Kesilapan Lazim Pesara Dari Pemerhatian Saya Iktibar Untuk Semua
Zainuddin Omar
Saya telah bersara secara pilihan daripada perkhidmatan Kerajaan sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Alhamdulillah, tempoh persaraan saya dilalui dengan penuh ketenangan kerana persediaan mental, fizikal dan kewangan telah saya lakukan sejak masih dalam perkhidmatan lagi.
Namun, sepanjang pemerhatian saya, ramai rakan-rakan seperkhidmatan melakukan kesilapan besar sebaik sahaja melangkah ke alam persaraan.
Apakah kesilapan yang sering berlaku dalam kalangan pesara, khususnya mereka yang baru sahaja menamatkan khidmat?
1. Terlibat dalam Perniagaan atau Pelaburan Berisiko Tinggi
Ramai yang menjadi mangsa ilusi ‘jutawan segera’ sebaik sahaja menerima wang gratuiti atau pengeluaran KWSP.
Ketahuilah, dalam kalangan keluarga, kenalan, malah orang yang tidak dikenali, akan ada yang mula ‘menghidu’ kedudukan kewangan anda yang dilihat tiba-tiba melimpah.
Mereka akan datang meminjam wang, menawarkan peluang pelaburan, atau mengajak anda menjadi rakan kongsi perniagaan yang kononnya mudah, cepat dan menguntungkan.
Ramai yang akhirnya terjerat.
Saya pernah melihat seorang bekas juruteknik gred khas kehilangan keseluruhan wang gratuiti berjumlah RM100,000 termasuk simpanan peribadi kerana melabur dalam sebuah syarikat kontraktor Kelas F.
Syarikat tersebut akhirnya muflis, dan beliau terpaksa bekerja semula di usia emas demi menyara keluarga.
Ada juga rakan saya yang melaburkan RM500,000 hasil gratuiti dalam skim mata wang kripto yang akhirnya licin dalam sekelip mata.
Seorang lagi rakan kehilangan ratusan ribu ringgit kerana menjadi rakan kongsi perniagaan lori yang akhirnya gagal. Kini, beliau terpaksa melakukan kerja sambilan meskipun usia sudah melepasi 60-an.
Soalnya, setelah lebih tiga dekad berkhidmat dalam sektor awam atau swasta, sejauh mana kefahaman anda dalam dunia perniagaan dan pelaburan berisiko tinggi?
Ambillah iktibar daripada pengalaman dan kesilapan orang lain. Duit yang dikumpul berpuluh tahun bukan untuk dihabiskan dalam masa beberapa bulan.
2. Pengubahsuaian Rumah secara Berlebihan
Trend kedua yang sering saya perhatikan ialah sikap ghairah mengubah suai rumah, kononnya untuk keselesaan keluarga, terutama bagi menampung kehadiran anak-anak pada musim perayaan.
Realitinya, selepas beberapa hari suasana riuh rendah Hari Raya, rumah kembali sunyi. Mengapa perlu memperbesar rumah hanya untuk beberapa hari dalam setahun, sedangkan sepanjang masa hanya anda berdua yang mendiami kediaman tersebut?
Fikirkan secara rasional, adakah wajar wang simpanan persaraan dihabiskan untuk pembesaran rumah yang tidak memberikan manfaat jangka panjang?
3. Membelanjakan Wang untuk Majlis Perkahwinan Anak secara Berlebihan
Tidak salah meraikan perkahwinan anak, tetapi biarlah berpada. Cukuplah dengan majlis sederhana, bukan menganjurkan walimah mewah di hotel lima bintang sehingga menelan belanja ratusan ribu ringgit.
Lebih memilukan, ada pasangan muda yang berpisah hanya selepas beberapa bulan mendirikan rumah tangga, sedangkan ibu bapa sudah menghabiskan wang simpanan persaraan demi majlis yang gah.
4. Tidak Merancang Pelunasan Hutang sebelum Bersara
Salah satu asas utama untuk bersara dengan tenang ialah memastikan tiada lagi hutang yang membebani ketika saat bersara.
Perancangan kewangan semasa dalam perkhidmatan amatlah penting untuk memastikan semua hutang rumah, kenderaan atau komitmen besar lain dapat diselesaikan lebih awal.
Saya sendiri menetapkan sasaran untuk melangsaikan semua hutang menjelang usia 50 tahun, dan alhamdulillah segala hutang berjaya dilunaskan pada usia 48 tahun.
Sangatlah malang jika wang gratuiti dan simpanan KWSP yang diperoleh akhirnya hanya digunakan untuk membayar hutang yang sepatutnya diselesaikan lebih awal.
5. Tidak Merancang Kos Perubatan
Ramai pesara terlepas pandang aspek kos perubatan. Walaupun perkhidmatan kesihatan di hospital Kerajaan masih lagi sangat berpatutan, ada segelintir yang lebih selesa mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Jika itu pilihan anda, pastikan insurans perubatan telah diambil sejak zaman bekerja lagi. Rancanglah pembayaran premium bulanan agar anda terus dilindungi selepas bersara, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada wang simpanan persaraan.
Kesimpulan
Ingatlah, wang gratuiti dan simpanan KWSP adalah hasil titik peluh anda selama berpuluh tahun.
Gunakanlah ia untuk memperbaiki kualiti hidup dan menjalani tempoh persaraan dengan lebih tenang dan bermaruah.
Jangan ulangi kesilapan orang lain. Bersaralah dengan bijaksana, berhemah dan penuh perancangan.
✍️Ir. Hj. Zainuddin Bin Hj. Omar
FB: Zainuddin Omar
#BersaraDenganBergaya
* semasa saya di Antartika pada tahun 2024
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/07/kesilapan-lazim-pesara-dari-pemerhatian.html