Kes Yusof Rawther Vs Anwar Ibrahim




Semalam ada kawan minta untuk ulas berkaitan dengan permohonan Anwar Ibrahim untuk merujukkan 8 soalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.
Di dalam S. 84 Akta Mahkamah Keadilan 1964 menyatakan Mahkamah Tinggi boleh merujukkan isu-isu berkaitan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan jika isu-isu timbul dalam mana-mana peringkat prosiding di Mahkamah Tinggi.
Apabila timbul permohonan tersebut, pihak Yusof Rawther tidak berpuashati kerana ini bermakna Mahkamah Tinggi akan menangguhkan perbicaraan yang telah ditetapkan di dalam bulan Jun, 2025.
Dalam perbicaraan sesuatu kes, cara dan tindakan lawyer akan memainkan peranan yang penting. Yusof Rawther telah memfailkan tindakan sivil ke atas Anwar Ibrahim setelah beliau gagal untuk meyakinkan Pendakwa Raya (Peguam Negara) untuk menuduh Anwar Ibrahim telah melakukan kesalahan jenayah ke atas dirinya.
Isu merit kes ini kita tidak boleh ulas kerana ianya akan menjadi subjudis. Kita tidak mahu mendahului dapatan Mahkamah terhadap kes ini. Isu yang dibincangkan di sini adalah bagaimana strategi yang diambil peguam untuk anakguamnya.
Apa yang menarik dan tidak terjangka oleh pihak Yusof Rawther adalah permohonan Anwar untuk merujukkan isu Perlembagaan ini kepada Mahkamah Persekutuan. Tindakan peguam Anwar ini adalah satu tindakan yang boleh dikatakan strategik.
Terdapat 8 isu yang ingin dirujukkan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Peguam Negara dalam satu kenyataan media bertarikh 31.5.2025. Antara lainnya adalah, sama ada tindakan sivil berkaitan perbuatan sebelum memegang jawatan boleh diteruskan sekiranya ia menjejaskan keupayaan Perdana Menteri untuk mentadbir. Peguam Negara juga menyatakan ia adalah soalan struktur mengenai tadbir urus Perlembagaan dan bukan mengenai kekebalan peribadi.
https://www.facebook.com/JabatanPeguamNegara/posts/pfbid02jxywvec5BNMpdfjtmaGTj268W4JC11tPLfioweX3RzXowSAiiPpVaMSmRq7gLstZl?__cft__[0]=AZVyaSq1uFdnWlUo0bF0QNEwtpA7AKXiiZFtqSz40cGGzca0BjGgZizhojdzIObB8peHZjAGCJISolLVnZUajs6JBKsYAZO1QxABt9nO44RxPOrF9BHXihSsCtp9MmYX0q4yPi-ihV90cwo1Ur5Mj60C_z1eJN1SovrVWiRgXtnozfejtTzt0wLftH8AjZQOVrAse7yVhpLn4zNzToygj_Mx&__tn__=%2CO%2CP-R
Sebagai peguam, kita dikehendaki untuk menjaga kepentingan anakguam. Selagi ada proses yang boleh digunakan maka peguam tersebut harus membentangkan kepada anakguam dan anakguam akan membuat pilihan sama ada ingin membuat permohonan sedemikian.
Adakah tindakan Anwar itu salah? Tindakan Anwar itu tidak salah dan menjadi haknya di bawah S. 84 Akta Mahkamah Keadilan. Begitu juga. Per. 128(2) Perlembagaan telah memberikan kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan hal tersebut.
128 (2) Tanpa menjejaskan apa-apa bidang kuasa rayuan Mahkamah Persekutuan, jika dalam mana-mana prosiding di hadapan suatu mahkamah lain suatu soal berbangkit tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa (tertakluk kepada mana-mana kaedah mahkamah yang mengawal selia perjalanan bidang kuasa itu) untuk memutuskan soal itu dan menghantar balik kes itu kepada mahkamah yang satu lagi untuk dibereskan mengikut keputusan itu.
Apakah hak Yusof itu telah dinafikan? Hak Yusof tidak dinafikan kerana hak Yusof adalah untuk didengar. Namun, bilakah hak Yusof itu boleh didengar bukanlah menjadi satu isu kerana Mahkamah perlu menyelesaikan dahulu apa-apa perkara yang berbangkit. Setelah isu berbangkit selesai maka Yusof akan diberikan peluang untuk didengar.
Isu yang dibangkitkan Anwar ini adalah isu yang besar kerana ianya melibatkan Perlembagaan. Isu Perlembagaan tidak wajar ditolak mentah-mentah oleh Mahkamah semata-mata untuk mempercepatkan proses perbicaraan.
Isu berkaitan dengan kekebalan (immunity) ini pernah diputuskan dalam kes MOHAMMAD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK v. THOMAS THOMAS @ MOHAN K THOMAS & ANOR
[2023] 4 MLRH 356. Dalam kes ini Najib telah menyaman Tommy Thomas antara lain menuduh Tommy telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Peguam Negara untuk melancarkan beberapa pertuduhan ke atasnya bagi tujuan politik. Mahkamah menyatakan,
90] ...... Further, the process of bringing anyone like the Plaintiff/suspect to justice will have to go through several stages within our Criminal Justice System (as explained earlier) whereby the fate of an accused will be determined not by the Defendant/Public Prosecutor but by the Courts based on the evidence adduced and the PUBLIC PROSECUTOR/HIMSELF ENJOYS IMMUNITY BY WAY OF DISCRETION granted to him by the Federal Constitution under art 145(3) in the first place.
Isunya dalam kes Yusof vs Anwar ini adakah Anwar juga memperolehi kekebalan yang sama? Per. 145(3) itu tidak menyatakan Pendakwa Raya itu kebal tetapi Mahkamah mengendorskan bahawa Pendakwa Raya itu kebal ketika menjalankan tugasnya. Tugas yang dijalankan oleh Anwar sekarang selaku Perdana Menteri adalah tugas yang disebut dalam Perlembagaan sama seperti tugas Peguam Negara. Maka, ada kewajaran diputuskan sama ada seorang Perdana Menteri itu kebal sama seperti seorang Peguam Negara. Jika Perdana Menteri itu kebal, setakat manakah kekebalan itu diberikan? Adakah termasuk kekebalan itu terhadap kesalahan tort atau termasuk juga kesalahan kontrak? Adakah kekebalan itu meliputi kausa tindakan tort yang berlaku sewaktu dia belum memegang jawatan Perdana Menteri atau terhad kepada tindakannya semasa menjadi Perdana Menteri.
Apa yang menjadi perencah tambahan dalam kes Yusof vs Anwar ini adalah tiba-tiba ada 3 pemimpin pembangkang yang memohon menjadi pencelah iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran). Adakah ketiga-tiga ini mempunyai apa-apa kaitan dengan Yusof dan apakah kepentingan ketiga-tiga orang ini khasnya Dr Sam sendiri menyibukkan diri dengan kes Mahkamah sedangkan keutamaan sepatutnya kepada melaksanakan agenda pembangunan negerinya sendiri.
Justeru, nampaknya kes Yusof ini bukan lagi menjadi satu kes peribadi kepada Yusof malah sudah menjadi kes politik. Oleh itu, tidak hairanlah jika Anwar memfailkan permohonan ini sebagai salah satu strateginya dalam menangani kes kerana kes ini sudah berubah daripada kes tort biasa kepada kes politik berprofil tinggi.
Dr Zulqarnain Lukman
4 Jun 2025
7 Zulhijjah 1446H
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/06/kes-yusof-rawther-vs-anwar-ibrahim.html