Kerajaan Harus Bantu 200 Ribu Veteran Atm Tak Berpencen
Pada hari semalam Jumaat 1.7.2022 saya telah menghadiri pertemuan ramah Mesra dengan anggota Persatuan Veteran ATM Tak Berpencen Malaysia (PVATTBM) Cawangan Pasir Gudang di Taman Desa Perwira.
Di dalam pertemuan itu saya dimaklumkan terdapat lebih 100 orang pesara atau veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tak Berpencen di Pasir Gudang dan majoritinya tinggal di Taman Desa Perwira.
Saya juga dimaklumkan terdapat lebih kurang seramai 200,000 orang veteran tidak Berpencen di seluruh Malaysia.
Pesara atau veteran tidak berpencen ini telah berkhidmat pada tahun-tahun 60an, 70an, 80an pada zaman Malaysia menghadapi ancaman bersenjata dari Parti Komunis Malaya.
Rata-rata Veteran ATM tidak berpencen ini sekarang berumur warga emas iaitu lebih 60 tahun. Kebanyakannya menghadapi masalah kewangan dalam kehidupan dan masalah kesihatan.Bantuan Kebajikan dari Kerajaan amat diharapkan.
Pada masa sekarang Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM hanya memberi elaun Kos Sara Hidup secara berpilih-pilih dan amat terhad kepada pesara veteran ATM yang dikategorikan sebagai amat daif dan miskin.Elaun Kos Sara Hidup itu sebanyak RM300 sebulan.
Dalam pertemuan semalam, anggota Persatuan Veteran ATM yang tidak berpencen itu memohon perhatian Kerajaan supaya bantuan Kos Sara Hidup diberikan secara otomatik kepada semua pesara veteran.
Mereka juga berharap Kos Sara Hidup itu dinaikkan dari RM300 kepada RM500 sebulan memandangkan harga barangan keperluan Harian yang meningkat Tinggi sekarang.
Dengan Hal yang demikian, selaku Ahli Parlimen saya menyeru kepada Kerajaan supaya mendengar keluhan ratusan ribu pesara veteran tidak berpencen ATM di seluruh Malaysia.
Keamanan Negara sekarang dan kemewahan Hidup yang dinikmati sesetengah golongan Rakyat istimewa di Malaysia kini adalah hasil pengorbanan jiwa dan raga termasuk nyawa para perajurit dan tentera ATM.
Kerana itu adalah tanggungjawab Kerajaan yang berkuasa sekarang untuk menolong golongan veteran tersebut yang kebanyakannya Hidup dalam keadaan susah.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
02.07.2022
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/07/kerajaan-harus-bantu-200-ribu-veteran.html