Kes Menurun Kepada Dua Angka Rakyat Diseru Terus Patuh Pkp
Setelah hampir sebulan Malaysia menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu, dan semalam baru sahaja memasuki fasa ketiga yang dilanjutkan sehingga 28 April 2020. Usaha kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 kini mula menunjukkan hasil yang positif.
Semalam, “Jeneral Perang” – Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kes positif harian mula menurun kepada dua angka, iaitu 85 kes semalam berbanding tiga angka pada hari sebelumnya.
Ia merupakan satu tanda menunjukkan strategi yang disusun atur untuk menggempur virus itu dengan melakukan PKP sebelum ini adalah tepat.
Malah, jumlah kes pulih harian adalah 169 kes semalam, dua kali ganda lebih tinggi berbanding kes baharu yang direkodkan Selasa lepas.
Namun, masih terlalu awal untuk rakyat Malaysia menarik nafas lega dengan fakta-fakta itu kerana selagi lengkung penyebaran virus belum dapat diratakan, selagi masih ada kes kematian direkodkan dan selagi negara masih belum bebas sepenuhnya dari COVID-19, kemenangan belum dicapai dalam pertempuran menentang virus pembunuh itu.
Memetik kata-kata Dr Noor Hisham, tempoh PKP fasa tiga yang masuk hari kedua hari ini, merupakan tempoh kritikal dalam menentukan kejayaan menghapuskan wabak COVID-19.
Hasilnya bukan hanya ditentukan dengan jumlah pakar dan kemudahan kesihatan yang ada di negara ini, malah ditentukan juga dengan tahap kepatuhan masyarakat terhadap PKP.
Ketidakpatuhan terhadap arahan itu hanya menyebabkan usaha keras yang dilakukan selama ini oleh petugas barisan hadapan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memerangi wabak itu hanya menjadi sia-sia.
PDRM melaporkan sepanjang PKP fasa satu dan dua dilaksanakan sehingga Selasa lepas, sebanyak 14,922 individu ditahan kerana ingkar dengan arahan itu.
Lantaran sikap segelintir mereka yang ingkar ini juga menyebabkan kerajaan tiada pilihan selain mengenakan tindakan tegas dengan mendakwa mereka ke mahkamah setelah tindakan kompaun sebanyak RM1,000 sebelum ini dipandang enteng golongan yang degil ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menyatakan ada tempat khas menanti pesalah ini apabila kerajaan akan mewartakan 13 akademi penjara sebagai pusat tahanan mereka.
Walaupun tempat tahanan itu akademi, tiada makanan mewah yang akan disediakan, peraturan dan undang-undangnya adalah sama dengan penjara biasa, bersedialah untuk menghadapinya jika terus ingkar untuk patuh kepada PKP.
Sumber: BERNAMA
The post Kes Menurun Kepada Dua Angka, Rakyat Diseru Terus Patuh PKP appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/kes-menurun-kepada-dua-angka-rakyat-diseru-terus-patuh-pkp/