Kerajaan Lulus Rm388 Juta Bantu Pekebun Kecil
ISMA WEB
RISDA sedia buka kaunter khas bantu pekebun buat tuntutan IPG                    

          BALING – Kerajaan meluluskan peruntukan RM338 juta untuk pelaksanaan Program  Pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah  (RISDA) tahun ini, yang akan memberi manfaat kepada 552,543 pekebun  kecil di seluruh negara.
Menteri  Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu  merangkumi Program Tanam Semula Getah, Prasarana Asas Pertanian,  Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Keusahawanan, Skim Insentif Produktiviti  Getah, Khidmat Pengembangan dan Latihan Pekebun Kecil.
“Daripada  jumlah ini, kerajaan memberikan RM37 juta kepada pekebun kecil (RISDA)  Kedah,” katanya ketika berucap pada Malis Aspirasi Ekonomi Pekebun Kecil  di Padang Awam Kampung Lalang dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Mengulas  lanjut, Mohamed Azmin berkata, kerajaan memberikan sejumlah RM1.5 juta  untuk bantuan Prasarana Asas Pertanian di Kedah manakala RM3.5 juta bagi  Skim Insentif Produktiviti Getah serta Program Peningkatan Produktiviti  Getah di negeri ini.
“Tujuan  turun ke Baling (ini) mencerminkan kesungguhan kerajaaan negeri dan  kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kerajaan  komited, kita bersungguh-sungguh ikhlas membantu membina masa depan  lebih selamat dan terjamin bagi warga pekebun kecil.
“Datuk  Seri Mukhriz telah mencerakinkan tentang betapa pentingnya warga pekebun  kecil bukan saja di Baling, Kedah ini tetapi seluruh negara.  Pekebun-pekebun kecil ini membanting tulang, bekerja dengan gigih dan  kuat menyumbang kepada ekonomi negara.
“Di Kedah  sahaja terdapat 73,642 pekebun kecil meliputi kawasan seluas 112,000  hektar tanah diusahakan untuk industri getah ini,” katanya sambil  menambah, kerajaan akan memastikan masa hadapan peneroka dan pekebun  kecil di negara ini tidak terbeban dengan kejatuhan harga komoditi.
Sementara  itu, Mohamed Azmin berkata, RISDA bersedia membuka kaunter khas dengan  kadar segera bagi membantu pekebun kecil membuat tuntutan Insentif  Pengeluaran Getah (IPG).
“…masalah  dihadapi pekebun kecil adalah antaranya masalah birokrasi tuntutan IPG.  Kita sedia maklum RISDA wujud di setiap daerah dan negeri, tetapi LGM  (Lembaga Getah Malaysia) tidak ada struktur sama.
“Maka  pekebun kecil kena lalui satu proses yang amat sulit untuk membuat  tuntutan kepada LGM. Saya telah berbincang dengan Datuk Ketua Pengarah  RISDA sebentar tadi (yang) RISDA berlapang dada dan bersedia untuk  segera membuka kaunter khas membantu pekebun kecil di setiap pejabat,  stesen dan mukim membantu pekebun kecil membuat tuntutan,” katanya.
Selain  itu, beliau juga akan mencadangkan kepada LGM supaya Jawatankuasa  Perakuan dan Penilaian Harga Getah mesti dianggotai wakil pekebun kecil  dalam jawatankuasa berkenaan, kerana golongan itu mempunyai hak  mengetahui mekanisme yang diguna pakai, menentukan kadar diskaun proses  Kandungan Getah Basah kepada Kandungan Getah Kering.
“Pada masa  yang sama, kita juga dimaklumkan bahawa pekebun-pekebun kecil ini  menghadapi masalah kerana apabila proses Kandungan Getah Basah kepada  Kandungan Getah Kering, pelbagai diskaun, kadar yang ditentukan oleh  pekilang-pekilang, ini tidak adil kepada pekebun-pekebun kecil, ada  memberi diskaun yang kecil, ada yang memberi diskaun besar.
“Esok saya  akan menghubungi LGM dan mencadangkan supaya perkara ini diberikan  pertimbangan segera, supaya pekebun-pekebun kecil mempunyai suara dalam  jawatankuasa tersebut bagi membela nasib pekebun-pekebun kecil,”  katanya.- Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/kerajaan-lulus-rm388-juta-bantu-pekebun.html