Keputusan Pkp Menyeluruh Diumum Petang Ini Atau Selewat Lewat Esok Ismail Sabri
Bernama                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Ismail Sabri Yaakob             JERANTUT  — Kerajaan tidak bercadang melaksanakan satu lagi  tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara setakat ini,  sebaliknya meneruskan perintah itu secara bersasar, kata Menteri Kanan  (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, pelaksanaan PKP bersasar juga boleh dilakukan  mengikut sistem Hotspots Identification for Dynamic Engangement (HIDE)  yang boleh menunjukkan kawasan tertentu dengan penularan kes yang besar  (titik panas) COVID-19 untuk dikenakan PKP.
“Jika ada kawasan titik panas, kita akan buat PKP tetapi  mengikut kepada kampung, mukim atau daerah yang mempunyai kes penularan  yang banyak dengan skala paling kecil ialah Perintah Kawalan Pergerakan  Diperketatkan (PKPD), namun ia masih secara bersasar setakat ini.
“Bagaimanapun, macam-macam kemungkinan boleh  berlaku kerana mengikut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika  tiada intervensi daripada kerajaan, kes boleh sampai sehingga lebih  5,000 selepas raya dan boleh meningkat sehingga 10,000 kes pada Julai  dan Ogos,” katanya
Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan  pembukaan laluan jambatan “Compact Bailey 100’ Kampung Sungai Putat di  sini hari ini, yang dihadiri Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri  Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan  Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Beliau ditanya jika kerajaan berhasrat melaksanakan PKP secara  menyeluruh memandangkan peningkatan kes baharu yang tinggi sejak  kebelakangan ini dengan 4,498 kes baru semalam, selain kebimbangan  masyarakat jika PKP menyeluruh dikenakan pada saat-saat akhir  sebelum Aidilfitri minggu depan.
Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Jawatankuasa  Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi ini, juga membincangkan  kemungkinan PKP pada hari raya, dengan keputusannya dijangka diumumkan  pada petang ini atau selewat-lewatnya esok bagi memberi rakyat membuat  persediaan sebaiknya
Ismail Sabri juga mengesahkan MKN Pahang telah membuat permohonan  supaya daerah Kuantan diletakkan di bawah PKP mengambil kira peningkatan  kes positif di beberapa lokaliti di daerah itu sejak akhir-akhir ini,  namun ia juga belum diputuskan
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/keputusan-pkp-menyeluruh-diumum-petang.html