Kenapa Sabah Tempat Wajib Dikunjungi
Artikel yang lepas Ainaa share dengan kau orang pasal Itinerary 4H 3M Ke Kota Kinabalu Dan Kundasang... Dan kali ini Ainaa nak kongsi apa yang menarik sangat Sabah ini dan kenapa ia menjadi tempat wajib untuk dikunjung. Kalau la ada yang cakap Sabah ini hanya hutan dan tiada apa-apa yang menarik, memang lah BUTA! Pengalaman Ainaa ke Sabah memang tak akan dilupakan dan rasa macam bukan melancong dalam Malaysia. Memang cantik dan unik dari segala sudut... pemandangan, makanan, cuaca dan lain-lain. Tak percaya? Jom kita tengok apa yang menarik di Sabah.
Pasar Filipina Dan Todak Waterfront
Kalau pergi Kota Kinabalu, memang wajib bergambar dengan tugu 'I Love KK' dan bulatan ikan todak yang ada kat situ. Todak waterfront tak jauh dari pasar filipina, boleh jalan kaki je dalam 10 hingga 15 minit. Dan kalau kau orang datang pagi, boleh ambil gambar kat tepi-tepi laut yang tempat boat-boat tu, port ambil gambar jadi lawa. Lepas bergambar tu, boleh la ke pasar filipina untuk makan-makan. Orang kata, datang Sabah ni memang tak sah kalau tak try seafood kat sini. Memang semua segar-segar dan besar, syurga untuk peminat seafood. Pasar Filipina adalah pasar malam, boleh dikatakan agak luas dan kau orang boleh beli souvenir kat situ. Tapi bagi Ainaa, harga cenderamata di Pasar Filipina mahal berbanding Pekan Nabalu. Kalau pergi sekadar nak cuci-cuci mata dan singgah makan boleh la.
Tunku Abdul Rahman Marine Park
TAR Marine Park ini terletak di Kota Kinabalu dan TAR Marine Park terdiri daripada lima pulau iaitu Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Sulug. Cuma hari itu Ainaa hanya pergi empat pulau, Pulau Sulug tak pergi sebab tiada dalam pakej yang kami ambil. Hanya di Pulau Manukan dan Pulau Mamutik saja kami snorkeling, bila pergi Pulau Sapi memang semua tak ada tenaga dah tambah pula panas terik jadi di Pulau Sapi kami hanya duduk menikmati pandangan pantai. Pantai la sangat padahal ramai sangat yang berbikini tak kira laki perempuan, last-last semua dengan handphone masing-masing. Tengok kejap-kejap dah la kan hik! Di Pulau Gaya pula boleh tengok sekolah dan rumah atas air yang macam dalam cerita duyung Apek berlakon tu. Apa pun memang cantik sangat pulau-pulau di TAR Marine Park ni! Tak percaya? Tengok gambar-gambar yang Ainaa ambil kat bawah ini.
Masjid Negeri Sabah
Bila datang ke Kota Kinabalu, jangan lupa singgah solat di masjid negeri Sabah. Ada kan yang suka ambil gambar masjid lawa-lawa, jadi masjid negeri Sabah pun jangan ketinggalan! Selepas pergi TAR Marine Park tu, Ainaa terus singgah masjid ni. Memang lawa la tapi tak sanggup nak ambil gambar bila matahari terpacak atas kepala. Lebih baik duduk dalam masjid, nyaman je rasa.
sumber: Google
Polumpung Melangkap View Camp Site
Ini adalah tarikan terbaru pada tahun ini, siapa yang nak ke kundasang, mesti singgah Polumpung dulu. Kalau tak memang rugi besar la sebab di PMVCS ini anda berkhemah di tepi sungai dan tak ketinggalan juga pemandangan gunung kinabalu! Memang lawa habis, setiap sudut ambil gambar mesti nampak lawa je. Masa Ainaa pergi adalah hari bekerja jadi tak ramai orang dan kami boleh ambil gambar sepuas-puasnya tanpa perlu berebut dengan orang lain. Memang syiok habis la!
Desa Cattle Dairy Farm
Bila pergi Dairy Farm di Kundasang.... Serius, rasa macam berada di luar negara! Betapa cantiknya keindahan semula jadi di Sabah dan lebih-lebih lagi sepanjang perjalanan nak ke Desa Cattle Dairy Farm ini. Betul la orang-orang kata, kalau nak merasa pergi New Zealand, pergi lah melancong ke Kundasang. Kami memang tak lekang dari ambil gambar dan video, kalau boleh setiap saat nak ambil gambar dijadikan kenangan. Bila tiba di Dairy Farm, kami dah tercari-cari lembu di padang tapi sayangnya hanya ada dua tiga ekor lembu yang dilempaskan. Yang lain semuanya ada dalam kandang. Mungkin bukan timing yang baik tapi yang penting pemandangan tetap tidak mengecewakan. Oh ya, dah datang Dairy Farm kena la cuba susu segar lembu dan juga aiskrim dari susu lembut.
Mesilou Cat's Village
Jika anda pernah pergi ke Cat's Cafe atau Cat's Studio di semenanjung, maka anda juga patut pergi ke Mesilou Cat's Village. Apa yang istimewanya Mesilou Cat's Village ini, semua kucing-kucing yang ada kat situ adalah kucing jalanan yang dikutip dan dijaga oleh pihak Cat's Village. Mulia kan hati dia orang, kutip kucing-kucing jalanan yang sudah semestinya banyak yang sakit tapi mereka ambil, bela dan beri kasih-sayang pada kucing-kucing tu semua. Mesilou Cat's Village ni ada dua bahagian, satu bahagian kat taman satu lagi dalam rumah kucing-kucing tu. Walau kucing jalanan tapi semua comel-comel je dan manja. Sempat juga la Ainaa borak dengan pekerja (tak pasti pekerja atau pengurus) kat situ. Dia yang kata kucing-kucing tu dikutip, ada juga yang datang sendiri dan yang kucing berbulu lebat pula, kucing milik mereka sendiri. Mesilou Cat's Village ini hanya10 minit dari Desa Dairy Farm. Kalau kau orang perasan, ada dua jalan sebelum Dairy Farm, jalan ke kanan ke Desa Dairy Farm dan jalan ke kiri pula ke Mesilou Cat's Village. Memang dekat sangat.
Pekan Nabalu
Kalau pergi ke Kundasang, jangan lupa singgah Pekan Nabalu! Antara Pekan Nabalu dan Pasar Filipin, barangan cenderahati di Pekan Nabalu lagi murah dari Pasar Filipin. Selain boleh shopping baju-baju, beg, kain dan cenderamata, di Pekan Nabalu juga ada kawasan lapang di mana pelancong boleh bergambar di situ dengan pandangan gunung Kinabalu di belakang! Memang cantik lebih-lebih lagi bila kami pergi ke sana, puncak Kinabalu tak dilindungi awan. Memang lawa habis! Gambar seperti dalam poskad je.
Dah tahu kan kenapa anda perlu ke Sabah? Tak perlu ke luar negara, cukup ke Sabah pun sudah rasai seperti di negara lain!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://nikainaa.blogspot.com/2018/11/kenapa-sabah-tempat-wajib-dikunjungi.html