang terlepas pandang.
 
Bila ada had kredit yang besar, semua benda kita rasa kita boleh beli dan dapatkan sekarang.

Tau-tau, kita beli kopi mahal dan berhabis RM20 (hanya untuk kopi) setiap hari bekerja.
 
Sedangkan kita bukannya betul-betul perlukan kopi tu.
Kalau kita perlu kopi sekalipun, masih ada banyak kopi alternatif yang lebih murah harganya.
 
Tak percaya?
Tunggu bila anda dah terlebih belanja dan mula rasa tak mampu nak tanggung hutang kad kredit.
Percayalah, yang pada waktu itu, kalau anda masih perlukan kopi, anda pasti akan jumpa banyak lagi pilihan kopi yang lebih murah.
 
Pada masa tu, tiba-tiba ada banyak kopi yang anda boleh perolehi dengan harga serendah RM2.00 untuk secawan.
 
Cadangan saya, cuba semak balik tabiat belanja dan buat bajet khusus.
 
Asalkan anda berbelanja, mengikut bajet yang telah disediakan dengan lebih awal, anda tak akan rasa begitu terbeban dengan hutang kad kredit kelak.
 
Tapi ada satu perkara yang saya cukup yakin.
Realiti selalunya tak sama dengan teori.
 
Kebiasaannya, kalau dah berbelanja menggunakan kad kredit, memang cukup senang untuk terlebih berbelanja dan lari bajet.
 
Dalam konteks ini, sebenarnya bukanlah kad kredit itu yang berbahaya.
Tapi tabiat dan nafsu anda berbelanja yang bakal memberikan masalah.
 
Justeru, tabiat dan nafsu kita yang perlu dikawal.
Bukannya menyalahkan kad kredit atau cuba mencipta alasan.
 
5. Tak Ambil Tahu Kadar Faedah (APR) Pernah tak anda ambil tahu, berapa sebenarnya kadar faedah yang dikenakan keatas anda, untuk baki hutang yang masih belum habis dibayar?
 
Setiap bank atau kad, mengenakan kadar faedah yang berlainan.
 
Ada yang 15%.
Ada yang 18%.
Ada yang 15% – 18%.

Kalau kita lihat pada contoh kad kredit UOB One Card diatas, caj faedah dia ialah 15% – 18%.
 
Sebagai pengguna, kita patut tahu pada keadaan bagaimana kita akan dikenakan caj 15% dan apa yang menjadikan caj tersebut boleh naik hingga 18%.
 
Kenaikkan sebanyak 3% tu sebenarnya tinggi tau.
Sebagai contoh, jika anda berhutang RM5,000 dan kadar faedah adalah 18% setahun, anda akan dikenakan faedah sekitar RM75 sebulan.
 
Kadar faedah atau kadang-kadang istilah yang digunakan ialah caj faedah, akan menentukan berapa banyak caj yang akan dikenakan jika anda tidak membayar baki penuh setiap bulan.
 
Kalau anda tak tahu, atau memang tak pernah ambil tahu, anda mungkin terkejut dengan jumlah faedah (interest) yang perlu dibayar.
 
6. Terlalu Kerap Mohon Kad Kredit Baru Apabila anda terlalu kerap memohon kad kredit baru, tindakan ini boleh memberi kesan yang negatif kepada kesihatan kewangan dan skor kredit anda.
 
Setiap permohonan kad kredit baru, akan direkodkan dalam laporan kredit.
Bank akan buat semakan kredit, atau “credit inquiry” melalui sistem seperti CCRIS atau CTOS.
 
Jika semakan ini terlalu kerap dilakukan dalam masa singkat, ia akan muncul dalam laporan kredit anda. Secara tak langsung ia akan berikan gambaran seperti anda sangat terdesak nak dapatkan kemudahan kredit yang baru.
 
Skor kredit anda juga akan terjejas jika anda buat terlalu banyak permohonan dalam masa yang singkat. Sistem akan menandakan anda sebagai individu yang berisiko tinggi, walaupun ada kemungkinan permohonan kad kredit baru anda tidak diluluskan, atau anda tidak menggunakan kad tersebut.
 
Sistem tak tahu, apa sebenarnya situasi sebenar anda.
 
Pegawai yang membaca laporan kredit anda, akan mengandaikan yang anda berhutang dengan banyak pihak, dan anda sebenarnya tidak mempunyai kemampuan untuk mengawal perbelanjaan.
 
Tapi, ada ke orang yang suka-suka buat permohonan kad kredit baru walaupun dia sebenarnya tak perlukan kad tersebut?
Jawapannya memang ada!
 
Boleh jadi dia sebenarnya tak tahu pun benda ini bukan sesuatu yang bagus untuk dirinya.
 
Perasan kan, kadang-kadang kalau kita jalan-jalan dekat mall, akan ada promoter kad kredit yang tawarkan kita hadiah, hanya untuk daftar dan isi borang permohonan kad kredit?
 
Sesetengahnya ada yang buat muka kesian, dan minta kita simpati pada dia sebab masih belum capai kuota.
 
“Tolonglah saya encik… encik isi je borang permohonan ni. Lulus atau tak tu belakang cerita. Encik isi je borang ini, kita bagi beg travel ini percuma sahaja. Nanti bila encik dah dapat kad kredit tu, encik tak payah activate kad tu pun tak ada masalah…”
 
Saya tak pastilah sama ada anda pernah dengar skrip seperti diatas.
Tapi saya dah pernah dengar beberapa kali.
 
Kadang-kadang tu rasa kesian juga.
Rasa nak tolong!
 
7. Guna Kad Kredit Untuk Pengeluaran Tunai Jika anda menggunakan kad kredit untuk pengeluaran tunai (cash advance), tindakan ini boleh menyebabkan anda dikenakan caj dan yuran yang tinggi.
 

Bank yang berlainan, menetapkan caj faedah yang mungkin berbeza.
 
Saya akan gunakan contoh kad kredit CIMB Platinum, memandangkan saya pernah gunakan kad ini.
 
Jika anda ingin melakukan pengeluaran tunai (cash advance), berikut adalah kos yang anda perlu tanggung.
1. Caj pengeluaran tunai
Sebanyak 5% daripada jumlah pengeluaran atau minimum RM15, mana-mana yang lebih tinggi.
 
2. Kadar faedah (bunga atau interest)
Berjumlah 1.5% sebulan atau bersamaan dengan 18% setahun. Faedah ini akan mula dikira secara harian dari tarikh transaksi hingga jumlah bayaran penuh dilakukan.
 
Kalau anda keluarkan RM2,000 dari kad anda, caj pengeluaran adalah sebanyak RM100 (5% daripada RM2,000).
Selain itu, interest akan terus berjalan selagi mana anda masih belum bayar penuh amaun yang dikeluarkan tersebut.
 
Itu sebabnya kita langsung tak digalakkan untuk keluarkan duit menerusi kad kredit.
 
Tapi kalau memang tengah terdesak, apa kaedahnya?
 
CIMB ada tawarkan CIMB Cashlite.
Ia merupakan kemudahan tunai yang ditawarkan kepada pemegang kad kredit CIMB, yang membolehkan anda mendapatkan wang tunai berdasarkan kepada had kredit (credit limit) sedia ada.
 
Duit yang dikeluarkan itu nanti, anda boleh bayar semula mengikut ansuran bulanan tetap (Easy Payment Plan – EPP).
 
Pelan ini berbeza dengan pengeluaran tunai biasa (cash advance) dari segi kos, struktur pembayaran dan fleksibiliti.
Anda perlu hubungi pihak bank untuk dapatkan bantuan kewangan melalui CIMB Cashlite.
Kalau pengeluaran tunai (cash advance) anda boleh buat sendiri, tapi awas, caj pengeluaran dan interestnya sangatlah tinggi.
 
Bank lain pun ada menawarkan khidmat yang lebih kurang sama, tapi sudah tentu dikenali dengan nama yang berbeza.
 
Antaranya,
1. Maybank –  Maybank EzyCash
2. HSBC – HSBC Cash Instalment Plan
3. RHB – RHB Smart Instalment Plan
 
Kalau memang tengah terdesak dan perlukan duit segera, bolehlah pertimbangkan untuk buat pengeluaran melalui pelan seperti CIMB Cashlite, dan bukannya keluarkan sendiri duit melalui mesin ATM.
 
Cara ini, pengguna boleh dapat kadar faedah yang lebih rendah, ansuran bulanan tetap, dan tiada yuran pemprosesan.
Ia sesuai untuk mereka yang memerlukan wang tunai segera tetapi ingin mengelakkan kos tinggi yang berkaitan dengan pengeluaran tunai biasa.
 
8. Tak Semak Penyata Kad Kredit (Billing Statement) Dulu, penyata kad kredit akan dihantar dalam bentuk surat fizikal ke rumah.
Tapi berapa ramai yang akan segera buka dan semak rekod transaksi dalam penyata tersebut?
 
Pada hari ini, billing statement boleh dilihat melalui applikasi yang disediakan oleh pihak bank.
 
Ianya lebih mudah dan boleh dilakukan dalam masa kurang dari 10 saat.
Sepatutnya memang dah tak ada alasan untuk kita tidak menyemak penyata kad kredit kita.
 
Kita sebenarnya buat semakan sebab nak tengok rekod transaksi dengan teliti.
Kita nak tahu, sama ada wujud transaksi yang kita sendiri tak tahu, dari mana ia datang.
 
Kalau ada transaksi yang kita tak kenal, atau ada caj yang kita tak faham, sepatutnya kita segera laporkan kepada pihak bank.
Bukannya biarkan begitu sahaja.
 
9. Abaikan Transaksi Mencurigakan Jangan abaikan sebarang transaksi yang mencurigakan.
 
Bayangkan situasi ini.
 
Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi.
Anda penat dan mengantuk.
Kalau ikut jadual, ini dah melepasi waktu yang anda biasa tidur.
 
Baru beberapa minit anda berbaring, tiba-tiba anda menerima mesej pemberitahuan.
 
“RM1.34 telah ditolak dari kad kredit anda untuk bayaran kepada New Data ExCon”
 
Sesetengah orang, bila dia dapat mesej seperti itu, dia terus tutup phone dan sambung tidur.
 
Alah… RM1.34 sikit je tu.
Esok-esok lah baru tengok semula.
 
Pada pendapat saya, itu tindakan yang sangat berbahaya!
 
Kalau anda menerima pemberitahuan untuk transaksi yang anda sendiri tak tahu berasal dari mana, segera laporkan dengan pihak bank.
 
Kita andaikan, data mengenai kad anda sebenarnya telah berjaya dicuri oleh scammer.
 
Transaksi pertama sebenarnya hanya untuk mereka pastikan, bahawa kad tersebut berfungsi dan boleh digunakan.
 
Setelah berjaya lakukan transaksi yang pertama, scammer ini akan lakukan transaksi yang kedua dan seterusnya dengan amaun yang semakin besar.
 
Jangan tunggu sampai kad kredit anda digunakan untuk transaksi yang bernilai besar!
Kalau ini dah berlaku, urusan seterusnya sangat leceh.
 
Bank hanya boleh bantu anda dengan menyekat (block) kad tersebut.
Seterusnya , anda perlu buat laporan polis dan kemudian pihak bank akan buat siasatan lanjut, sama ada transaksi tersebut benar-benar transaksi yang tidak sah (fraud) atau tidak.
 
Kalau memang terbukti, ianya adalah fraud, barulah bank akan mengenepikan atau membatalkan transaksi tersebut.
 
Namun jika bank dapat buktikan, ianya bukannya fraud, anda mungkin terpaksa bayar balik jumlah tersebut, walau pada hakikatnya bukan anda yang melakukan transaksi tersebut.
 
Oleh itu, jika anda melihat ada transaksi yang meragukan, terus hubungi pihak bank.
 
10. Lewat Lapor Kehilangan Kad Kredit Pastikan pada setiap masa, anda tahu dimana kedudukan kad kredit anda.
 
Kalau tiba-tiba kad kredit anda hilang dari tempat yang biasa anda simpan, dan setelah anda cari anda tetap tak jumpa, lebih baik anda hubungi pihak bank dan laporkan kehilangan kad tersebut.
 
Bukan apa, kita risau ada seseorang yang “pinjam” sekejap kad anda.
 
Mungkin dia tak akan gunakan kad anda dengan serta merta, tapi dia tunggu masa yang sesuai.
 
11. Pinjamkan Kad Kredit Kepada Orang Lain Ini juga merupakan salah satu perkara “yang agak bahaya” yang kerap dilakukan oleh pengguna kad kredit diluar sana.
 
Kalau boleh janganlah pinjamkan kad kredit anda kepada orang lain.
Tak kiralah, walaupun orang tu, orang yang paling anda sayang, paling rapat ataupun keluarga anda sendiri.
 
Mungkin ada seseorang yang nak pinjam kad kredit anda untuk buat transaksi pembelian barangan tertentu.
 
Katakanlah, barang yang nak dibeli tu harganya RM1,000.
 
Persoalannya ialah, bilakah dia akan bayar semula?
Adakah dalam tempoh grace period interest free tu, dia akan buat bayaran semula?
Adakah dia akan buat bayaran penuh?
Atau adakah dia akan buat bayaran sedikit demi sedikit kepada anda?
Adakah dia akan bayar sekali dengan interest yang akan dikenakan keatas anda?
Atau anda yang kena tanggung caj-caj interest yang bakal dikenakan oleh pihak bank?
 
Hutang kad kredit ni agak rumit.
Terutama sekali buat mereka yang tak biasa dan tak tahu cara pengiraan interest.
 
Oleh itu, lebih baik jangan bagi pinjam dekat sesiapa.
Kalau anda dah pernah bagi pinjam, pastikan anda selalu semak penyata kad kredit, untuk pastikan tiada transaksi baru yang bukan dari anda.
 
Ada sesetengah orang ni, dia jenis tak minta izin sebelum guna.
Kononnya, dah ada hubungan yang terlalu rapat.
Jadinya, sekarang ni tak boleh ada istilah berkira.
 
“Sorry bro, tu hari aku guna kad kau beli barang, lupa nak bagitahu. Nanti dapat gaji aku bayar balik…”
 
Kalau dah pernah pinjamkan dekat orang lain, pastikan ia tak berulang lagi.
Tukar kad kredit anda kepada kad yang baru.
Pastikan nombor pin pun anda tukar.
 
12. Tak Tuntut Ganjaran Kad Kredit Setiap bank menawarkan ganjaran yang berbeza kepada para pelanggannya.
 
Kesilapan kali ini mungkin tidaklah menyebabkan anda kerugian dalam bentuk wang ringgit, tapi lebih kepada anda akan terlepas untuk menebus barangan yang bagus secara percuma.
 
Tahukah anda, bahawa mata ganjaran anda sebenarnya ada tamat tempoh?
 
Kalau anda merupakan seorang pengguna tegar kad kredit, dan anda telah menggunakan kad kredit lebih dari 10 tahun dan sepanjang tempoh tersebut anda langsung tak pernah tebus mata ganjaran, besar kemungkinan anda telah terlepas hadiah-hadiah yang menarik dan kebanyakkan mata ganjaran yang anda kumpulkan telah pun tamat tempoh.
 
Cubalah semak, berapakah jumlah mata ganjaran yang berjaya anda kumpulkan, dan apakah hadiah yang anda boleh tebus melalui pengumpulan mata ganjaran anda.

Sambil gunakan kad kredit untuk berbelanja, sambil tu anda dapat kumpul mata ganjaran.
 
Cukup masa, boleh tebus dengan hadiah.
 
Tapi kalau anda selalu tak hiraukan kewujudan mata ganjaran ini, besar kemungkinan kebanyakkan mata ganjaran yang anda perolehi selama ini mungkin telah tamat tempoh.
 
13. Beli Secara Emosi atau Impulsif Golongan yang membuat keputusan pembelian secara impulsif ini, bukan sahaja disukai oleh golongan peniaga (online seller) , malahan bank pun suka orang yang macam ni.
 
Peniaga dapat untung sebab anda beli produk mereka.
Bank dapat untung, apabila anda gunakan kad kredit untuk buat pembelian.
 
Cubalah tanyakan pada diri anda, adakah anda ada untung apa-apa daripada pembelian tersebut?
 
Besar kemungkinan, anda tak gunakan pun barang yang anda kelam-kabut sangat nak beli tu.
 
Jangan beli sebab harganya murah.
Jangan beli hanya sebab ada promosi.
 
Kelak semua itu hanya akan menyebabkan hutang kad kredit anda bertambah, dan akan jadi beban kepada anda di kemudian hari.
 
Kita cuba buat macam ni.
 
Cuba kita buat pengkelasan terhadap apa-apa barang yang kita nak beli.
Adakah ia barangan keperluan atau kemahuan?
 
Kalau barang bukan keperluan, cuba berikan masa 24 jam sebelum anda buat keputusan pembelian.
 
Saya pernah tengok, barang bukan keperluan, selepas tempoh promosi tamat, seller jalankan promosi yang baru dan harganya lebih murah berbanding promosi sebelum ini.
 
Ada juga sesetengah barangan yang kononnya tengah promosi, masih lagi mengekalkan harga yang sama, walaupun dah habis tempoh promosi.
 
Kenal diri anda.
Kalau anda memang jenis yang senang terpengaruh, lebih baik jangan langgan sebarang emel promosi, terutama sekali dari platform e-commerce dan sebagainya.
 
14. Abaikan Caj & Yuran Tersembunyi Betul ke kad kredit ini ada caj tersembunyi?
 
Sebenarnya ianya bukanlah tersembunyi, tapi pengguna sendiri yang tak perasan dan tak sedar mengenai kewujudan caj tersebut.
 
Caj-caj ini dinyatakan dalam terma dan syarat, namun ramai pengguna tidak menyedarinya.
Lagipun, siapa yang ada masa nak baca terma dan syarat yang panjang berjela tu?
 
Antara contoh caj yang kita boleh katakan sebagai caj tersembunyi adalah seperti
1. Yuran tahunan
Ada kad yang dipromosikan sebagai kad tanpa yuran tahunan.
Rupa-rupanya, promosi tanpa yuran tahunan itu hanya untuk tahun pertama sahaja.
 
Ataupun yuran tahunan itu memang ada, tapi akan dikecualikan jika anda aktif menggunakan kad kredit anda dalam tahun tersebut.
 
2. Caj penukaran wang asing
Ini terpakai untuk pembelian barangan (atau perkhidmatan) dari luar negara, yang melibatkan matawang berbeza, sama ada secara online ataupun apabila kita pergi bercuti.
 
Lazimnya, bank anda akan mengenakan caj sebanyak 1% daripada jumlah transaksi.
 
Kalau barang yang anda beli berharga USD12,000 dan anda dikenakan 1%, berapa banyak tu yuran yang dikenakan kepada anda?
Banyaklah… kan?
 
Elakkan dikenakan caj tersembunyi Sebenarnya kita sebagai pengguna ada tanggungjawab untuk baca dan fahami sebarang perkhidmatan yang kita gunakan.
 
Termasuklah perkhidmatan kad kredit ini.
 
Kalau kita tak tahu, sebab kita tak baca, itu kesilapan kita sendiri.
Lagipun, sebelum kita nak gunakan perkhidmatan yang disediakan, kita akan diminta untuk membuat pengakuan bahawa kita telah membaca dan memahami terma dan syarat yang ditetapkan terlebih dahulu.
 
Oleh itu, kalau kita nak elakkan dikejutkan dengan sebarang caj tersembunyi, boleh pertimbangkan beberapa langkah berikut.
 
Pertama, kalau anda jenis yang jarang menggunakan kad kredit, pilihlah kad kredit yang tidak mengenakan yuran tahunan.
Kedua, elakkan dari mengeluarkan wang tunai melalui kad kredit anda.
Ketiga, jika anda menggunakan kad kredit untuk beli barang dari luar negara, pilihlah kad kredit yang menawarkan caj tukaran wang asing dengan kadar yang rendah.
 
Sentiasa peka dan teliti dengan struktur yuran dan caj yang dikenakan oleh kad kredit anda. Dengan memahami dan merancang penggunaan kad kredit dengan bijak, anda boleh mengelakkan caj tersembunyi yang tidak diingini
 
15. Tiada Pelan Pembayaran Jelas Kalau anda tidak mempunyai pelan pembayaran yang jelas, ini boleh membuatkan hutang kad kredit anda menimbun tanpa sedar dan akhirnya menyebabkan anda merasa semakin sukar untuk melangsaikan hutang tersebut.
 
Tanpa pelan pembayaran, ramai hanya bayar ikut suka atau hanya bayar jumlah minimum setiap bulan.
Ini menyebabkan baki hutang masih tinggi dan faedah terus dikenakan.
 
Kita telah bincangkan di awal-awal tadi, bahawa hanya membuat bayaran minimum, anda akan ambil masa bertahun-tahun untuk habiskan hutang walaupun jumlahnya kecil.
 
Sudah tentu, langkah yang lebih baik adalah anda menetapkan jumlah bayaran yang konsisten.
Kalau hutang anda adalah RM3,000, tetapkan untuk buat bayaran RM500 setiap bulan dan bukannya hanya buat bayaran minimum atau satu jumlah yang “asal buat bayaran”.
 
Lagi cepat boleh habiskan hutang, lagi banyak duit dapat diselamatkan daripada digunakan untuk bayar interest kepada bank.
 
16. Bayar Hutang Guna Kad Kredit Lain Bagi mereka yang memiliki lebih dari satu kad kredit, mungkin ada terfikir untuk buat bayaran kad kredit menggunakan kaedah ini.
 
Anda bayar hutang kad kredit A menggunakan kad kredit B.
 
Tindakan ini mungkin dapat “menyelamatkan diri anda untuk sementara waktu”.
Namun pada hakikatnya, hutang anda langsung tidak berkurangan.
 
Anda tidak mengurangkan jumlah hutang, sebaliknya anda cuma memindahkan hutang dari satu kad ke kad yang lain.
Akhirnya, anda ada dua kad dengan baki yang tinggi.
 
Tindakan ini juga sebenarnya akan mendedahkan kita kepada pelbagai kos dan caj yang dikenakan oleh pihak bank.
 
Disitu ada
i. Caj pendahuluan tunai (cash advance fee)
ii. Interest charge yang lebih tinggi (tiada tempoh interest-free)
iii. Lain-lain caj perkhidmatan bergantung kepada bank
 
Kesannya?
Sudah tentu ini akan menyebabkan hutang anda jadi lebih mahal untuk dilangsaikan.
 
Kalau anda dah mula menghadapi masalah untuk bayar hutang kad kredit, sebenarnya ada dua pendekatan yang anda boleh lakukan.
 
Pertama, hubungi pihak bank dan minta mereka tukarkan hutang kad kredit anda kepada suatu pelan pembayaran tetap. Biasanya dikenali dengan istilah Easy Payment Plan (EPP).
 
Kalau anda ada kad kredit lain, dan anda nak gunakan kad kredit tersebut untuk bayar kad kredit anda yang satu lagi, anda boleh gunakan kaedah Balance Transfer.
 
Anda perlu hubungi pihak bank untuk bantu anda lakukan balance transfer.
Anda tak boleh buat sendiri.
 
Ada bank yang tawarkan khidmat balance transfer dengan 0% faedah untuk tempoh tertentu.
 
Kalau hutang dah terlalu berat dan anda tak tahu nak mula dari mana, hubungi AKPK.

Mereka boleh bantu susun pelan bayaran semula tanpa tekanan, dan tanpa faedah tersembunyi.
 
Bayar kad kredit dengan kad kredit lain bukan menyelesaikan masalah, ia cuma tangguh dan menambahkan beban. Pilih cara yang betul, walaupun perlahan, asalkan anda sedang bergerak ke arah bebas hutang.
 
Bayar hutang kad kredit menggunakan duit yang dipinjam menerusi personal loan juga tidak menyelesaikan masalah hutang anda.
Ia sekadar meredakan sedikit kadar faedah yang dikenakan kepada anda.
In Shaa Allah kita bincangkan dilain masa.
 
17. Tak Faham Impak Kad Kredit Terhadap Skor Kredit Skor kredit ialah suatu bentuk penilaian tahap kewangan terhadap kebolehan dan kemampuan seseorang dalam mengurus dan membayar hutang.
 
Maklumat ini digunakan oleh pihak bank dan juga institusi kewangan untuk menilai risiko sebelum meluluskan sebarang pinjaman, permohonan kad kredit baru, atau lain-lain kemudahan pinjaman atau pembiayaan kewangan.
 
Skor kredit adalah satu sistem pemarkahan yang menentukan kesihatan kredit atau kesihatan kewangan anda. Ia menilai sejarah kewangan anda supaya institusi kewangan boleh menentukan jika mereka ingin berurusan dengan anda.
 
Siapa yang bertanggungjawab menentukan Skor Kredit di Malaysia?
Terdapat beberapa organisasi yang terlibat.
 
1. CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS)
Ini merupakan organisasi swasta yang paling popular digunakan oleh bank, syarikat telekomunikasi dan syarikat swasta yang terlibat dalam urusan sewa beli.

Bukanlah pihak CTOS yang membuat keputusan sama ada akan memberi kelulusan atau menolak permohonan pinjaman anda, sebaliknya mereka menyediakan laporan kewangan beserta dengan skor berdasarkan data awam dan rekod kewangan individu.
 
2. Credit Bureau Malaysia (CBM)
Dikenali juga dengan nama singkatan CBM.
 
Ia adalah sebuah organisasi swasta yang berfungsi mengumpulkan, menyimpan, dan menyediakan laporan kredit tentang individu dan syarikat di Malaysia.

Mereka membantu pihak bank, institusi kewangan, dan kadangkala individu untuk menilai kelayakan kredit sebelum memberikan pinjaman, kad kredit, atau sebarang bentuk kemudahan kredit.
 
3. Central Credit Reference Information System (CCRIS) – BNM
Ini merupakan sistem data credit yang diuruskan oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri.

Ia mengumpulkan maklumat pinjaman dari
i. Bank komersial
ii. Bank Islam
iii. Syarikat kredit
iv. Koperasi (yang berdaftar)
 
Semua institusi wajib untuk lapor ke CCRIS setiap bulan.
 
Faktor yang menentukan skor kredit Setiap agensi ada formula mereka yang tersendiri dalam menentukan, berapa skor kredit yang bakal diberikan kepada individu. Namun, lazimnya mereka akan membuat penilaian berdasarkan kepada perkara berikut.
 
(1) Rekod bayaran
Adakah anda bayar hutang tepat waktu?
Adakah terdapat sebarang rekod anda pernah lewat untuk buat bayaran hutang?
Adakah terdapat tunggakan atau akaun tertunggak dibawah nama anda.
 
(2) Jumlah hutang
Berapa banyak hutang aktif yang anda ada?
Nisbah hutang berbanding had kredit.
Sebaik-baiknya jangan gunakan had kredit sampai maksimum sebab ia boleh berikan impak negatif kepada skor kredit kita.
 
(3) Tempoh sejarah kredit
Sudah berapa lama anda mempunyai hutang, dan sepanjang tempoh tersebut, bagaimana cara anda menguruskan hutang-hutang tersebut.
Lagi lama anda mempunyai akaun, dan anda berjaya urus hutang dengan baik, maka lagi bagus skor yang anda akan perolehi.
 
(4) Campuran jenis kredit
Dalam rekod, anda mempunyai campuran pelbagai jenis kredit.
Ada hutang kad kredit, personal loan, pinjaman kenderaan dan sebagainya.
Semua ini diambil kira.
Kalau semua hutang ini diuruskan dengan baik, skor anda boleh meningkat.
 
(5) Permohonan kredit Baru
Setiap kali anda memohon pinjaman baru atau kad kredit baru, ada semakan kredit yang akan dilakukan.
Jika dalam rekod anda menunjukkan terlalu banyak permohonan dilakukan dalam masa yang singkat, ini juga tak baik untuk penilaian skor kredit anda.
 
Bagaimana cara untuk semak skor kredit kita? Ada beberapa kaedah untuk kita semak skor kredit kita sendiri.
 
1. CTOS
Daftar secara percuma melalui portal CTOS dan anda boleh dapat laporan asas secara percuma.
Jika anda ingin melihat skor penuh dan laporan yang lebih terperinci, ada bayaran yang perlu dilakukan.

Boleh mula dengan dapatkan laporan yang percuma dahulu.
 
2. Experian
Dulu dikenali dengan nama RAMCI.
Mereka juga ada menyediakan laporan kredit.
 
3. CCRIS
Dimiliki oleh Bank Negara Malaysia.
Anda juga boleh minta laporan kredit secara percuma melalui portal eCCRIS.
 
Setelah kita mengetahui mengenai kewujudan Skor Kredit, maka kita patut berusaha untuk jaga skor kredit ini dengan sebaik mungkin.
Cubalah pantau skor kredit anda, dan pastikan ia berada di tahap sihat.
 
Kesimpulan Kad Kecil, Impak Besar
Kad kredit bukan sekadar alat untuk tujuan beli-belah.
 
Ia juga boleh jadi penentu kepada kestabilan kewangan anda.
 
Gunakan dengan bijak, fahami peraturan dan elakkan kesilapan yang boleh memerangkap masa depan anda dalam hutang.
 
Orang yang ada masalah dengan hutang kad kredit ini, kadang-kadang bukanlah individu yang bergaji kecil.
 
Apalah gunanya ada gaji sebanyak RM8,000 sebulan, kalau untuk hutang kad kredit sahaja, anda perlu bayar RM2,000 lebih.
Itu belum ambil kira hutang lain, seperti personal loan, hutang kereta, rumah dan sebagainya.
 
Jika anda sudah terlibat dalam salah satu kesilapan di atas, ambil nafas, dan mulakan langkah penyelesaian hari ini.
Lebih cepat anda bertindak, lebih mudah untuk pulih.
 
Kadang-kadang hutang kad kredit ini memang agak sukar untuk “dilawan” seorang diri.
Justeru, tidaklah salah kalau anda boleh buat kerjasama dengan individu lain untuk sama-sama berusaha dalam menyelesaikan hutang ini.
 
Saya sebenarnya ingin membina sebuah komuniti yang mungkin berminat untuk sama-sama membantu antara satu sama lain untuk melangsaikan hutang kad kredit.
 
Sasaran kita adalah untuk menyelesaikan hutang kad kredit, atau apa-apa hutang lain.
 
Dari mana sumber kewangan untuk langsaikan hutang kad kredit akan diperolehi?
Jawapannya ialah, menerusi program affiliate.
 
Tak kiralah sama ada program affiliate Lazada, Shopee, Klikjer, Agoda dan sebagainya.
Asalkan ianya adalah program affiliate yang SAH!
 
Kita dah sediakan SOP yang perlu diikuti oleh ahli komuniti.
 
Asalkan setiap orang, dapat lakukan perkara yang sama, yang saya tetapkan dalam SOP, In Shaa Allah semua orang pun nanti akan berupaya hasilkan komisen affiliate.
 
Komisen affiliate ini nanti, akan terus masuk ke akaun anda. Bukannya melalui pihak ketiga atau mana-mana pihak.
Bila dah berjaya hasilkan komisen tu nanti, pandai-pandailah guna duit tu untuk selesaikan hutang dulu.
 
Bagaimana?
Rasa-rasa berminat tak nak buat joint venture dan sama-sama kita lawan hutang kad kredit ni?
 
Boleh hubungi saya menerusi whatsapp melalui pautan ini nanti ya.
https://lawanhutangkadkredit.wasap.my/
 
 
The post Kesilapan Penggunaan Kad Kredit yang Ramai Orang Buat appeared first on Blog Sabree Hussin.


Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

https://www.sabreehussin.com/kesilapan-kad-kredit/

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Kad Kredit Fahami Kekuatan Dan Aplikasikan Kelebihannya

Kad Kredit Fahami Kekuatan Dan Aplikasikan Kelebihannya

papar berkaitan - pada 17/4/2025 - jumlah : 138 hits
Sekiranya anda adalah salah seorang pemegang kad kredit ada baiknya juga kalau anda dapatkan buku ini dan jadikan buku ini sebagai panduan Anggaplah buku ini ibarat sebuah manual yang akan menyelamatkan diri anda daripada tersilap langkah a...
Fandi Berpuas Hati Dengan Barisan Pemain Mereka Beri Komitmen Beraksi Baik Tapi Kena Kad Merah

Fandi Berpuas Hati Dengan Barisan Pemain Mereka Beri Komitmen Beraksi Baik Tapi Kena Kad Merah

papar berkaitan - pada 28/4/2025 - jumlah : 64 hits
KUALA LUMPUR Ketua jurulatih Sri Pahang Fandi Ahmad berpuas hati dengan berisan pemain bersama staf kejurulatihan yang memberikan komitmen memuaskan dalam aksi final Piala Malaysia 2024 25 meskipun tewas 1 2 kepada Johor Darul Ta zim malam ...
Peneliti Openai Yang Kerja Dengan Gpt 4 5 Ditolak Permohonan Kad Hijau Mereka

Peneliti Openai Yang Kerja Dengan Gpt 4 5 Ditolak Permohonan Kad Hijau Mereka

papar berkaitan - pada 26/4/2025 - jumlah : 102 hits
Kai Chen seorang peneliti AI asal Kanada yang bekerja di OpenAI dan telah tinggal di AS selama 12 tahun baru saja ditolak permohonan kartu hijau nya Ini disampaikan oleh Noam Brown seorang ilmuwan riset utama di perusahaan tersebut Dalam po...
Berbelanja Di Shell Dengan Kad Atm Mydebit Berpeluang Menang Honda Rs150r

Berbelanja Di Shell Dengan Kad Atm Mydebit Berpeluang Menang Honda Rs150r

papar berkaitan - pada 18/4/2025 - jumlah : 101 hits
Payments Network Malaysia telah bekerjasama dengan Shell untuk membolehkan pelanggan membuat pembayaran lebih mudah menggunakan kad MyDebit Bermula 19 Mac 2025 lalu pelanggan kini boleh menggunakan kad ATM MyDebit mereka untuk pembelian min...
Kad Kahwin 20 Contoh Ucapan Inspirasi Design Kad

Kad Kahwin 20 Contoh Ucapan Inspirasi Design Kad

papar berkaitan - pada 28/4/2025 - jumlah : 84 hits
Kad kahwin merupakan satu elemen penting dalam sesebuah majlis perkahwinan Lebih daripada sekadar sekeping kertas yang menyampaikan maklumat mengenai hari bahagia kad ini membawa bersamanya harapan kegembiraan dan menjadi simbol permulaan s...
Thailand Digital Arrival Card Kad Ketibaan Thailand Mulai 1 Mei 2025

Thailand Digital Arrival Card Kad Ketibaan Thailand Mulai 1 Mei 2025

papar berkaitan - pada 16/4/2025 - jumlah : 177 hits
Pelancong yang ingin ke Thailand kini perlu mengisi Thailand Digital Arrival Card sebelum tiba di negara tersebut Ini merupakan sebahagian daripada transformasi digital yang lebih luas bagi prosedur imigresen kerajaan yang ditadbir oleh Bir...
Penularan Gambar Individu Menyamar Sebagai Pegawai Kdn Bagi Tujuan Pengesahan Kad Pengenalan Adalah Tidak Benar

Penularan Gambar Individu Menyamar Sebagai Pegawai Kdn Bagi Tujuan Pengesahan Kad Pengenalan Adalah Tidak Benar

papar berkaitan - pada 29/4/2025 - jumlah : 76 hits
SEBENARNYA Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Kementerian Dalam Negeri ingin memaklumkan bahawa gambar yang kembali tularmenerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp kononnya menunjukkan pegawai KDN memb
5 Kesilapan Perlu Dielak Apabila Menjual Kereta

5 Kesilapan Perlu Dielak Apabila Menjual Kereta

papar berkaitan - pada 23/4/2025 - jumlah : 66 hits
Mahu elak kesilapan dan jual kereta anda dengan mudah Teruskan membaca untuk maklumat lanjut FMT
Jalur Gemilang Tak Lengkap Kesilapan Teknikal Antara Alasan Sin Chew Kpn

Jalur Gemilang Tak Lengkap Kesilapan Teknikal Antara Alasan Sin Chew Kpn

papar berkaitan - pada 20/4/2025 - jumlah : 116 hits
Kesilapan teknikal menjadi alasan utama di sebalik isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan Sin Chew Daily lapor Harian Metro Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata Polis Diraja Malaysia telah m...
Bila Mata Anak Mula Merah Ini Mungkin Sebabnya

Barang Kemas Rm300 00 Hilang Warga Emas Terkejut Baru Balik Mengaji

Strict Terms For Paya Mengkuang Pig Farms To Resume Operations Akmal

Had Baharu Pembelian Beras Putih Tempatan Bernama Tv 28 04 2025

Pusat Latihan Kenegaraan Pasir Mas

Tambah Mesin Pengimbas Kargo Diperlukan

Remaja Lelaki Hampir Diculik Dua Individu Ketika Berjoging

Kebakaran Asrama Fadhlina Sidek Segerakan Bantuan Buat Smk Tinggi Setapak


echo '';
Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Dendam Seorang Madu Slot Tiara Astro Prima

10 Fakta Biodata Amira Othman Yang Digosip Dengan Fattah Amin Penyanyi Lagu Bila Nak Kahwin

5 Tips Macam Mana Nak Ajak Orang Kita Suka Dating Dengan Kita

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Keluarga Itu Slot Lestary TV3

Bolehkah Manusia Transgender Mencapai Klimaks Selepas Bertukar


So Apa Sudah Jadi Malaysia

Smk Panggung Jaya Tempat Pertama Program Anjuran Th

Kesilapan Penggunaan Kad Kredit Yang Ramai Orang Buat

12 Taman Taman Negara Di Sarawak

Acha Septriasa Tolak Tawaran Filem Sheriff Kerana Komitmen Qodrat 2

Tak Sangka Ini Yang Terjadi